Monday, May 9, 2016

Baucer Buku 1Malaysia

Sambil menunggu untuk kes saya dipanggil saya berjalan-jalan keluar dari bilik mahkamah. Penat duduk lama-lama di kerusi. Boleh lenguh punggung juga kalau lama sangat dibuatnya menunggu kes dipanggil.

Di bangku di luar bilik mahkamah terdapat beberapa orang yang tengah duduk sambil  bersembang sesama mereka. Butiran perbualan mereka tidak berapa jelas pada pendengaran saya. Yang terdengar dek telinga saya ada beberapa kerat bercakapan seseorang lelaki yang paling tua dalam kelompok tersebut tengah meluahkan rasa marah pada seorang lelaki yang lain.

Bila saya melintas kelompok tersebut mereka memandang saya. Dengan spontan saya bertanya, "Kes baru ke bang?".

Mereka semua sepakat mengangguk. "Kena tuduh kes curi," kata satu-satunya lelaki muda dalam kelompok tersebut kemudiannya.

Saya ingatkan kes curi apa. Rupanya kes curi Baucer Buku 1Malaysia (BB1M). Itu pun setelah dimaklumka oleh lelaki muda tersebut. "Wah! Sampai begitu sekali penangan baucer buku yang diberi secara percuma itu oleh kerajaan", getus saya dalam hati.

Sambung lelaki muda itu lagi baucer yang nilai RM250 itu boleh ditukarkan dengan individu dan pihak-pihak yang tertentu dengan nilai tukaran wang tunai sebanyak RM220-RM230. 

Sebelum beredar daripada kelompok tersebut saya sempat bertanya siapa anggota keluarga mereka yang akan dituduh tersebut. Sambil tersengih memandang saya lelaki muda tersebut seraya berkata, "Saya bang."

Patutlah perihal bab berkenaan dengan tersebut lancar sahaja keluar daripada mulutnya rupanya dialah si pembuatnya. Alahai.


No comments:

Post a Comment