Thursday, December 20, 2018

Mencuri

Minggu lepas dan minggu ini saja ada tiga kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang saya kendalikan. Seksyen 380 Kanun Keseksaan adalah kesalahan mencuri dalam bangunan, kediaman. Pertamanya melibatkan seorang anak muda yang mencuri beberapa helai baju di sebuah outlet pakaian. Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki yang mencuri seutas tali pinggang di sebuah outlet pakaian juga. Dan kes ketiga pula seorang ibu dua anak yang mencuri telefon di tempat kerja lamanya. 

Semuanya adalah pesalah kali pertama yakni bukanlah seorang penjenayah tegar atau pun sememangnya mempunyai rekod-rekod kesalahan jenayah yang lain. Bila membaca fakta kes-kes anak guam saya ini terfikir saya. 

Wednesday, December 12, 2018

تاهون تراخير


اوسا مڠمبيل انق-انق ساي تروس سيڠڬه ك ساتو ريستورين عرب د سيكشن 7. باسه سلڤس هوجن يڠ تورون د كاوسن شاه عالم ني ممبواتكن ڤروت تراس چڤت لاڤر. ممينتا اونتوق دايسي دڠن هيدڠن كربو.

تيدق باڽق ڤلڠڬن يڠ سداڠ منعمتي جواده ناسي عرب سماس ساي سمڤأي. بوليه دكيرا دڠن جاري ڤلڠڬن يڠ اد ڤون. نون د ساتو سودوت اد ببراڤ ميجا يڠ مان للاكي-للاكي يڠ اڬق برومور سداڠ منجامو هيدڠن. تيدق اد اڤ يڠ مناريق ڤنداڠن ساي كچوالي ڤاكاين مريك ايت. لڠكڤ برباجو باتيق. 

كالاو دهيتوڠ هاري اين بوكنڽ هاري خميس يڠ مان هاري بياسا ڤارا ڤنجاوات عوام مڠناكن باجو باتيق ك ڤجابت. همڤير ترلوڤا. ولحال ستياڤ هاري ملينتاسي كاوسن يو اي تي عيم. يا. أوڤاچارا ايستيعادة كونۏوكيشن يو اي تي عيم يڠ انته ك براڤ ساي تيدق ڤستي.

سرونوك مليهت واريث-واريث ڤلاجر يڠ ترڤمڤڠ كڤواسن دان كلڬان ديك كران ايستيعادة كونۏوكيشن اين. سكرول يڠ ديڬڠڬم د سياڠ تادي سباڬاي بالسن اتس جريه ڤريه سلاما اين.

ساي ترسڽوم كلات سنديرين. تريڠت انق ڬوعام ساي سمالم. ڤلاجر تاهون اخير يڠ دجڠككن اكن هابيس ڤڠاجين دالم ماس تردكت. تاڤي اڤاكن داي تله دتودوه د باوه اكتا داده بربهاي 1952 يڠ مان ممڤرونتوقكن حكومن ڤنجارا مندتوري.

Monday, October 1, 2018

Ibu Muda

Saya tiba di mahkamah Sesyen untuk mewakili anak guam saya yang akan dipertuduhkan dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak. Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa anak guam saya baharu sahaja berumur 18 tahun. 

Masih muda lagi pada perkiraan saya. Namun yang saya tidak tahu bahawa selain daripada anak guam saya terdapat seorang lagi individu yang turut dituduh bersama-sama dengan anak guam saya ini. Iaitu ibu kepada mangsa kanak-kanak tersebut. Baharu menginjak usia 17 tahun. 

Dan saya dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak tidak sah taraf ibu muda tersebut. Saya kira sesiapa sahaja yang mendengar berkenaan kes ini akan berasa marah. Manakan tidak mangsa kanak-kanak tersebut meninggal dunia kerana dikatakan didera oleh ibunya ini. 

Namun tatkala mahkamah dan juga saya sendiri melihat kelibat anak guam saya dan ibu kanak-kanak tersebut perasaan saya bercampur baur. Antara marah dan sedih. Sedih mengenangkan nasib ibu muda tersebut yang nampak naif sekali. Pada usia begitu dia hamil anak luar nikah dan telah dibuang keluarga. Ditinggalkan terkontang-kanting oleh bekas kekasihnya yang khabarnya seorang lelaki yang sudah berkeluarga. 

Celakalah lelaki-lelaki sebegini di luar sana.

Friday, August 17, 2018

Sinar LIVE FB



Terima kasih Sinar Harian kerana sudi menjemput saya untuk berkongsi pandangan dalam segmen Jubah Hitam pada minggu. Topik yang dibincangkan adalah berkenaan dengan penipuan online/online scam. Semoga perkongsian yang serba ringkas itu boleh dimanfaat untuk oleh semua pihak.

>>>> Tonton Live FB <<<<

Tuesday, August 7, 2018

Helmet Merah

Setiap kali masuk ke dalam bilik trafik pandangan saya tidak akan terlepas daripada memerhati sebuah helmet berwarna merah yang diletakkan di atas almari di hujung bilik. Letaknya seperti sebuah trofi adanya. Mungkin dek kerana warna merahnya yang terang dan juga visor pada helmet tersebut yang tidak kurang cantiknya yang menarik perhatian saya. Tertanya-tanya juga gerangan siapakah empunya helmet merah bervisor tersebut. 

Tuesday, July 17, 2018

Uncle Pat

Sampai di Campbell Complex saya terus ke kedai Uncle Pat. Kalau zaman muda dahulunya saya ke Campbell untuk ke kedai Auntie di tingkat atas. Tapi sekarang kalau ke Campbell memang hanya untuk ke kedai jahit Uncle Pat untuk tempahan suit saya. 

Melangkah masuk pintu kedai saya langsung tidak melihat kelibat lelaki berusia yang peramah itu. Yang ada isteri beliau dan dua orang perempuan yang lain. Lalu saya bertanya, "Where's uncle?". Pertanyaan saya tidak terjawab. Hanya senyuman yang saya terima. 

Saturday, April 14, 2018

Sifir

Saya hanya boleh menghafal sifir semasa saya di darjah lima. Itu pun dek penangan cubitan di perut saya sehingga meninggal lebam oleh Cikgu Shahabudin, cikgu matematik saya. 

Dek cubitan itu juga walaupun di usia begini sifir masih kukuh di ingatan saya. Sebagaimana saya mengingati nombor-nombor sifir ini saya juga tidak akan melupakan jasa Cikgu Shahabudin ini walaupun saya dimaklumkan bahawa beliau telah kembali ke negeri baqa. 

Alfatihah kepada Allahyarham Cikgu Shahabudin, cikgu matematik 5 Mawar, 1993.

Tuesday, January 16, 2018

Dari Tirai Besi

Sebaik melangkah melintas pintu gerbang besi penjara saya dan pelatih dalam kamar saya terus menyelusuri lorong laluan menuju ke satu pagar besi utama yang memisahkan blok-blok penempatan tahanan dengan kawasan utama. Setelah sampai di hadapan pintu pagar besi tersebut saya menjenguk-jenguk muka mengintai kelibat mana-mana warden yang berada di blok terdekat. Setiap pagar besi adalah berkunci dan memerlukan warden-warden penjara untuk membuka pintu besi tersebut.

Sambil mata liar memerhati salah seorang lelaki berpakaian biasa tiba dan juga menunggu untuk masuk ke dalam bahagian dalam blok pengurusan. Lelaki berpakaian pejabat biasa dan memakai tanda nama. Saya agak beliau adalah mana-mana penjawat awam atau pun mana-mana badan berkanun. Saya memberikan salam dan menghulurkan senyuman kepada beliau.

Friday, January 12, 2018

Bersedia

Kali ini saya lebih bersedia. Sebaik sahaja menyebut nama saya kepada Yang Arif Hakim terus beliau bertanya.

“Ya tuan lawyer Hafiz, dah habis hafal semua juzuk?”

“Tengah hafal lagi Yang Arif,” jawab saya tenang.

Kes terus berjalan di mahkamah terbuka. Kemudian Yang Arif Hakim bertanya saya ini asalnya orang mana. Saya menjawab bahawa saya orang Perlis. Tiba-tiba terus beliau bertanya lagi.

“Kenai Siraj?”

Wednesday, January 10, 2018

Bon Berkelakuan Baik

Anak guam sebelum ini diberikan perintah bon kelakuan baik dibawah Seksyen 293(b) Kanun Tatacara Jenayah untuk kesalahan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Bon bercagar RM4000 selama tempoh masa dua tahun.

Timbalan Pendakwaraya yang merayu menghujahkan bahawa perintah yang diberikan di mahkamah rendah adalah terkhilaf dan tidak mengikut peruntukan undang-undang.

Walaupun kepentingan anak guam sememangnya saya utamakan namun sebagai seorang officer of the court saya terpaksa mengakui akan kebenaran tersebut. Sememangnya mahkamah rendah sebelum ini adalah sama kali terkhilaf.

Tuesday, January 9, 2018

Sut Pertama

Tepat pukul 6 petang saya terus mengemas meja kerja dan bersiap untuk pulang. Minggu pertama sebagai pelatih dalam kamar tidak ada apa-apa kerja yang perlu disiapkan sangat.

Keluar sahaja daripada Menara TH Perdana saya terus mengatur langkah. Menuju ke arah Pertama Complex yang terletak beberapa baris sahaja di hadapan. Kompleks yang dekat dengan hati saya selain daripada Campbell Complex. Sahaja mencuci mata dan menjenguk barang-barangan yang ada di sana.

Sebaik melintas ke Pertama Complex saya mengambil laluan masuk melalui Selangor Photo. Mencelah masuk ke dalam kedai tersebut saya terperasaan satu meja kecil beserta mesin jahit di satu sudut. Beserta dengan satu rak yang disangkut penuh dengan ‘bush jacket’. Celah mana pula boleh ada tukang jahit dalam kedai gambar.

Monday, January 8, 2018

Kepingan Kertas

Sampai di mahkamah tadi anak guam telah sampai. Saya selesaikan urusan kes di mahkamah majistret sebelum ke mahkamah sesyen untuk bicara kes anak guam ini.

Berulang alik daripada kampung di Johor untuk menghadiri kes perbicaraan beliau. Banyak masa dan kos yang keluar.

Lalu dia datang berjumpa saya. Memaklumkan ada sedikit bayaran yang hendak dibuat kepada saya sebagai yuran guaman. Tiga keping helaian not lima puluh ringgit dan beberapa keping lagi not dua puluh ringgit. Dia menyerahkan ke dalam genggaman tangan saya dan disambut oleh saya.

Friday, January 5, 2018

SOSMA

Seksyen 5 (1) (b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 memberikan hak kepada mana-mana individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA ini untuk berunding dengan peguambela yang dipilihnya sendiri.

Walaubagaimana pun pihak polis boleh menangguhkan untuk memberikan peluang kepada individu yang ditahan untuk berunding dengan peguambelanya ini HANYA setakat 48 jam sahaja. Tidak lebih daripada tempoh masa ini.

Hak untuk mendapat rundingan peguambela ini jangan diabaikan begitu sahaja.

Thursday, January 4, 2018

GST Oh GST

Usai sesi perbicaraan tengahari tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur saya bergegas pulang ke Shah Alam. Niat untuk mengisi perut yang kosong sejak pagi tadi saya tahan. Alang-alang hendak pulang ke pejabat di Shah Alam elok sahaja saya makan tengahari di mana-mana kedai yang terdapat di sekitar kawasan pejabat saya.

Sampai di Shah Alam dalam sekitar pukul 2.30 petang terus saya melajak ke kedai ayam kampung. Kebiasaannya di masa sebegini pengunjung di situ sudah tidak ramai. Menu biasa saya adalah ayam kampung, sedikit ulam-ulaman dan beserta tempoyak. Kali ini saya memilih jantung pisang rebus yang begitu enak sekali disatukan dengan ayam kampung goreng ini.

Sambil menyuap hidangan di hadapan saya ini salah seorang pekerja kedai datang dan mengira harga makanan saya. Jumlah harga makanan tengahari saya adalah RM11.70. Tidaklah saya berasa akan marah dengan harga yang dikenakan ke atas saya itu. Bersesuaian dengan jenis makanan yang saya ambil.

Masuk Sekolah

Alhamdulillah. Berbondong-bondong juga ibu ayah yang menghantar anak masing-masing ke sekolah aliran agama dan arab.

Ayah saya dulu hantar saya ke sekolah aliran agama. Bila dia buat demikian ada kawan-kawan yang tanya ayah saya kenapa hantar anak ke sekolah aliran agama. Hendak disuruhnya jadi ustaz ke?

Tapi itu dulu punya cerita. Zaman sekarang rasanya pemikiran skeptikal sebegitu sudah tidak bangkit dalam minda masyarakat. Kalau tidak masakan penuh dan terpaksa beratur panjang untuk kemasukan ke aliran agama ini.