Tuesday, July 12, 2016

Nasi Minyak Kurma Daging

Aktiviti pada hari raya pertama agak terbantut sedikit memandangkan keadaan cuaca yang hujan sejak Tok Khatib selesai berkhutbah pagi tadi. Jadinya saya hanya duduk di rumah sahaja menunggu kalau ada tetamu yang singgah dan menziarah ahli keluarga mentua. Tahun ini giliran berhari raya di sebelah keluarga isteri. Walaupun begitu ianya bukanlah satu hal yang besar memandangkan jarak kampung isteri dan kampung sahaja bukanlah jauh mana pun. Hanya mengambil masa dalam sejam perjalanan begitu. Letaknya di negeri bersebelahan sahaja.

Hanya selepas hujan teduh di kala ketika hampir tengahari maka urusan untuk menziarahi ke rumah rakan-rakan di kawasan sekitar diatur. Saya dan isteri kemudiannya berkunjung ke beberapa rumah rakannya yang mana ketika berada di rumah yang kedua kami ziarahi jam sudah menunjukkan hampir pukul 4 petang. Juadah yang dihidangkan di rumah tersebut agak meriah kerana bukan hanya setakat balang-balang kuih raya sahaja yang tersusun. Juga terdapat satu meja yang penuh dengan makanan yang lain. 

Memandangkan makana yang berat yang saya sempat jamah adalah pada awal pagi tadi sebelum menunaikan sembahyang raya maka irama keroncong perut saya semakin rancak tatkala melihat makanan yang terhidangan tersebut. Bukan sebarangan hidangan. Hidangan lengkap nasi minyak yang digandingkan dengan kurma daging. Tidak terkecuali juga dalca yang menjadi hidangan pelengkap. Berkecur air liur melihat potongan-potongan daging yang diselaputi oleh kuah kurma pekat itu.

Tanpa berlengah saya mencapai sepinggan nasi yang telah diletakkan oleh tuan rumah kepada saya. Kuah kurma daging bersama beberapa ketul daging yang empuk itu saya ceduk dan letakkan ke dalam pinggan saya. Suapan pertama adalah satu suapan yang penuh dengan kenikmatan. Beberapa kali suapan dan tiba-tiba telefon saya tertera ada panggilan masuk. Nombor yang tidak saya kenali. Mungkin kawan-kawan yang menelefon saya di petang hari raya yang pertama itu getus hati kecil saya. Dengan tangan masih penuh dengan sisa-sisa nasi dan mulut masih menguyah daging kurma saya menjawab panggilan yang masuk tersebut.

Satu suara di hujung talian memperkenalkan dirinya memaklumkan bahawa dia memerlukan khidmat saya. Ada ahli keluarga yang ditangkap. Baharu sahaja ditangkap pada pagi tadi kerana satu kes yang melibatkan status yang dimuat turun di internet yang telah menjadi viral. Esoknya iaitu pada hari raya kedua akan dibuat permohonan reman oleh pihak Polis. Jadinya dia memerlukan khidmat seorang peguam untuk mewakili ahli keluarganya itu. Saya menjadi serba salah samada untuk menolak atau pun menerima hajat beliau itu memandangkan ianya hari raya dan saya dalam mood dan suasana hari raya. Saya juga berasa menyesal kerana menjawab panggilan tersebus. Habis petang hari raya saya terpaksa melayani masalah orang lain.

Namun memikirkan bahawa ahli keluarganya itu juga ingin beraya dan kesungguhan dan kesanggupannya menelefon saya di hari raya pertama itu maka saya terima juga tugasan tersebut yang saya terpaksa wakilkan kepada rakan bijaksana untuk menghadiri prosedur reman itu pada keesokan harinya.

Saya menghabiskan sisa-sisa yang masih berbaki di pinggan saya dengan pelbagai persoalan. Macam-macam hal walaupun hari raya. Kehidupan seorang peguam memang sebegini. Bukan hanya saya tetapi tidak terkecuali rakan-rakan peguam saya yang lain. Tetapi selagi yang termampu seorang peguam akan melakukan yang terbaik untuk anak guamnya walaupun sering kali ditohmah dengan pelbagai tohmahan. Biasalah. Asam garam dalam profesion ini.

Syawal masih lagi berbaki jadinya saya ingin Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada pengunjung blog ini dan rakan-rakan yang mengenali lelaki bersut ini.






No comments:

Post a Comment