Tuesday, May 24, 2016

Pergi Tak Kembali

Selesai semua urusan di mahkamah saya singgah sebentar ke pasaraya Giant. Selesai membeli beberapa barang kelengkapan saya pun turun ke bawah untuk ke bahagian lain. Semasa sedang turun dari tingkat atas Giant saya terperasan seorang lelaki. Saya dari atas hendak turun ke bawah manakala dia pula dari tingkat bawah hendak ke tingkat atas. 

Kami berselisih. Tengok dari raut mukanya macam saya kenal. Bila saya amati lebih lama lagi rupanya-rupanya dia ini sekampung dengan saya. Tapi saya tidak pernah sangat melepak dengan dia memandangkan faktor usia saya dengan dia.

Dia ada kelompok rakan-rakan sekampung yang lain. Kelompok yang lebih tua sedikit daripada saya. Lagi pun rumahnya di luar kampung, betul-betul berhadapan dengan jalan utama untuk masuk ke kampung saya. Manakala rumah saya agak masuk ke dalam sedikit. Walaupun begitu disebabkan satu kampung mestilah saya mengenalinya walaupun bukan satu geng lepak.

Bila saya tengah ralit mengamati wajahnya tiba-tiba dia terperasaan. Tapi saya tidak sempat hendak menegur dia apatah lagi melemparkan senyuman memandangkan otak saya sedang cuba memproses data berkenaan dengan empunya diri tersebut.  Keadaan dan peluang tersebut berlalu begitu saja tanpa ada sebarang apa-apa tindak balas daripada dia mahupun saya. Kami seolah-olah kaku dan tergamam tanpa punca.

Petang esoknya semasa saya sedang membelek-belek helaian suratkhabar saya menerima panggilan telefon daripada ayah. "Mujet meninggal. Eksiden. Jenazah dia di Hospital Sungai Buloh", maklum ayah dari dalam telefon.

Macam tidak sangka pula. Petang semalam di Giant orang yang saya terjumpa itu adalah Mujet. Tiba-tiba keesokan harinya pula saya mendapat perkhabaran yang dia sudah meninggal dunia.

Benda macam ini membuatkan saya terhenti seketika dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Kadang-kala apabila terlampau asyik dengan kehidupan duniawi kita terlupa bahawa hidup kita ni bukan selama-lamanya di sini. Lupa bahawa maut akan datang menjemput kita tanpa kita ketahui dan sedari.

Walaupun peristiwa ini berlaku beberapa tahun yang lalu namun ianya masih lagi berlegar-legar di benak fikiran saya. Seringkali membuatkan saya terfikir akan kehidupan saya yang kadang kala saya sendiri bersikap ambil mudah sahaja walaupun dengan benda-benda yang nampak pada zahirnya remeh-temeh walhal amat bermaknan dalam kehidupan saya seharian.

Bersediakah saya kalau tiba-tiba Izrail tanpa banyak soal menarik roh dari jasad gebu ini? Jawapan kepada soalan itu sungguh berat untuk saya jawab pada diri sendiri. Atau sebetulnya saya benar-benar tidak pasti. Tidak pasti samada sudah cukupkan bekalan untuk dibawa ke sana andai sampai masanya nanti.

Saya tidak menafikan amat sedikit sangat saya teringatkan akan mati. Mungkin yakin bahawa mati itu akan datang tatkala umur senja. Selepas puas dengan kenikmatan dan keseronokan duniawi. Bukan semua orang begitu.

Tidak bagi Mujet. Beza umur saya dengan dia hanya 5 tahun dengan dua orang cahaya mata kalau tidak salah perkiraan saya. Tapi Izrail sudah pun membawanya pergi berjumpa dengan pencipta. Bagaimana pula dengan kita? Bila agaknya ya..
Al-Fatihah.

An-Nisaa’ ayat 78:
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.."

Ali-Imran ayat 185:
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdayakan.”


No comments:

Post a Comment