Monday, August 28, 2017

Belacan Tanjung Paoh

Selepas memaklumkan kehadiran saya kepada jurubahasa kepada Yang Arif Hakim yang berada di mejanya saya terus beredar kembali ke belakang galeri awam. Mencari kelibat isteri dan keluarga kepada anak guam saya yang ditahan dan dituduh dibawah SOSMA ini.

Ruangan galeri awam masih lengang dan hanya ada beberapa kelibat ahli keluarga tertuduh yang lain yang telah hadir. Lagi pun jam masih awal lagi dan kebiasaannya sekitar jam menghampiri pukul sembilan pagi baharulah ruangan bilik mahkamah akan dipenuhi oleh peguambela, anak guam mereka dan juga mereka lain yang berkenaan.

Saya lantas keluar daripada bilik bicara dan meninjau-meninjau sekiranya isteri anak guam saya itu berada di luar. Tekaan saya tidak meleset kerana saya ternampak dia dan dua orang anaknya sedang duduk di bangku kayu di luar di satu sudut berhampiran tingkap. 

Friday, August 25, 2017

Bantahan Awal

Pagi ini telah ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes salah seorang anak guam saya yang telah dituduh dibawah akta SOSMA bersama dengan beberapa tertuduh yang lain. Namun sebelum perbicaraan pihak pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan pindaan keatas anak guam saya dan juga tertuduh-tertuduh lain. Rasanya ini pindaan yang kedua yang telah dibuat oleh pihak pendakwaan.

Memandangkan terdapat pindaan yang terbaharu maka pihak peguambela memohon untuk satu Preliminary Objection dikemukakan kepada mahkamah.

Tetapi Yang Arif kemudiannya memaklumkan kepada pihak-pihak. Seandainya perkara yang dibangkit adalah melibatkan dan berkait dengan artikel-artikel Perlembagaan Persekutuan maka kes ini terpaksa dirujuk kepada Yang Arif Hakim lain yang ditugaskan mendengar isu-isu perlembagaan. Yang mana pada hari ini juga di mahkamah tinggi yang lain di sini permohonan bantahan awal selingkar isu-isu perlembagaan dibangkit oleh para peguambela yang mengendalikan kes SOSMA yang lain itu.

Wednesday, August 16, 2017

Dalam Mahkamah Itu

Di dalam sesebuah mahkamah pelbagai cerita dan ragam manusia yang saya kutip dan dijadikan sebagai teras dalam penulisan-penulisan saya.

Contohnya pada pagi ini seperti mana kebiasaanya saya ada satu pendengaran Motion dihadapan Yang Arif Hakim.


KES SATU

Sebelum kes saya dipanggil jurubahasa telah memanggil satu kes yang lain. Kes rayuan oleh pihak Pendakwaraya yang tidak berpuas hati dengan denda yang telah diberikan oleh Majistret terhadap Tertuduh. Kes dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya.

"Saya merasakan hukuman denda yang diberikan oleh Majistret sebelum ini ke atas awak adalah tidak setimpal dengan kesalahan awak. Ini kerana dadah yang diambil oleh awak adalah dadah jenis Meth. Bukannya dadah jenis cannabis. Bukannya di consider sebagai soft drug."

Cannabis adalah soft drug. Itu adalah dapatan yang penting dalam obiter dicta yang Yang Arif Hakim.