Wednesday, July 13, 2016

Membaca

Naskah Lelaki Bersut didukung sepenuhnya oleh liberalis diy bermula daripada proses penerbitan, percetakan, pengedaran dan juga penjualan. Maka naskah ini tiada kedapatan di gedung-gedung buku besar. Beredar bersama jaringan sesama kenalan dan individu. Digerakkan oleh anak-anak punk.

Tajuk buku ini walaupun kedengaran sangat borjuis tetapi secara jujurnya ianya adalah satu naskah marhean daripada saya. Tidak ada langsung mirip naskah Sidney Sheldon mahupun John Grisham yang menjadi pujaan penggemar-penggemar buku yang berkait dengan dunia peguam.

Sengaja disusun sebagai ‘pocket-book’ agar sesiapa sahaja segar untuk membelek tulisan-tulisan pendeknya di dalam. Tidak ada rasa terbeban dengan naskah kecil ini. Bak kata seorang rakan peguam saya pagi tadi semasa dia membelek naskah Lelaki Bersut ini, “Aku boleh habis baca buku ini sat saja.”

Itu yang saya inginkan. Jika dia tidak rasa terbeban untuk menyelak helaian-helaian naskah ini saya berharap mungkin yang lain juga boleh berkongsi rasa yang sama. Naskah ini bukanlah naskah terulung daripada saya. Naskah ini bukan untuk penggila buku-buku. Apalah sangat naskah yang berhalaman sebanyak 83 sahaja. Tidak langsung mencabar minda mungkin.

Tetapi naskah ini untuk marhean membaca. Mula membaca. Membaca cerita tentang kita. Bukannya tentang mereka atau cerita-cerita yang terlampau ke langit. Sebagai permulaan dalam menyemai benih dan budaya keilmuan ini. Tidak apa tanpa naskah setebal bata sebagai mula. Apa hendak dimalu dan disegan. Jibril juga turun kepada Muhammad S.A.W dengan hanya اقرأ .

No comments:

Post a Comment