Tuesday, December 20, 2016

Kaki Oh Kaki

Bila masuk ke dalam bilik mahkamah tadi beberapa orang kenalan menegur saya. Kenapa berjalan berjengket-jengket tanya depa.

"Kaki sakit," jawab saya ringkas.

Bila depa bertanya samada kaki saya itu injured disebabkan bermain bola saya hanya tersenyum. Berkata iya pun tidak, menidak pun tidak.

Bukan apa. Segan saya nak bagitau depa yang kaki saya injured sebab batu lesung timpa masa saya nak buat garam belacan.

Monday, December 19, 2016

Keredhaan

Pagi ini selepas mahkamah menunda kes perbicaraan maka ahli keluarga anak guam saya mengajak saya minum di kantin mahkamah. Sambil membasahkan tekak sambil berbincang berkenaan dengan perjalanan kes anak guam saya itu.

Anak guam saya ini dituduh bersama dengan tiga orang lagi rakan-rakan yang mana mereka ini telah ditahan reman sejak dari tahun 2014. Nampak gayanya kes ini akan berlanjutan ke tahun 2017 pula.

Friday, December 16, 2016

Saman Trafik

Sebaik keluar daripada bilik mahkamah saya terlihat beberapa orang anggota polis trafik sedang mengawal sekumpulan pesalah trafik yang baharu dibawa ke mahkamah untuk dituduh. Kesemuanya pesalah trafik warga asing yang kesemuanya langsung tidak memiliki lesen kenderaan.

"Untuk warga asing yang ditahan tanpa lesen kami bawa terus ke mahkamah untuk dituduh. Kenderaan kami sita," maklum salah seorang anggota berpangkat koperal.

Saya lihat kebanyakan mereka agak risau memandangkan mereka telah diterangkan berkenaan dengan anggaran jumlah denda yang bakal dikenakan kepada mereka oleh mahkamah sebentar lagi.

Thursday, December 15, 2016

Ugut

Sementara menunggu mahkamah untuk kembali bersidang saya berbual-bual dengan salah seorang Timbalan Pendakwaraya yang mengendalikan kes pada hari ini. Tiba-tiba masuk dengan kalut seorang pegawai penyiasat mencari mana-mana Timbalan Pendakwaraya untuk menandatangan satu kertas pertuduhan yang baharu.

“Saya dah pergi ke bilik Timbalan Pendakwarya tapi tak ada sesiapa yang ada. Semuanya dalam mahkamah,” maklum pegawai muda tersebut sambil menyerahkan satu fail siasatan atau pun dipanggil sebagai IP (“Investigation Paper") kepada Timbalan Pendakwaraya berkenaan. 

Friday, December 9, 2016

Minggu Terakhir Di Hujung Tahun

Memandangkan hanya ada dua orang sahaja saksi pendakwaan yang hadir semalam maka masih berbaki lagi dua saksi yang perlu dipanggil untuk memberikan keterangan sebelum pihak Pendakwaan dapat menutup kes peringkat prima facie mereka.

"Minggu terakhir bulan ni boleh kita sambung bicara counsel?" tanya tuan hakim sambil membelek-belek diari beliau.

"Tak sesuai. Saya balik kampung. Cuti makan kenduri Yang Arif

Monday, December 5, 2016

Pengakuan Salah

“Awak betul nak mengaku?” tanya Hakim inginkan kepastian daripada seorang tertuduh yang sedang berdiri dalam kandang tertuduh.

Tertuduh tersebut mengiyakan sambil mengangguk kepalanya.

Pandangan Hakim beralih kepada jurubahasa yang baharu sahaja membacakan pertuduhan kepada tertuduh tersebut. Seorang lelaki awal 40-an.

“Sudah baca dan maklumkan kepada tertuduh peruntukan hukuman bagi kesalahan ini?” tanya Hakim kepada jurubahasa tersebut.

Saturday, December 3, 2016

Bukan Tembikai Sahaja Yang Mahal

Jam di papan nombor elektronik menunjukkan angka pukul satu lima belas minit tengahari. Walaupun begitu beberapa kaunter bahagian pembayaran di mahkamah masih tetap dibuka untuk urusan pembayaran bagi orang awam yang berurusan di mahkamah. Sambil menunggu untuk giliran saya membuat bayaran di kaunter bayaran tersebut saya berlegar-legar di ruang hadapan kaunter.

Sempat saya menegur salah seorang kakak di bahagian kaunter bayaran yang sedang berehat.

“Takkan gaji baru masuk dah muram kak,” usik saya kepada kakak berkenaan.

Thursday, December 1, 2016

Lama Tak berdua

"Saya balik dulu," kata seorang anak guam saya yang kesnya baharu sahaja dilepaskan oleh mahkamah. Lalu dia merangkul tangan isterinya dengan penuh manja.

"Lama tak berdua dengan isteri," sambung dia sambil tersengih.

Terus saya menepuk dahi sambil memandang anak guam saya yang seorang lagi yang juga merupakan case mate kepadanya itu. 5 bulan dalam reman punya penangan.

Selamat malam Jumaat bang!

Tuesday, November 29, 2016

Master Sifu

Sebaik sahaja habis kes saya pada pagi tadi saya terus menuju ke kafeteria mahkamah. Niat di hati hendak membasahkan tekak yang telah kering dengan secawan minuman berkafein yang kebiasaannya menjadi peneman saya setiap pagi.

Sampai di dalam kafeteria saya mula menjenguk-jenguk mencari jika ada muka-muka yang saya kenal. Ingin menumpang semeja dengan mereka kalau ada. Sambil-sambil minum nanti boleh juga berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan tentang apa-apa sahaja perkara. Kalau tidak pun mungkin hanya sembang-sembang kosong.

Monday, November 28, 2016

Tak Larat

“Kalau depa nak rampas pun rampaslah. Takpa. Tak larat nak ulang alik mai. Penat,” kata anak guam saya yang sudah berusia itu. Saya faham perasaannya itu. Manakan tidak kerana dia terpaksa datang daripada utara semata-mata untuk pendengaran kes rayuannya ini yang mana telah dirayu oleh Timbalan Pendakwaraya ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. 

Dengan kudrat tuanya itu tempoh perjalanan yang boleh memakan masa selama 6 hingga 7 jam itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada batang tubuhnya itu. Mendatangkan bisa pada tubuh badannya.

Friday, November 25, 2016

Kenikmatan

“Berbicara di mahkamah dan bersenggama. Dua perkara yang memenatkan. Bezanya penat lepas bersenggama datang dengan penuh kenikmatan.”

Tuesday, October 25, 2016

Sekampit Beras

Duduk menunggu untuk kes-kes dipanggil atau disebut memang boleh membuatkan saya berasa bosan. Apatah lagi kalau kes-kes yang baharu maka lagi lamalah masa yang perlu saya tunggu memandangkan mahkamah akan menyelesaikan sebutan atau pun perbicaraan kes-kes yang lama terdahulu.

Sambil mengambil tempat di bangku luar bilik bicara saya menegur seorang pegawai penyiasat. "Reman ke?" tanya saya.

Friday, October 21, 2016

Kematian II

Pagi ini saya menerima panggilan telefon daripada isteri kepada anak guam saya. Memaklumkan bahawa anak guam saya telah meninggal dunia akibat sakit tua dan pelbagai komplikasi kesihatan yang lain.

Anak guam yang mana kesnya masih dalam peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun selepas dituduh dibawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan Daesh.

Memandangkan beliau telah meninggal dunia jadi rayuan kesnya tidak akan berjalan memandangkan tujuan rayuan ini difailkan oleh anak guam adalah untuk mengurangkan kadar hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya. Dan hukuman selama 18 tahun itu saya kira akan terpakai sebagai hukuman yang paling tinggi pernah diberikan untuk kes melibatkan IS setakat ini di Mahkamah Tinggi. Hukuman yang diberikan selepas anak guam saya membuat pengakuan salah ketika di Mahkamah Tinggi, tanpa diwakili oleh mana-mana peguambela.

Thursday, October 13, 2016

Cantiknya dia..

Sambil menunggu pintu besi dibuka saya bersembang dengan seorang warden penjara yang sedang mengawasi tahanan-tahanan reman yang baharu sahaja dihantar pulang. Duduk bertinggung mereka beramai-ramai sambil dipanggil nama oleh anggota polis pengiring untuk memulangkan kembali barangan masing-masing.

"Penjara dah sesak sekarang ni. Semuanya hendak disumbat ke sini. Ditambah lagi dengan tahanan-tahanan yang melibatkan warga asing," katanya sambil berdiri tegak di sebelah saya.

Wednesday, October 12, 2016

Perjalanan

Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini keretapi ini pada saya mempunyai sisi keistimewaannya sendiri. Apatah lagi jika sesebuah perjalanan itu menggunakan keretapi.

Perancangan awal saya pada mula adalah untuk menghabiskan masa perjalanan saya dengan menghabiskan naskah buku yang saya masih ketinggalan untuk sampai ke penghujung helaiannya.

Namun apalah sangat aktiviti itu jika hendak dibandingkan dengan sesi perkenalan dengan seorang lelaki separuh umur, Abang Man.

Sunday, October 9, 2016

Petua Merawat Kaki Cekam


Beberapa minggu yang lepas saya ada berbual dengan salah seorang ahli keluarga yang berceritakan akan hal yang kebanyakan orang pernah mengalaminya iaitu masalah kaki cekam atau pun cagu. Yang mana kebiasaannya masalah ini akan dianggap remeh sahaja sehinggalah ianya menjadi lebih serius yang mana memungkinkan sehingga kaku kaki mereka yang mengalami masalah ini terpaksa dibuang.

Saya sendiri pernah mengalami masalah kaki cekam ini selama beberapa tahun. Sehinggalah dek kerana tidak sanggup menahannya lagi saya telah pergi berjumpa dengan doktor dan doktor menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan kuku kaki yang bermasalah itu. 

Entah bagaimana dan mungkin sudah ditakdirkan Tuhan rezeki saya pada suatu hari seorang rakan saya berkunjung ke rumah dan memaksa saya melakukan satu rawatan untuk mengubati masalah cekam saya ini. Rawatannya yang cukup mudah dan ringkas. Dan selepas itu dengan izinNya sehinggalah ke hari ini saya tidak lagi mengalami masalah kaki cekam ini.

Seekor Tikus

Apakah bezanya seekor tikus yang menaiki sebuah kereta kancil dan seekor tikus yang lain yang menaiki sebuah kereta BMW?

Soalan ini pernah ditanyakan oleh seorang professor semasa penulis berada dalam kelasnya. Jawapannya ialah kedua-duanya tidak mempunyai perbezaan. Merek adalah tikus juga. Persoalan ini dikemukakan oleh beliau untuk mengaitkan tentang perangai manusia sesama manusia.

Mengapa manusia perlu berbangga dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain sekiranya kita mempunyai kelebihan daripada orang lain misalnya daripada segi ekonomi. Tidak semua manusia bernasib baik. Ada yang mempunyai pendapatan yang tinggi dan ada pula sebaliknya. Tetapi keadaan ini tidak sepatutnya mewujudkan jurang dan perbezaan darjat sesama manusia di atas muka bumi ini.
Kita masih manusia yang sama! Tidak ada bezanya. Itu yang pasti. 

Thursday, October 6, 2016

Pukul 3 Petang


Saya mendapat panggilan telefon daripada isteri kepada anak guam saya yang memaklumkan bahawa suaminya itu telah ditangkap dan dibawa ke IPK. Dia juga turut memaklumkan kepada saya menurut pegawai Polis yang membuat tangkapan tersebut suaminya akan dibawa untuk satu perintah reman pada pukul 3 keesokan harinya.

Gunung Jerai

Saya tidak ingat secara tepat tahun ke berapa tetapi yang pasti saya kira ianya adalah di awal tahun 2000. Selepas Y2K. Di mana pada ketika itu saya dan adik saya menerima ajakan daripada seorang kenalan ayah saya. Abang Shukor yang kami panggil Abang Koq. Ajakan untuk turut serta mendaki Gunung Jerai memandangkan dia akan membawa beberapa orang pelajar dan tenaga pengajar daripada salah satu institusi pengajian tinggi di Kedah. Abang Koq memang penduduk di kaki Gunung Jerai dan pada masa lapangnya mengambil upah menjadi penunjuk jalan bagi pihak yang ingin menjalankan aktiviti rekreasi di sekitar Gunung Jerai

Peluang yang memang tidak dilepaskan oleh saya dan adik saya tambahan semuanya akan disediakan oleh Abang Koq. Kami hanya membawa diri kami dan keperluan kami sahaja. Lagi pun saya sendiri tidak pernah meneroka Gunung Jerai jadi ini adalah peluang yang jarang kedapatan.

Tuesday, September 27, 2016

Naskah Mahal




Kepak-kepak Malam Dari Sorga ini adalah antara naskah puisi terbaharu yang diterbitkan oleh Selut Press. Memuatkan kumpulan puisi oleh Arafat Hambali.

Kumpulan puisi yang saya kira kena dengan jiwa. Sungguh. Bukan hanya sekadar kata-kata untuk mengambil hati sang pemuisi yang duduknya di Chuping ini. Seperti menelaah karya-karya ahli filsafat agung yang dimuntahkan dalam bentuk kata-kata puitis ini.

Tuesday, September 20, 2016

Kena Lagi

Sedang saya berjalan menuju ke arah bilik mahkamah saya terserempak dengan salah seorang pegawai polis berpangkat ASP yang saya kenali sedang dalam urusan untuk menghadiri prosedur reman. Peluang itu saya gunakan untuk bertanya kepadanya akan kes anak guam saya yang baharu sahaja ditangkap pada hari sabtu hujung minggu yang lalu.

"Tuan.. Boleh check tengok sorang client saya kena tangkap hari Sabtu hari tu," saya memaklumkan kepada pegawai polis tersebut.

Selepas saya memberikan nama anak guam saya itu dia pun memaklumkan bahawa dialah yang membuat permohonan reman untuk anak guam saya itu. Ada dua kes katanya dan mengikut siasatan pengecaman ke atas anak guam saya itu positif.

Chechen

Saat ini tika membelek 'Haji Murat' karya Leo Tolstoy kenangan lama secara tidak langsung menerjah kotak ingatan saya. Tentang seorang kawan berbangsa Chechen yang bernama Hidzir. Satu-satu kawan Chechen yang saya kenal tempoh pengajian saya kira-kira 16 tahun yang lalu. 

Kawan yang saya kira keras fizikal dan perwatakannya. Perkenalan yang hanya bersabit daripada sebatang rokok. Tidak juga boleh dikira batang barangkali. Segulung rokok saya kira lebih tepat. Saya dan kawan saya Azam berkongsi rokok daun kami dengan Hidzir selepas dia bertanya samada kami ada mempunyai rokok ketika di koridor hostel. Terputus bekalan rokok Marlboro Light dia barang kali semasa itu. Terus kami bergegas ke bilik kami dan mendapatkan bekalan rokok daun yang memang sentiasa tersedia dan terus ke biliknya yang mana ketika itu dia hanya tinggal berseorangan dalam bilik tersebut.

Monday, September 19, 2016

Apa Ada Pada Mimpi

Mimpi itu adalah satu benda biasa yang acapkali berlaku ketika proses tidur berlaku. Kata orang juga mimpi itu adalah mainan tidur. Jangan diambil pakai sangat segala akan intipatinya. Itulah juga yang saya pegang akan perihal mimpi ini. Tidak ada apa yang seriusnya akan sesuatu mimpi itu.

Cumanya ada satu kali itu saya ada menerima satu kes yang melibatkan permasalahan dan perebutan akan hal harta yang mana melibatkan antara sesama kaum keluarga. Sebagai seorang pengamal undang-undang tidaklah menjadi agenda saya untuk menyebelahi mana-mana pihak cumanya saya lebih menitikberatkan akan hak-hak mereka yang terlibat dalam permasalahan ini. Saya hanyalah sebagai pemudah cara sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Thursday, September 15, 2016

Malam Celaka


MALAM CELAKA adalah rentetan peristiwa yang berlaku sekitar 15 September 1982. Satu dedikasi pada tragedi Shabra Shatila yang saya nukilkan dalam cerita pendek yang dimuatkan dalam naskah IV Lelaki Kayangan.

Sunday, September 11, 2016

Bedah Buku - IV Lelaki Kayangan


Beberapa hari sebelum minggu hari bekerja sampai ke penghujungnya pada minggu lepas satu mesej daripada seorang kenalan baharu saya iaitu saudara Arafat Hambali berada dalam ruang mesej facebook saya. Tujuannya adalah satu iaitu mengajak saya dan teman-teman penulis IV Lelaki Kayangan untuk turut serta dalam acara pelancaran dan bedah buku terbaharunya dan seorang lagi penulis buku dari Kodiang yang dikelolakan oleh Sekolah Permikir Jalanan di Perlis.

Thursday, September 8, 2016

Setongkol Jagung Manis

Beberapa tongkol jagung rebus habis saya lahap sambil ditemani rintik-rintik hujan di luar. Jagung yang baharu dipetik dan dihantar oleh adik saya. Jagung segar daripada ladang jagung ayah saya di kampung. Manis rasanya.

Sambil mengusahakan pokok-pokok mempelamnya dia turut menanam tanaman jagung. Berbudi kepada tanah ini tidak rugi.

Terima kasih ayah dan emak untuk tongkol-tongkol jagung yang manis buat anak cucu di hutan batu ini.

Saturday, September 3, 2016

IV Lelaki Kayangan


Cerita pasal makwe Jerman yang tak berkesampaian di zaman kanak-kanak. Cerita saya masuk sekolah undang-undang.

Sambungan misteri telaga dewa yang disambung daripada buku saya sebelum ini, Lelaki Bersut. Dan tak lupa juga tulisan berkenaan tempat bernama Gate dalam lipatan memori saya yang pernah menjadi viral penduduk setempat.

Ini antara sebahagian catatan-catatan saya dalam IV Lelaki Kayangan. Banyak lagi cerita-cerita santai oleh saya dan geng-geng yang lain dalam naskah terbaharu ini.

Kontek abang-abang Raksasa Buku (Hotline - 016-2038478) untuk pembelian, temujanji, makan-makan, jalan-jalan, tengok wayang dan lain-lain.

Monday, August 29, 2016

Menangis

Sebaik sahaja sampai di halaman rumah batu yang separuh usang itu saya melihat Paksu, adik bongsu ibu saya sedang berlegar-legar di luar rumah. Membersih secara bersambil kawasan berhampiran pondok kecil yang terletak bersebelahan dengan rumah.

Saya lalu masuk bersama isteri dan anak-anak saya. Bersalaman dengan seisi ahli keluarga yang berada di dalam rumah. Kemudian saya kembali ke luar. Duduk di bangku luar sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang mengibas dedaun pokok yang merimbun melewati kawasan rumah itu. Lebih santai apatah lagi baharu beberapa ketika yang lepas saya mengisi perut dengan beberapa keping capati di sebuah kedai capati di tepi jalan besar di Jalan Beseri.

Wednesday, August 24, 2016

Yakin

"Dekat situ boleh rebate dak?" tanya saya kepada perempuan di dalam kotak tol itu.

Dia mengganguk sambil saya kemudiannya terus berlalu selepas membuat bayaran tol menggunakan kad Touch 'n Go.

Saya terus membelok laju ke arah bangunan yang terletak di kiri jalan itu. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menebus kad Touch 'n Go saya itu. Kali terakhir saya menebusnya adalah lama dahulu. Tidak ingat bila.

Friday, August 19, 2016

Jason Bourne, Pokemon Go

Nama Jason Bourne berkumandang di dalam Mahkamah Rayuan tadi. Bukan apa, salah seorang panel hakim yang mendengar kes-kes hari ini memaklumkan bahawa dia baharu sahaja menonton cerita tersebut.

Kemudiannya usai kes sambil berjalan menuju ke tempat letak kereta saya terserempak dengan salah seorang jurubahasa Mahkamah Sesyen. Sedang menuruni tangga bangunan Istana Kehakiman. Dia hadir ke Istana Kehakiman kerana satu kes yang dahulunya didengar di Mahkamah Sesyen terpaksa dibawa pendengaran ke sini memandangkan hakim tersebut telah bertukar ke sini.

Wednesday, August 17, 2016

Hey Ho Let's Go Tokyu

Sehari dua ini menu makanan saya terpaksa dihadkan atas asbab tonsil saya yang sememangnya tidak keruan ini buat perangai lagi. Hendak membuka mulut dan bercakap pun perit rasanya. Apatah lagi hendak menelan air liur. 

Walaupun begitu saya masih bersyukur atas sebab selera makan saya masih kekal seperti biasa. Kehendak dan keinginan itu masih ada cumanya kemampuan untuk menelan makanan itu tidak selazim biasa. Tidak apalah sekurang-kurang masih boleh merasa nikmat makan.

Tuesday, August 16, 2016

A Good Citizen

"I'm a good citizen!" kata-kata yang diucapkan  oleh seorang lelaki separuh umur kepada Si Majistret. Ada nada ketidakpuasan dalam dirinya semasa dia mengulang cerita apa yang berlaku di dalam bilik bicara beberapa mini

Katanya lagi sepanjang hidupnya yang sudah melebih separuh abad ini belum ada pernah terlibat dengan sebarang kegiatan jahat atau pun pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan.

Kebiasaannya jika ada apa-apa yang berlaku dialah yang akan ke depan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kalau dilihat pada percakapannya juga bukan calang-calang orang dia ini. 

Monday, August 15, 2016

Kematian

Tengah hari rembang memang panasnya agak terik kalau di sebelah utara. Hendak pula rumah yang letaknya di kawasan bendang. Cawan plastik oren yang tadinya penuh berisi dengan air Coke kini kosong. Hanya ada seketul dua ketul ais yang sedang mencair. Dua tiga kali teguk sahaja habis saya hirup. Orang dok kata air Coke bukan boleh minum selalu sangat. Silap haribulan boleh kena potong kaki. Kencing manis depa kata.

Saya ke dapur untuk mengisi cawan plastik oren yang telah kosong itu. Tekak masih belum puas lagi menghirup air berkarbonat yang entah berapa sudu gula yang ditauk ke dalamnya oleh pengilang.

Friday, August 12, 2016

Untung Sabut

Sebelum ini saya ada menulis berkenaan dengan kes anak guam saya yang mana telah pun dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Seksyen untuk satu pertuduhan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Kemudiannya Pendakwaraya telah merayu di Mahkamah Tinggi yang mana Yang Arif Hakim kemudiannya menolak rayuan tersebut. 

Nampaknya perjalanan kes itu tidak terhenti setakat di situ sahaja. Surat yang baharu diterima sebentar tadi memaklumkan bahawa Pendakwaraya ingin merayu ke Mahkamah Rayuan. 

Tuesday, August 9, 2016

Atas Nama Tuhan

Setiap kali mana-mana saksi dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah mereka dikehendaki mengangkat sumpah ikrar untuk berkata dan bercakap benar. Tidak ada apa-apalah yang tidak benar melainkan yang benar belaka.

Itu adalah sumpah yang perlu setiap saksi pegang semasa berada di kandang saksi semasa perbicaraan. Mereka terikat dengan sumpah ini sehinggalah mereka dilepaskan oleh Mahkamah Yang Mulia daripada kandang saksi.

Namun walaupun setiap saksi telah mengangkat sumpah namun andai kata si saksi itu tidak bercakap benar sekali pun keterangannya akan diterima pakai sekiranya keterangan itu tidak langsung disangkal dan dipersoalkan oleh peguambela atau pun peguam pihak lawan dalam kes-kes sivil.

Wednesday, August 3, 2016

Terjun

"Dulu dia ni pakai semua barang-barang branded," kata anakguam saya seraya memuncungkan mulutnya ke arah kawannya itu yang berpakaian serba biasa itu.

"Dulu dia pernah terjun daripada tingkat 5 Hotel Hilton," tambahnya lagi.

Pelik. Kenapa sampai kena terjun dari tingkat 5 bangunan hotel lima bintang yang terkenal itu. 

Tuesday, August 2, 2016

Daging Salai Masak Lemak

Pinggan yang tadinya penuh dengan nasi putih dan daging salai masak lemak cili padi habis licin dalam masa beberapa minit sahaja. Selera makan yang membuak-buak sejak tadi tidak dapat saya tahan memandangkan sebelum keluar dari rumah tadi saya hanya melapik perut dengan dua keping biskut cokelat sahaja.

Apatah lagi saya terpaksa berkejar ke dua mahkamah yang terletak di dua lokasi yang berbeza. Kedua-duanya telah ditetapkan untuk perbicaraan. Satu jasad peguam yang perlu menghadiri dua kes yang berlainan pada masa yang agak serentak. Jadinya pembakaran tenaga oleh jasad mugil saya ini membuatkan saya menjadi lapar yang amat sangat.

Berhujung Minggu


Semasa memperkatakan tentang buku Lelaki Bersut semalam di sesi sembang santai di Kedai Buku Mak Ali saya di tanya tentang punk yang ada kena mengena dengan saya sebagai seorang peguam.

Sebaik mencapai mic saya mengatakan bahawa jika dilihat pada gaya saya dan juga salah seorang rakan penulis Kaki Jalan memang langsung tidak kelihatan punk langsung. Apatah lagi saya datang bersama dengan isteri dan juga tiga orang anak saya. Langsung disambut oleh tawa rakan-rakan yang hadir.

Friday, July 29, 2016

Heart Or Brain

"Saya dalam dilema. Whether i'm going to follow my brain our my heart," kata Yang Arif Hakim sebelum memberikan keputusan terhadap rayuan yang dibuat oleh pihak Pendakwaraya. Rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepaskan anak guam saya daripada pertuduhan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada tahun 2012.

Thursday, July 28, 2016

Dia Dari Bangladesh

“Salam brother, how are you?”

Sebaik mendengar ungkapan ‘brother’ itu dia tersenyum kepada saya. Terus memperlahankan langkahnya yang nampak tergesa-gesa itu. Ungkapan itu ibarat satu kata kunci dan pengenalan kepada budak-budak yang mengaji di sebuah institut pengajian tinggi di pinggir Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah,” jawab dia seraya menghulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya berbual dengannya sambil bertanya khabar. Juga bertanya samada dia masih beramal sebagai seorang peguam di firma yang terdahulu.

Wednesday, July 27, 2016

Makan Malam Yang Istimewa

Alunan riffing gitar Johny Ramone meletup-letup di gegendang telinga saya. Membangkitkan adrenalin di petang hari itu. Padu dan mantap sekali. Bagi saya. Lagu-lagu lain kemudiannya silih berganti berputar daripada ipod yang saya letakkan di sebelah meja kerja saya. Lambakan fail-fail yang mengandungi kertas-kertas bernombor membuatkan mata sekali sekala menjadi redup.

Saya perlu menyiapkan kesemua deraf untuk surat-surat tuntutan yang kemudiannya akan disemak oleh peguam-peguam yang lain. Itu antara tugasan-tugasan yang diberikan kepada saya selaku sebagai salah seorang pelatih dalam kamar di firma guaman yang terletak di tingkat 32 di sebuah menara berhadapan Jalan Sultan Ismail.

Thursday, July 21, 2016

Kes Yang Tidak Menyebelahi

"You must be prepared when you take a brief," tegur yang Arif Hakim yang mengetuai panel rayuan yang bersidang tadi dalam nada tegas.

Saya mengganguk faham dan mengiyakan kata-katanya. Saya terpaksa memohon satu tarikh yang baharu bagi kes yang telah diserahkan kepada saya ini oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Alasannya adalah untuk memasukkan satu petisyen rayuan bagi kes ini.

Petisyen yang merangkumi perkara-perkara yang akan dirayu berbangkit daripada keputusan yang telah diputuskan oleh hakim-hakim di  Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Tuesday, July 19, 2016

Kes Kecil

Ada kalanya kes-kes yang melibatkan anak guam saya bukanlah kes-kes yang boleh dikategorikan sebagai kes besar. Misalnya kes saya pada pagi tadi. Anak guam yang berusia dalam lingkungan umur 60-an. 

Dituduh dibawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu satu kesalahan yang melibatkan kerani atau orang gaji yang mencuri harta dalam milik tuannya. Kes yang dibicarakan di Mahkamah Majistret sahaja.

Saturday, July 16, 2016

Berhari Raya Bersama Buku Langka

Sambil beraya hari tu saya sempat membelek koleksi peribadi saudara saya. Koleksi buku-buku langka beliau. Harapnya saya juga mampu menambah naskah-naskah langka dalam koleksi buku-buku saya.



Thursday, July 14, 2016

Mahkamah Yang Mana

Kebiasaannya hampir setiap pagi saya akan berada di mahkamah untuk urusan kes saya. Andai kata ada mana-mana individu atau anak guam yang ingin berjumpa dengan saya akan saya maklumkan mereka untuk berjumpa sahaja di mahkamah. Tambahan pun senang bagi mereka untuk datang ke mahkamah.

Selalunya apabila saya memaklumkan keberadaan saya di mahkamah mereka ini sudah faham bahawa mahkamah yang saya maksudkan adalah mahkamah sivil/jenayah.

Wednesday, July 13, 2016

Membaca

Naskah Lelaki Bersut didukung sepenuhnya oleh liberalis diy bermula daripada proses penerbitan, percetakan, pengedaran dan juga penjualan. Maka naskah ini tiada kedapatan di gedung-gedung buku besar. Beredar bersama jaringan sesama kenalan dan individu. Digerakkan oleh anak-anak punk.

Tajuk buku ini walaupun kedengaran sangat borjuis tetapi secara jujurnya ianya adalah satu naskah marhean daripada saya. Tidak ada langsung mirip naskah Sidney Sheldon mahupun John Grisham yang menjadi pujaan penggemar-penggemar buku yang berkait dengan dunia peguam.

Sengaja disusun sebagai ‘pocket-book’ agar sesiapa sahaja segar untuk membelek tulisan-tulisan pendeknya di dalam. Tidak ada rasa terbeban dengan naskah kecil ini. Bak kata seorang rakan peguam saya pagi tadi semasa dia membelek naskah Lelaki Bersut ini, “Aku boleh habis baca buku ini sat saja.”

Tuesday, July 12, 2016

Nasi Minyak Kurma Daging

Aktiviti pada hari raya pertama agak terbantut sedikit memandangkan keadaan cuaca yang hujan sejak Tok Khatib selesai berkhutbah pagi tadi. Jadinya saya hanya duduk di rumah sahaja menunggu kalau ada tetamu yang singgah dan menziarah ahli keluarga mentua. Tahun ini giliran berhari raya di sebelah keluarga isteri. Walaupun begitu ianya bukanlah satu hal yang besar memandangkan jarak kampung isteri dan kampung sahaja bukanlah jauh mana pun. Hanya mengambil masa dalam sejam perjalanan begitu. Letaknya di negeri bersebelahan sahaja.

Hanya selepas hujan teduh di kala ketika hampir tengahari maka urusan untuk menziarahi ke rumah rakan-rakan di kawasan sekitar diatur. Saya dan isteri kemudiannya berkunjung ke beberapa rumah rakannya yang mana ketika berada di rumah yang kedua kami ziarahi jam sudah menunjukkan hampir pukul 4 petang. Juadah yang dihidangkan di rumah tersebut agak meriah kerana bukan hanya setakat balang-balang kuih raya sahaja yang tersusun. Juga terdapat satu meja yang penuh dengan makanan yang lain. 

Monday, July 11, 2016

Lelaki Bersut Sudah Terbit!



Naskah Lelaki Bersut ini adalah catatan ringkas saya yang dikutip dalam perjalanan seharian. Diolah secara santai dan bersahaja. Langsung tidak ada cerita pasal perempuan cantik seksi yang biasa anda lihat dalam drama-drama atau pun filem yang bersabit dengan dunia ‘glamour’ seorang peguam.

Nama

Di sebuah klinik di pekan negeri kelahiran saya membawa ayah kerana demamnya semenjak hari raya kedua. Sambil menunggu giliran ayah dipanggil saya leka membelek laman facebook saya.

Melihat gambar-gambar raya dan status raya yang dimuat naik oleh kenalan-kenalan. Sambil itu saya mendengar memasang telinga kalau-kalau nama ayah dipanggil.

Nama seperti Timah dipanggil untuk masuk. Kemudiannya nama Refeah dipanggil pula. Nama-nama pesakit yang dipanggil untuk masuk ke dalam bilik rawatan nama-nama yang klasik. Jarang-jarang dapat didengar. Nama orang dulu-dulu.

Monday, July 4, 2016

Hedonistik Satu Syawal

Beberapa hari lepas semasa membelek-belek helaian senaskah akhbar tempatan saya melihat begitu banyak iklan-iklan yang mempromosikan jualan kenderaan motor sempena dengan kedatangan Syawal yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi.

Saya pasti iklan-iklan ini tidak akan dipandang sepi oleh pembaca-pembaca sekalian. Bahkan saya sendiri juga tidak terlepas menelaah halaman-halaman iklan tersebut. Mana mungkin tidak tertarik dengan promosi-promosi sempena Hari Raya ini.

Dapat berhari raya dengan sepasang baju Melayu baharu pun boleh membangkitkan perasaan syok sendiri apatah lagi kalau dapat berhari raya dengan sebuah kereta baharu yang masih tidak hilang lagi bau kilangnya.

Friday, July 1, 2016

Selamat Bercuti Semua

Saya bertanya kepada seorang SM yang juga seorang pegawai penyiasat narkotik. Nampak sugul sangat dan tak bermaya.

"Letih nampak. Tak cuti ka?"

"Cuti. Sepuluh hari," jawap dia tenang.

Saya beralih kepada seorang SM yang berada di sebelahnya sambil berkata, "Buat teruk boleh. Ingatkan tak boleh cuti."

Selamat bercuti semua.

Thursday, June 30, 2016

Pulang Beraya

"Abang ada puasa?" tanya anak guam saya yang berasal daripada Bangladesh itu.

Saya hanya menganguk-anguk lemah.

"Saya puasa sama sembahyang tak ada tinggal dalam," sambung dia lagi dalam riak yang agak gembira. Sebelum ini kalau datang ke mahkamah hanya menunduk sedih dan pilu. Mungkin rasa gembira untuk balik tidak lama lagi.

Akhirnya hari ini dua orang daripada anak guam saya yang dalam program penggajian semula PATI akhirnya mengaku salah. Alasan mereka kerana tidak sanggup lagi menunggu segala perjalanan birokrasi yang tidak berkesudahan ini.

Wednesday, June 29, 2016

Pelatih Dalam Kamar

Hari pertama saya masuk sebagai pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di tengah ibu kota Kuala Lumpur saya dan seorang lagi rakan pelatih dibawa berjumpa dengan rakan-rakan kongsi firma dan juga senior associates. Untuk diperkenalkan kepada mereka.

Kami dibawa daripada satu bilik ke bilik yang lain untuk sesi suai kenal secara impromptu. Tiba ke bilik salah seorang rakan kongsi sambil tersenyum dia mengucapkan selamat datang, "Welcome to hell."

Saya rasa teruja.

Monday, June 27, 2016

Respect

Ada beberapa kali ketika di bulan Ramadhan ini seorang pendakwaraya non-Muslim acapkali akan meminta maaf hanya untuk meneguk air bekalannya ketika di mahkamah. "Saya minta maaf ya," katanya sopan dan serba salah.

Selalunya saya akan tersenyum dan menjawab,  "It's ok Puan. It is your rights."

Sekali itu saya ada berbual dengan seorang anak guam di kantin. Melihat saya masuk secara spontan rakan peguam non-Muslim saya terus mempelawa saya untuk makan dan turut serta di meja itu. Saya membalas mengatakan saya dalam puasa. Rakan itu terus berasa serba salah kerana mempelawa saya di awal tadi. Dia terlupa.

Friday, June 24, 2016

Girlfriend ke?

Beberapa hari lepas semasa hadir di Mahkamah Kanak-Kanak saya sempat bersembang santai dengan tiga orang penama yang dituduh. Ada yang menunggu untuk dijamin dan ada yang menunggu untuk dihantar pulang ke lokap sementara menunggu dibawa balik ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi.

Salah seorang itu dituduh dibawah Akta Racun kerana kesalahan memilik satu botol yang mengandungi air ketum. Hanya kerana penangan air ketum sebotol terpaksa naik turun mahkamah. Menyusahkan abangnya yang hanya bekerja sebagai seorang pemandu lori itu untuk membuat urusan jaminan. Tak berbaloi langsung kata saya kepada dia.

Thursday, June 23, 2016

Air Mata Ibu

Selama tiga hari berturut-turut sepasang suami isteri datang ke mahkamah untuk menjamin anak mereka yang telah ditangkap untuk kesalahan memiliki dadah.

Tiga hari lepas semasa mereka pertama kali datang ke mahkamah mereka memaklumkan saya bahawa mereka datang untuk menjamin anak mereka. Namun setelah menunggu hampir ke tengahari dan memeriksa dengan pendaftaran mahkamah nama anak mereka tidak ada dalam senarai kes baharu yang akan dituduh.

Wednesday, June 22, 2016

Satu Pagi Yang Syahdu

Saya tidak pasti hari itu sudah berapa hari umat Islam menyambut bulan Ramadhan. Tetapi peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya lagi.

Pagi itu seperti kebiasaannya pada pagi-pagi yang lain saya bergegas ke mahkamah. Terdapat dua kes yang saya kena saya kendalikan pada pagi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kebiasaannya juga sebelum pukul 9.00 pagi saya sudah sampai ke mahkamah. Tetapi pada hari itu nasib tidak berapa menyebelahi saya. Walaupun saya sampai dalam jangka waktu sebelum pukul 9.00 pagi namun keadaan di sekitar mahkamah agak sesak kerana terdapat satu kes yang melibatkan satu sosok pemimpin politik tanahair.

Tuesday, June 21, 2016

Rehat Sebentar

Usai kes-kes saya duduk sebentar dengan kawan-kawan. Lama sekali dapat berjumpa memandangkan masing-masing sibuk dengan kes masing-masing. Duduk dengan saya tuan peguam Nasrul yang tak pernah lekang dengan fail-fail tebal. Sejak muncul di kaca televisyen tampak semakin kacak.

Keduanya tuan peguam Khalil yang saya dimaklumkan bahawa sepanjang bulan Ramadhan ini agak sibuk dengan playstationnya. Mengalahkan budak-budak baru lepas SPM.

Monday, June 20, 2016

Untung Yang Dicari Tapi Rugi Yang Dapat

"Saya ni keluarkan produk sarang burung. Kemudiannya ada jumpa kenalan lama. Dia bagitau produk ni boleh jual. Jadinya dia join saya untuk marketkan produk ni. Saya tak tau bab MLM atau jualan langsung ni."

Anak guam saya ini memaklumkan kepada saya pagi tadi sebaik saya mengajukan soalan berkenaan dengan kes beliau ini. Sebelumnya telah dituduh dibawah Akta Jualan Langsung & Skim Anti Piramid 1993 yang mana jika sabit salah boleh didenda tidak kurang daripada lima ratus ribu ringgit dan tidak melebihi lima juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Friday, June 17, 2016

Penghantaran Pulang Segera

Kebiasaannya jika saya mewakili anak guam warga asing atau PATI yang dituduh dibawah Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 saya akan membuat rayuan mitigasi kepada Mahkamah Yang Mulia untuk hukuman pemenjaraan yang tidak begitu lama tempohnya.

Tempoh pemenjaraan yang lama kepada warga asing ini adalah satu perkara yang merugikan kerajaan. Banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam menampung banduan-banduan pesalah Imigresen ini disamping banduan-banduan tempatan di penjara seluruh negara.

Thursday, June 16, 2016

Postif Atau Negatif

"Pihak pendakwaan telah menerima laporan patologi dan ujian air kencing Tertuduh-tertuduh adalah negatif. Dengan itu pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atas Tertuduh-tertuduh ini".

Saya lihat Tertuduh-tertuduh menunduk muka masing-masing tanda kesyukuran. Ada sedikit air jernih berlinang di kelopak mata salah seorang daripada mereka.

Wednesday, June 15, 2016

Angkara Rokok

Sebelum ini anak guam saya telah ditangkap dan dituduh di bawah Seksyen 135b(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok-rokok yang tidak mendapat kelulusan cukai daripada pihak kastam.

Jumlah yang ditaksirkan tidaklah begitu banyak hanya RM74.80 sahaja. Pengakuan salah telah pun dibuat dan dikenakan hukuman denda sebanyak 13 kali ganda nilai barangan tersebut.

Tuesday, June 14, 2016

Tauke Kedai Runcit

Sambil berbual berkenaan dengan kesnya anak guam saya sempat bertanya samada firma kami ada mengendalikan kes-kes conveyancing iaitu kes berkenaan perihal jual beli hartanah. Ada kata saya menjawab kepada pertanyaan tersebut.

Dia memaklumkan bahawa dia dahulunya pernah bekerja sebagai despatch di beberapa firma guaman di Bangsar. Firma yang mengendalikan kes-kes conveyancing. Saya tidaklah begitu hairan memandangkan saya turut mengenali abangnya yang turut bekerja di sebuah firma guaman sejak beberapa lama dahulu.

Selepas daripada berhenti bekerja dia menjalankan perniagaan kedai runcit. Sebelum ini dia menguruskan sendiri kedai runcitnya sendiri tapi sekarang tidak lagi katanya. Saya membuat telahan yang dia tidak lagi berniaga bila dia memberitahu sedemikian.

Monday, June 13, 2016

Dia Mahu Pulang

Anak guam saya itu tunduk memandang lantai bilik mahkamah dengan penuh sayu. Air mata sentiasa berlinangan. Sehinggakan salah seorang anggota polis mahkamah yang bertugas hari itu menanyakan kepada saya kenapa anak guam saya itu asyik menangis.

Dia ingin pulang segera ke negara asalnya, Bangladesh. Maklum saya kepada anggota polis muda itu.

Anak guam saya ini telah dituduh dibawah Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/64 iaitu kesalahan masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah. Setelah semakan passport miliknya dengan pihak imigresen dibuat oleh pegawai penyiasat tidak terdapat sebarang rekod keluar masuk berdasarkan maklumat atas passport tersebut walaupun passport tersebut adalah passport yang sah.

Petua

Sambil Timbalan Pendakwaraya membelek fail siasatan saya mencelah meminta dia menunjukkan saya gambar mangsa kemalangan maut yang melibatkan anak guam saya.

Gambar yang ada pada saya adalah gambar hitam putih yang disalin balik. Tidak berapa jelas pada pandangan mata kaput saya ini.

Lalu dia pun menyelak helaian kertas-kertas dalam fail siasatan di hadapan beliau. Duduk berdekatan ada dua orang abang polis trafik yang saya kenal.

Friday, June 10, 2016

Saya Ada Check Dia

"Bila saya tengok CCTV saya nampak lelaki yang saya saya cam. Dia memang duduk di apartment situ juga."

Seorang kakak yang baharu kehilangan van sekolah miliknya selepas rumahnya dimasuki oleh pencuri memberitahu saya. Dia masih dalam keadaan trauma gayanya.

Dia datang pejabat guaman saya untuk memfailkan saman di atas kerugian yang dialaminya ke atas pihak JMB dan juga pihak kawalan keselamatan.

Thursday, June 9, 2016

Gate

Saya berasal dan membesar di sebuah kawasan bernama Mata Ayer di Perlis. Di situ terdapat satu kawasan yang dikenali dengan nama Gate. Kami orang Mata Ayer memanggil kawasan itu sebagai Gate memandangkan di situ terdapat kawasan lintasan keretapi berpagar. Apabila masa untuk laluan keretapi palang pagar akan diturunkan bagi memberikan laluan.

Itu adalah antara detik yang saya selalu nantikan. Melihat gerabak-gerabak yang besar melintas di hadapan memberikan satu perasaan teruja yang tidak dapat digambarkan rasanya. Bahkan perasaan tersebut terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Pantang terlihat keretapi sedang meluncur pasti pandangan saya akan beralih ke arahnya. Kadang-kala saya cuba berkongsi perasaan teruja itu dengan anak-anak saya dengan harapan mereka akan merasai keterujaan yang saya rasai itu dalam diri mereka.

Wednesday, June 8, 2016

Untuk Apa

Kes seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikenakan hukuman pemenjaraan selama setahun atas kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berlegar-legar di laman sosial.

Tanpa kehadiran seorang peguambela dia telah membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Sesyen yang kemudiannya telah menjatuhkan hukuman tersebut.

Saya selalu ditanya kenapa hendak melantik peguambela seandainya ingin membuat pengakuan salah? Bukannya hendak melawan kes pun.

Keramat Telaga Dewa

BAB 2 

Motor jenis Honda C70 itulah yang menjadi nadi bagi mereka sekeluarga untuk bergerak ke mana-mana. Itu sahaja yang termampu oleh Din Hitam. Hendak merasa naik kereta sebulan sekali pun belum tentu lagi. Pendapatan dia pun tidak menentu. Macam mana hendak memiliki kereta. Kantung duitnya bergantung kepada upah-upah kerja yang diambil daripada orang-orang kampungnya atau di kawasan sekitar. 

Kalau banyak kerja maka banyaklah yang dia dapat. Ada masanya upah yang dia dapat untuk sehari kerja bolehlah bertahan untuk sehari dua. Tapi selalunya upah harian yang dia dapat hanya dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga untuk hari itu sahaja. Ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tuesday, June 7, 2016

Patut Kurus

Minggu lepas ibu kepada anak guam saya memaklumkan kepada saya bahawa anaknya itu tidak dapat dihubungi dan dikesan. Anak guam saya itu baru mencecah umur 18 tahun dan duduk di luar bersama-sama rakannya. Ibunya itu turut memaklumkan bahawa besar kemungkinan anaknya itu ditangkap polis. Ini diberitahu oleh rakan serumah anaknya itu kepadanya semasa dia datang ke rumah sewaan anaknya itu.

Selamat Pulang

Dalam sibuk saya mengerjakan urusan dunia yang tidak pernah senggang daripada saya ini beberapa hari lepas saya dan rakan-rakan telah menerima perkhabaran akan pulangnya seorang lagi teman sepengajian dahulu.

Nun beberapa bulan sebelumnya juga telah adanya pulang kepangkuan Ilahi seorang juga teman sepengajian kami. Moganya roh kedua-dua mereka ini aman dan tenang di sana saat penungguan kebangkitan semula. Al-fatihah.

Nyatanya urusan mereka di muka bumi telah selesai. Cumanya tinggal kita sahaja yang masih belum lagi. Entah bila akan selesainya. Semoga Ramadhan kali ini boleh menjadi pemangkin untuk saya dan rakan-rakan dalam memperbaiki kekurangan dan kecacatan dalam kehidupan sementara kita ini. Inshallah.

Monday, June 6, 2016

Berpuasa Dengan Kawan-Kawan

Saya sampai di Puduraya pagi itu dalam lebih kurang pukul 5 lebih. Masih berbaki lagi masa untuk bersahur. Saya terus bergegas ke kedai mamak yang berdekatan dengan Puduraya. Apa entah nama dia. Saya tidak ingat. Tetapi kedai mamak itu terletak satu bangunan dengan Basement Record. Tempat anak-anak muda punk diy mencari bahan-bahan halwa telinga.

Sampai di sana Mat Hadi dengan Enal sudah ada. Baru lepas pekena roti canai dengan teh tarik. Saya pun kemudiannya memesan benda yang lebih kurang sama. Lagi pun baru bangun sebab sepanjang perjalanan memang saya tidur. Nafsu untuk melayan beriani memang tak ada langsung.

Thursday, June 2, 2016

Tok Wan

Saat kelahiran sehingga ke lingkungan umur lima ke enam tahun saya sekeluarga menetap di rumah tok wan saya. Sebuah rumah kayu dua lapis yang asalnya dibina sendiri oleh tok wan. Jadi tidak hairanlah hubungan saya dengan tok wan agak rapat sehinggalah ke saat-saat nafasnya yang terakhir.

Tok wan orangnya berbadan besar dengan kulit sedikit gelap. Sebelum pencennya bekerja makan gaji sebagai guru mengajar mengaji. Pernah dia mengajar di beberapa buah sekolah di sekitar negeri Perlis. Punya ramai anak-anak murid yang hampir seusia dengannya.

Saat ini bila saya kenang kembali zaman kanak-kanak saya selain keluarga saya banyak juga masa saya dengan tokwan tanpa saya sedari. Tok wan ada dalam kebanyakan waktu dan perjalanan hidup saya. Cuma saya sahaja yang tidak sedar.

Tak Hisap Rokok

Sambil bersembang-sembang tadi sementara menunggu pesanan makanan kami sampai bekas anak guam saya itu mengeluarkan satu kotak rokok daripada beg pinggangnya.

Sekotak Gudang Garam. Dikeluarkan sebatang dengan cermat dan kemudiannya mencucuhnya. Perlahan-lahan dia menyedut rokok kretek tersebut. Dihembusnya dengan penuh nikmat.

"Masa dalam penjara abang hisap rokok?" saya tanya sambil sambung menyedut kopi o ais.

"Kat dalam tak hisap pun.."

Wednesday, June 1, 2016

Gurindam 12

Bila bekas anak guam bercerita bab Gurindam 12 saya hanya mampu mendengar sahaja. Siap dinyanyikan beberapa bait dalam gurindam-gurindam tersebut.

Saya lebih suka bersembang dengannya semasa dia dalam tahanan daripada sekarang. Sembangnya sekarang terlalu deep. Mungkin penangan ubat psychiatric yang dia ambil barangkali. Melankoli sangat perginya.

Pen-Pal

Saya membesar di zaman yang mana komputer dan internet itu adalah satu perkara yang masih asing. Semasa saya dibangku sekolah rendah wujudnya satu trend di mana kawan-kawan sebaya di masa itu galak mempunyai pen-pal. Kenalan yang kebiasaannya adalah daripada luar negara.

Jadi saya juga tidak ketinggalan untuk turut mempunyai pen-pal. Terasa begitu gah sekiranya mempunyai pen-pal ini. Apatah lagi bagi anak-anak kampung seperti saya dan rakan-rakan persekolahan yang lain.

Dapat menayangkan surat yang bercop dan bersetem daripada luar negara kepada rakan-rakan sekelas yang lain adalah satu kepuasan dan kebanggaan yang tidak dapat digambarkan. Seolah-olah mendapat sijil penghargaan lagak dan gayanya. Itu pada padangan seorang budak sekolah darjah lima era awal 90-an.

Monday, May 30, 2016

Too Nice

Semasa hendak mengikuti latihan dalam kamar (chambering) seorang kenalan saya yang juga seorang produser di salah sebuah stesen televisyen swasta bertanya kepada saya hendak menjadi lawyer apa. Yakni ingin beramal sebagai peguam di bidang apa. 

Saya kemudiannya menjawab hendak menjadi seorang lawyer jenayah. Sahaja main hentam sahaja cakap begitu. Hendak bagi nampak kemaih di hadapan kawan saya yang lebih berumur itu. Tetapi kemudiannya dia siap cakap,"You are too nice to be a criminal lawyer".

Saya sambung menghirup teh o suam yang masih berbaki di hadapan saya itu.

Sunday, May 29, 2016

Kaki Jalan

Kaki Jalan yang ditulis oleh penulisnya Sharifah Nursyahidah adalah sebuah travelog yang saya kira penuh dengan catatan-catatan berbentuk sosial dan politikal. Catatan separa kiri oleh seorang gadis punk aktivis.

Yang mana sama sekali menyanggah konklusi awal saya apabila saya mendapatkan naskah ini daripada penerbit buku travelog ini yang diterbitkan oleh Deleted Books.

Ternyata ianya bukanlah catatan-catatan pengalaman yang biasa-biasa. Catatan perjalanan penulis yang menyingkap sosio-budaya negara-negara yang dijejaknya.

Tatkala menelaah dan menghadam naskah ini ide-ide perlawanan yang telah lama tumpul dalam benak fikiran kembali menyegar. Sudah agak lama saya tidak menelaah penulisan-penulisan sebegini selama saya kurang aktif membelek dan menyelak penerbitan berbentuk zine.

Friday, May 27, 2016

Doa Ibu

Sebelum Yang Arif Hakim menjatuhkan hukuman saya menyarankan kepada ibu anak guam saya untuk berdoa. Selalunya doa seorang ibu itu senang termakbul. Di samping mengambil keberkatan hari Jumaat yang mulia ini. Mudah-mudahan dipermudahkan semuanya.

Pesan sebegini saya selalu titipkan kepada anak guam saya mahu pun ahli keluarga mereka. Tidak kira apa anutan dan pegangan mereka.

Sekolah Undang-Undang

Semasa di sekolah undang-undang saya langsung tidak menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang peguam. Pengajian saya dalam bidang undang-undang bukanlah pilihan saya tetapi lebih kepada pilihan ayah saya. Ianya sama sekali bukan bidang yang pernah saya impikan.

Semasa minggu pertama di pusat matrikulasi seorang pensyarah telah menanyakan satu soalan cepu emas kepada saya dan juga para pelajar yang lain di dalam kelasnya itu. Sesiapa yang memasuki bidang undang-undang ini bukan kerana pilihannya sendiri disuruh mengangkat tangan.

Laju sekali saya mengangkat tangan saya tatkala selesai sahaja pensyarah tersebut menanyakan soalan tersebut kepada seluruh kelas. Saya lihat beberapa pelajar yang lain turut mengangkat tangan juga.

Thursday, May 26, 2016

Ke Jepun

Usai kes di mahkamah tinggi saya bergegas ke mahkamah sesyen yang terletak di bangunan bersebelahan.

Anak guam saya seramai tiga orang baharu sahaja dibawa daripada IPD untuk dipertuduhkan di mahkamah. Ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan terpinga-pinga. Salah seorang sempat bertanya saya samada dia akan dibebaskan pada hari ini.

Saya maklumkan kepadanya jika sudah dibawa ke mahkamah untuk dipertuduhkan di mahkamah hanya ada dua sahaja pilihan yang dia ada. Samada membuat pengakuan salah atau pun tidak. Sekiranya pengakuan salah dibuat maka hakim akan terus menjatuhkan hukuman pemenjaraan.

Wednesday, May 25, 2016

Penantian

Sepanjang minggu ini jadual kes saya telah ditetapkan untuk satu perbicaraan di mahkamah tinggi. Yang mana dalam kes ini anak guam saya telah dituduh dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Anak guam saya ini telah ditahan reman semenjak penghujung tahun 2014 yang mana jika dicongak sudah lebih setahun setengah dia di Penjara Sungai Buloh.

Namun apakan daya perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan berjalan sepanjang minggu ini terpaksa ditangguhkan ke hujung bulan September. Ini merupakan penangguhan perbicaraan yang kedua kali.

Tuesday, May 24, 2016

Pergi Tak Kembali

Selesai semua urusan di mahkamah saya singgah sebentar ke pasaraya Giant. Selesai membeli beberapa barang kelengkapan saya pun turun ke bawah untuk ke bahagian lain. Semasa sedang turun dari tingkat atas Giant saya terperasan seorang lelaki. Saya dari atas hendak turun ke bawah manakala dia pula dari tingkat bawah hendak ke tingkat atas. 

Kami berselisih. Tengok dari raut mukanya macam saya kenal. Bila saya amati lebih lama lagi rupanya-rupanya dia ini sekampung dengan saya. Tapi saya tidak pernah sangat melepak dengan dia memandangkan faktor usia saya dengan dia.

Dia ada kelompok rakan-rakan sekampung yang lain. Kelompok yang lebih tua sedikit daripada saya. Lagi pun rumahnya di luar kampung, betul-betul berhadapan dengan jalan utama untuk masuk ke kampung saya. Manakala rumah saya agak masuk ke dalam sedikit. Walaupun begitu disebabkan satu kampung mestilah saya mengenalinya walaupun bukan satu geng lepak.

Monday, May 23, 2016

Semangat Yang Hilang

Bila hampir genap 7 bulan latihan dalam kamar (chambering) perasaan bosan mula melanda diri saya. Mungkin kerana kerja-kerja yang pada awalnya dahulu menarik minat saya tidak lagi terasa menarik memandangkan ianya telah menjadi rutin harian. Jiwa idealis saya memberontak.

Meronta-ronta. Mahukan sesuatu yang saya rasa mencabar atau pun excited pada jiwa muda saya pada masa itu.

Dunia peguam bukanlah dunia yang patut saya teruskan. Fikir saya. Saya telah nekad untuk tidak terus bergelumang dengan dunia yang saya rasakan tidak kena dengan jiwa saya ini.

Saturday, May 21, 2016

Catatan Sebelum Maghrib

CATATAN SEBELUM MAGHRIB
Diari Seorang Imam

Catatan Tok Ime Mesjid Muhammadi Kota Bharu, Kelate Al-Fadhil Ustaz Rosli Che Soh.

Coretan dan catatan sebuah pengalaman secara realiti seorang imam yang terlibat dan bergaul secara langsung dengan masyarakat. Diolah secara santai dengan menggunakan bahasa daerah yang sangat menarik.

Sebaik-baik Perancangan

Hari ini adalah hari pendengaran bagi satu Notis Usul (motion) yang difailkan oleh saya bagi pihak anak guam saya untuk mendapatkan satu lanjutan masa bagi memfailkan Notis Rayuan mereka.

Setelah masing-masing; pihak Pemohon dan juga pihak Responden memasukkan afidavit-afidavit masing makan satu perintah akan dibuat berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan masing-masing.

Selaku peguambela bagi pihak pemohon seboleh-bolehnya saya mahukan satu perintah yang berpihak kepada saya dan anak guam saya. Begitu juga sebaliknya rakan bijaksana saya di pihak responden – Pendakwaraya mahukan satu perintah yang memihak kepada mereka iaitu satu penolakan terhadap Notis Usul ini. 

Thursday, May 19, 2016

Encik Mat

Sedang elok saya keluar daripada bilik mahkamah saya ada terima panggilan daripada seorang lelaki. Lelaki tersebut ingin berjumpa dengan saya untuk mendapatkan nasihat berkenaan dengan kesnya. Saya kemudiannya menyuruh dia untuk terus datang sahaja ke pejabat saya memandangkan saya sudah hampir selesai kes di mahkamah.

Mulanya saya pelik juga sebab dia mencari lawyer En. Mat sebab tak pernah orang panggil saya macam tu.Sepanjang perbualan telefon dia membahasakan saya dengan nama En. Mat. Walaupun agak pelik mulanya saya teruskan perbualan dengannya memandangkan dia memaklumkan bahawa dia mendapat nombor telefon saya daripada seorang rakan peguam yang lain.

Monday, May 16, 2016

Buang Kes

Dalam keadaan tidak berapa sihat lagi dengan izin Allah saya gagahkan diri untuk menghadiri satu kes perbicaraan saya pagi tadi di mahkamah majistret.

Ini tarikh kedua ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes ini. Pada tarikh dahulu pengadu dalam kes ini tidak hadir. Jadi fikir saya pada kali ini mungkin juga beliau tidak akan hadir juga.

Kalau pengadu tidak hadir tidak dapat tidak memang saya akan memohon mahkamah untuk DNAA kes.

Sebelum sampai lagi saya terima whatsapp daripada anak guam saya yang memaklumkan bahawa pengadu dalam kes ini telah hadir. Sebaik sampai saya cuba dapatkan kepastian daripada anggota polis mahkamah dan pegawai penyiasat sendiri yang kebetulan berada di luar mahkamah.

Sunday, May 15, 2016

Penarik

"Saya jadi penarik saja. Tukang tarik 'barang'. Ambik upah daripada tokan. Kadang dari KL ke Kedah. Kadang dari Siam bawak masuk sini."

Saya tanya pasai apa dia tak jual sekali dah alang-alang dia boleh bawak masuk dadah. Lagi untung.

Perbualan secara ringkas yang tidak dirancang dengan seorang tertuduh yang duduk bersebelahan dengan anak guam saya setelah saya selesai berbincang berkenaan dengan kes anak guam saya.

"Berdosa juai dadah ni," dia habaq dekat saya.

Monday, May 9, 2016

Baucer Buku 1Malaysia

Sambil menunggu untuk kes saya dipanggil saya berjalan-jalan keluar dari bilik mahkamah. Penat duduk lama-lama di kerusi. Boleh lenguh punggung juga kalau lama sangat dibuatnya menunggu kes dipanggil.

Di bangku di luar bilik mahkamah terdapat beberapa orang yang tengah duduk sambil  bersembang sesama mereka. Butiran perbualan mereka tidak berapa jelas pada pendengaran saya. Yang terdengar dek telinga saya ada beberapa kerat bercakapan seseorang lelaki yang paling tua dalam kelompok tersebut tengah meluahkan rasa marah pada seorang lelaki yang lain.

Saturday, May 7, 2016

SURVIVOR The Triumph Of An Ordinary Man In The Khmer Rouge Genocide

Buku ini merupakan catatan penulis Chum Mey, iaitu satu-satunya tahanan perang Khmer Rouge yang terselamat di Penjara Tuol Sleng yang juga dikenali sebagai S-21. Penjara yang dahulunya adalah sebuah sekolah telah dijadikan pusat interrogasi yang utama semasa zaman pemerintahan Khmer Rouge di Kemboja yang mana menyaksikan hampir 1.7 juta rakyat Kemboja terkorban.

Di Penjara Tuol Sleng sendiri lebih daripada 12,000 rakyat Kemboja yang dibawa ke situ menemui ajal mereka samada akibat diseksa atau dibunuh secara kejam. 

Thursday, May 5, 2016

Susah Nak Jadi Doktor



KUALA LUMPUR, 3 Mei — Kementerian Kesihatan mencadangkan agar graduan perubatan boleh berkhidmat di kementerian lain dalam menangani masalah kekurangan perjawatan bagi pegawai perubatan baharu di hospital kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S. Jeyaindran berkata cadangan itu sebagai alternatif ekoran ramai graduan perubatan terpaksa menunggu lama sebelum mereka dapat berkhidmat di hospital kerajaan….

Masalah kekurangan perjawatan bagi pegawai perubatan menunjukkan seolah-olah doktor-doktor perubatan telah banyak dan melimpah di hospital-hospital kerajaan. Jadinya para adik-adik yang baru sahaja bergraduasi dalam bidang kedoktoran ini terpaksa menunggu masa yang lama untuk menjalani housemanship

Tuesday, May 3, 2016

Keramat Telaga Dewa

BAB 1

Balik sekolah tadi semasa melintas di hadapan kawasan tanah terbiar yang dipenuhi dengan semak samun dan anak-anak pokok petai belalang itu Faiz ternampak lagi kelibat lelaki tua mundar mandir dalam kawasan tersebut. Tak tahu apa yang dibuatnya di situ. Masuk hari ini sudah hampir seminggu Faiz nampak kelibat lelaki tua itu.

Faiz tidak pasti siapa lelaki tua itu atau pun daripada mana dia datang. Masakan Faiz tidak kenal kalau orang itu orang kampungnya atau pun orang luar yang selalu ulang alik masuk ke kampungnya.

Monday, May 2, 2016

Finding Myself: The Adventures Of An American In Malaysia

Buku bertajuk Finding Myself: The Adventures Of An American In Malaysia ini adalah mengisarkan tentang catatan penulis Walter T. Yurt, seorang warganegara Amerika Syarikat sepanjang menjalani kehidupan di Malaysia. Meninggalkan dunia korporat dan kemudiannya mengejar impian terpendamnya untuk menjadi seorang pendidik telah membawa penulis ke Malaysia.

Friday, April 29, 2016

Lanjutan Masa

Pagi tadi saya menghadiri kes saya di Mahkamah Rayuan di mana daya mewakili anak-anak guam saya untuk mendapatkan satu lanjutan masa bagi memfailkan Notis Rayuan terhadap rayuan hukuman mereka. Kedua-dua mereka ini telah dituduh dibawah SOSMA kerana disyaki terlibat dengan kegiatan IS. 

Wednesday, April 27, 2016

Tembakau Punya Hal

Habis kes saya bersembang dengan isteri anak guam saya. "Abang ada mintak apa-apa ke kak?" tanya saya. "Ada. Tembakau dengan 'batu api'."

Memiliki tembakau dan 'batu api' di dalam penjara membuatkan hierarki seorang tahanan itu di tingkat yang lebih tinggi sesama mereka. Boleh jadi 'king'.

Tuesday, April 26, 2016

Bila Mata Mula Berhabuk

Dalam kerjaya saya seorang peguambela ada dua ketika yang sering kali menyentuh perasaan. Apabila Yang Arif Hakim menyabitkan anak guam atau apabila Yang Arif Hakim melepaskan/membebaskan anak guam. Detik-detik ini akan membuat anak guam mahupun keluarga mereka berlinangan air mata.

Friday, April 22, 2016

Dia Ada Buat

“ ORANG AWAM DILARANG MASUK”. Notis yang ditampal di daun pintu di hadapan saya. Daun pintu tersebut saya tolak dan kaki saya melangkah masuk ke ruang di dalamnya.

Dalam beberapa langkah saya menyapa seorang anggota Polis yang beberapa tidak jauh daripada saya. “Incharge ada?”.

“Ada kat dalam tuan,” jawap beliau dengan cepat.

Thursday, April 21, 2016

Cerita Kilat

Bila bercerita pasal kilat saya teringat dengan cerita Arwah Pak Bakaq dulu.

Arwah Pak Bakaq adalah jiran sekampung dengan saya. Rumahnya pun memang terletak sangat dekat dengan rumah saya. Sementelah itu juga Arwah Pak Bakaq juga adalah kawan ayah saya. Sama-sama satu sekolah Melayu dulu. Sekarang saya dengan anak-anaknya pula yang menjadi kawan. Menyambung persaudaraan yang sedia terjalin sejak dahulu.

Dengar ceritanya arwah Pak Bakaq dulu masuk askar. Seingat saya bila saya berpindah ke kampung itu Arwah Pak Bakaq sudah pun berhenti kerja askar. Dia kerja menjadi pengawal keselamatan di ladang tebu. Siapa yang pernah ke Padang Besar Perlis mesti akan melalui kawasan ladang tebu tu. Memang luas. Seluas mata memandang. Arwah Pak Bakaq pernah memberitahu saya di dalam tu memang siap ada babi hutan duduk beranak pinak.

Wednesday, April 20, 2016

Rogol

i.
Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan memperuntukkan adalah menjadi kesalahan rogol yang mana walaupun persetubuhan yang dilakukan oleh lelaki ke atas seorang perempuan adalah dengan kerelaan perempuan itu namun kebenaran untuk melakukan persetubuhan tersebut adalah diperolehi dengan menggunakan kedudukan berkuasanya terhadap perempuan itu atau kerana hubungan profesional atau hubungan amanah lain yang berhubungan dengannya.

Tuesday, April 19, 2016

Kenapa Kena Lantik Peguam?

Sebaik keluar dari kiosk saya disapa oleh seorang perempuan separuh umur. “Mahkamah Majistret dah bersidang ke?”. Tanya dia kepada saya dengan sopan. Saya memaklumkan bahawa mahkamah sedang bersidang memandangkan ada satu kes yang sedang dibicarakan di mahkamah majistret tersebut. Dia mengangguk-angguk faham dan memberitahu kepada seorang perempuan tua yang sudah berusia yang duduk bersama dengannya di meja bulat di luar kiosk tersebut. Menurutnya lagi mereka telah sampai ke mahkamah seawal jam lapan setengah pagi.

Monday, April 18, 2016

Menumpang Teduh Pohon Akasia


Naskah travelog yang bertajuk Menumpang Teduh Pohon Akasia ini agak lambat saya miliki walaupun penulisnya adalah kenalan saya sendiri iaitu saudara Muhammad Suhail Ahmad. Akhirnya naskah ini saya dapatkan daripada sebuah kedai buku di sebuah pusat membeli belah.

Sunday, April 17, 2016

Orang Kata

"Kalau ada duit sejuta pun kalau orang bagi dekat kita kena ambik. Tu rezeki kita. Jangan tolak rezeki yang datang sebab kita tak tahu lagi rezeki kita ke depan macam mana"
- Pak Hassan

Friday, April 15, 2016

Orang Tua Bersembang

Selepas selesai urusan tukar nama Pak Hassan mengajak saya pergi minum. Bila semua sudah selesai barulah nak pekena teh pun seronok sikit. Sambil-sambil tu boleh juga bersembang apa yang patut dengan beliau. Saya sebenarnya memang langsung tidak mengenali Pak Hassan ini.

Ini pun disebabkan vespa tu. Pak Hassan ni rasanya saya boleh memanggilnya dengan panggilan tok wan kalau dilihat daripada fizikal dan raut wajahnya. Seorang yang agak tua juga. Vespa saya yang dibeli olehnya adalah untuk dia berikan kepada cucunya memandangkan cucunya itu berminat dengan vespa yang dia yang miliki sekarang. Vespa tu pun baru dibeli dengar ceritanya.

Thursday, April 14, 2016

Saved By The Penis

"The reference to a person who has a penis cannot be construed to include a woman without doing violence to common sense and anatomy".

Antara laporan berita yang sempat saya baca dalam keratan akhbar The Star hari ini. Yang mana Hakim Mahkamah Tinggi Singapura,Kan Ting Chiu mengenepikan pengakuan salah oleh seorang Tertuduh dan membebaskannya.

Kilat

Perihal guruh dan kilat. Orang tua-tua  memang pantang betul kalau masa guruh duduk di luar. Arwah Tok Wan semasa saya kecil dahulu mesti akan menjerit menyuruh masuk dalam rumah kalau hujan dan ditambah dengan guruh kilat ini.

Wednesday, April 13, 2016

Harga Orang Kurus


Lelaki Cina yang berumur lebih separuh abad itu mula mengambil pita mengukur dan mengukur ukuran fizikal saya. Dari satu bahagian ke satu bahagian. Kemudiannya dia beralih kepada bahagian pinggang saya. Cuba mengambil ukur lilit pinggang saya. Ukurannya 40" setengah. 

Tuesday, April 12, 2016

Manusia Itu

Seringkali saya melihatnya dulu semenjak zaman saya bersekolah. Saya namakan dia sebagai Desa sahaja. Dia sering mengayuh basikal tuanya dari rumahnya ke pekan dan juga kawasan-kawasan sekitar.

Dia sememangnya gila. Itulah fakta yang masyarakat tahu tentang manusia ini. Gila? Bunyinya agak kasar. Tapi itulah hakikatnya. Selain dari basikal yang menjadi tunggak aktiviti sehariannya, dia juga punya citarasa tentang penampilannya. Bertopi seperti yang dipakai oleh anak-anak muda hip hop dan yang penting sekali dia tidak pernah lekang dengan headphone di kepalanya.

Monday, April 11, 2016

Tak Gila Pun

Al-kisah tersebutlah satu kisah. Ceritanya pasal dua orang budak lelaki yang boleh dikatakan agak akrab hubungan antara mereka berdua. Seorang bernama Chot dan seorang lagi bernama Mat Nan. Setakat mana keakraban hubungan kedua-dua budak tersebut tidaklah diketahui. Tetapi yang pastinya mereka ni selalu sahaja bersama-sama. Pagi-pagi ke sekolah pun bersama, petangnya sama-sama lepak di parit sama-sama cari ikan laga. Malamnya pula sama-sama pergi mengaji. Begitulah rutin dua orang budak lelaki tu.

Suatu hari semasa dalam kelas mata pelajaran ilmu hisab cikgu diorang yang sememangnya dikenali dengan tabiat suka mencubit perut budak-budak yang kantoi hafal sifir, Cikgu Derih memberikan satu nasihat. “Jangan suka tidur petang, nanti boleh jadi gila tau tak.".

Friday, April 8, 2016

Serunai Sepi

Seni permainan serunai terinai hanya sempat saya pelajari untuk beberapa ketika sahaja. Atas kesibukan masa dan lokasi tempat belajar pula di Perlis, pembelajaran saya terhenti setakat separuh jalan sahaja.

Pada asalnya saya hanya ingin mempelajari permainan serunai tanpa saya mengetahui bahawa rupanya di Perlis terdapat dua jenis serunai iaitu Serunai Terinai dan Serunai Silat.

Thursday, April 7, 2016

Selangkah Ke Alam Misterius

Kami telah sepakat pada malam itu. Saya, Zaki, Mat, Nasir dan Deris sebulat suara mahu menonton VCD cerita horor melayu bertajuk Momok. Cerita ini memang tengah hot di kampus kami pada ketika itu. Jadi sebagai penuntut Melayu yang berdaya saing maka kami juga tidak mahu ketinggalan dan dianggap tidak peka dengan isu-isu lokal.

Zaki berbesar hati untuk menjadi tuan rumah (dibaca bilik) pada malam itu. Bilik Zaki di tingkat 4, iaitu tingkat paling atas blok bangunan tempat para penuntut ditempatkan. Saya, Mat, Nasir dan Deris berkerumun di hadapan komputer milik Zaki yang sudah separuh usia itu. Tingkap bilik sengaja dibiarkan terbuka.

Monday, April 4, 2016

Biji Hitam Bersepah

Sebaik sahaja pintu lif terbuka saya terus meluru masuk ke dalam perut lif. Saya tekan butang yang tertera nombor 9. Mahkamah yang bersidang terletak di tingkat 9 kompleks bangunan mahkamah.Pagi itu saya ada satu kes yang telah ditetap untuk perbicaraan.

Sampai di tingkat 9 pintu lif pun terbuka. Sebaik keluar daripada perut lif saya ternampak seorang lelaki separuh umur yang memang kebiasaanya saya nampak setiap hari.

Tuesday, March 29, 2016

Sakit Apa?

Ketika sedang sedang duduk di bangku menunggu giliran untuk kes saya dipanggil, terdengar kakak-kakak di situ berbual sesama mereka. Rancak sahaja gayanya. Saya pun memasang telinga mendengar kalau ada benda-benda yang hot dan sensasi yang mungkin dibincangkan oleh mereka. Saya dengar salah seorang dari mereka bercakap tentang hal kesihatan.

Thursday, March 24, 2016

Minum Petang

Jam menunjukkan angka lebih kurang pukul enam. Mata pun dah hampir layu dek mengadap skrin komputer. Semuanya gara-gara untuk menyiapkan beberapa kerja yang tertangguh sebelum ini. Sedar tak sedar perut pun rasa berkeroncong. Rasa kosong. Nasi putih dengan ikan kembung masak kicap yang saya makan lewat tengahari tadi terasa cepat betul hadamnya.

Tuesday, March 22, 2016

Kuala Terengganu II

Selesai urusan kerja di sebuah agensi milik kerajaan di Kuala Terengganu saya mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan berdekatan. Orang kata kalau ke Kuala Terengganu tidak lengkap kalau tidak singgah ke Pasar Payang.

Jarak ke Pasar Payang pun saya kira tidak berapa jauh dengan tempat saya berusan tadi. Hanya lima minit berjalan kaki. Itu apa yang diberitahu kepada saya oleh seorang kakak pemilik kedai makan tadi. Zaman tu belum ada lagi applikasi seperti Waze atau pun Google Map. Jadinya masih ada ruang interaksi secara nyata antara sesama manusia walaupun untuk hal yang kecil sebegini.

Monday, March 21, 2016

Pengalaman Ke Kuala Terengganu

Setiap orang mempunyai pengalaman masing-masing yang tidak dapat dilupakan. Saya juga mempunyai satu pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan. Peristiwa ini berlaku pada hari pada akhir tahun 2009. Namun sehingga ke hari ini peristiwa itu masih menghantui diri saya. Saya menjadi fobia.

Ceritanya bermula pada satu pagi minggu bekerja yang hening. Saya ada urusan penting di Kuala Terengganu. Sebenarnya urusan itu adalah urusan bos saya. Oleh kerana saya bekerja dengan bos saya maka urusan bos saya secara rasminya menjadi urusan saya. Saya berasa sungguh gembira kerana dapat pergi outstation.

Friday, March 18, 2016

Neraka Kirim Salam

Bau semerbak pisang goreng yang baharu siap digoreng dan dihidang di atas meja menusuk-nusuk rongga hidung. Di tambah pula dengan aroma kopi kampung yang dibancuh panas.

Memang satu hidangan kombo yang lengkap. Kena pula baharu sahaja lepas hujan. Ibarat orang mengantuk disarung bantal.

Kepingan pisang goreng yang pertama saya ambil tanpa lengah dan terus mengunyah dengan nikmatnya. Habis kepingan pertama saya langsung sambung mengambil kepingan yang kedua.

Thursday, March 17, 2016

Aci-aci Buka Pintu

Jam lebih kurang pukul 5.00 petang. Tingkat 4 Wisma Lelaki-lelaki Hebat. Kelihatan kelibat seorang lelaki yang tidak kurang kacak baharu sahaja keluar dari perut lif. Dengan gaya ala-ala James Bond dia berjalan menuju ke arah pintu pejabat. Kemudiannya dia berdiri tercegat di hadapan pintu tersebut.

Lelaki budiman itu terus berdiri di hadapan pintu separa kaca itu sambil diperhatikan oleh gadis-gadis kerani dari ruang dalam pejabat dengan pandangan pelik dan aneh. Kelihatan suasana menjadi agak kaget buat seketika.

Wednesday, March 16, 2016

Amanlah Di Sana

Kali pertama berjumpa dengan anak guam saya ini tidak ada apa-apa yang nampak pelik daripada perawakan dan perwatakannya. Gaya pertuturan dan juga percakapan beliau dengan saya juga sopan dan penuh adab. Nampak sosok seorang lelaki yang sihat.

Anak guam saya ini dituduh untuk satu kesalahan dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompak berkumpulan secara bersenjata.

Tuesday, March 15, 2016

Tuan Haji

Saya mengendalikan satu kes dadah di mana anak guam saya telah dituduh dibawah Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan juga akan dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada sepuluh sebatan jika sabit kesalahan.

Memandangkan pertuduhan untuk seksyen ini adalah dibawah kesalahan yang tidak boleh dijamin makanya anak guam saya ini terpaksa di reman di Penjara Sungai Buloh selama tempoh perbicaraan kes beliau ini selesai.

Monday, March 14, 2016

Butterflies In Stomach

Seorang senior lawyer (Allahyarham) pernah memberitahu saya sekiranya tidak ada lagi 'butterflies in stomach' ketika saya mengendalikan kes-kes itu petanda untuk saya berhenti daripada beramal sebagai peguam.

Tak ada gunanya kalau tak ada 'thrill'.

Friday, March 11, 2016

Reman Kes POTA

Salah seorang anak guam saya sebelum ini telah ditahan dibawah SOSMA yang memberikan peruntukan kepada pihak polis untuk penahanan reman selama 29 hari. Namun kemudiannya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa beliau tidak akan dipertuduhkan di mahkamah tetapi sebaliknya akan dikenakan POTA.

Saya katakan kepada keluarga beliau tidak ada apa-apa yang saya boleh lakukan. Peruntukan untuk mereman tahanan POTA dan POCA bukannya seperti peruntukan kesalahan-kesalahan lain dibawah Kanun Keseksaan.

Tempoh reman untuk POTA adalah eksklusif.

Wednesday, March 9, 2016

Kalau Tak Bayar Nanti Ah Long Potong Tangan

Setelah selesai untuk satu pendengaran kes rayuan di Mahkamah Tinggi saya bergegas ke Mahkamah Majistret untuk satu kes pertuduhan baharu.

Anak guam saya dalam kes ini adalah seorang lelaki berumur dalam 30-an. Saya dimaklumkan oleh isteri beliau yang suami beliau merupakan penanggung tunggal kepada keluarga mereka. Si suami bekerja menjual minuman ringan di kawasan Dataran Shah Alam. Hasil daripada jualan tersebut pendapatan harian beliau dalam lingkungan RM30 - RM40.

Wednesday, March 2, 2016

Saham Yang Dilelong

Pada sebelah siang tadi terdapat pendengaran di Mahkamah Tinggi yang mana pihak firma guaman kami mewakili pihak Plaintif. Tuntutan pihak Plaintif adalah untuk mendapatkan satu perintah deklarasi untuk pembatalan Sijil Perakuan Jualan yang melibatkan penjualan syer syarikat secara lelongan awam.

Apa yang menarik perhatian adalah subjek matter kepada lelongan tersebut. Semasa kes ini dirujuk kepada saya oleh Plaintif beberapa pihak yang antaranya terdiri daripada Company Secretary juga turut berasa pelik kerana pada pandangan mereka berlandas Akta Syarikat sesuatu syer/saham syarikat tidak boleh dijual secara lelongan awam.

Monday, February 29, 2016

Taikotai

Minggu lepas semasa di mahkamah sempat bersembang pendek dengan seorang kenalan ASP yang hadir untuk memberi keterangan untuk kes beliau. Saya tanya beliau mana OKT untuk kes beliau tu. Ditunjuk seorang OKT yang memang selalu tersenyum dalam mahkamah.

"Dia tu memang taikotai. Masa kita tangkap dia dalam kereta dia siap ada hand grenade lagi,"
sambung ASP tu sambil melayan whatsapps dalam telefon beliau.

Curi Kereta

Panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan bahawa beliau memerlukan peguambela bagi mewakili kes adik-adik beliau. Seorang berumur dalam lingkungan 18 tahun dan seorang lagi dalam 21 tahun. Umur yang masih muda remaja pada hemat saya.

Saya tanya kes apa. Beliau memaklumkan hanya kes 'curi' kereta sahaja. Dan adik-adik beliau ingin mengaku salah. Beliau ingin saya merayu untuk mendapatkan hukuman yang ringan.