Monday, August 28, 2017

Belacan Tanjung Paoh

Selepas memaklumkan kehadiran saya kepada jurubahasa kepada Yang Arif Hakim yang berada di mejanya saya terus beredar kembali ke belakang galeri awam. Mencari kelibat isteri dan keluarga kepada anak guam saya yang ditahan dan dituduh dibawah SOSMA ini.

Ruangan galeri awam masih lengang dan hanya ada beberapa kelibat ahli keluarga tertuduh yang lain yang telah hadir. Lagi pun jam masih awal lagi dan kebiasaannya sekitar jam menghampiri pukul sembilan pagi baharulah ruangan bilik mahkamah akan dipenuhi oleh peguambela, anak guam mereka dan juga mereka lain yang berkenaan.

Saya lantas keluar daripada bilik bicara dan meninjau-meninjau sekiranya isteri anak guam saya itu berada di luar. Tekaan saya tidak meleset kerana saya ternampak dia dan dua orang anaknya sedang duduk di bangku kayu di luar di satu sudut berhampiran tingkap. 

Saya bertanya kepadanya kenapa tidak sahaja masuk dan menunggu di dalam mahkamah sahaja. Dia menunjuk kepada anak perempuannya yang masih kecil itu. Saya hanya mengganguk. Sememangnya anak-anak kecil dan kanak-kanak tidak dibenarkan untuk berada di dalam mahkamah semasa siding mahkamah berlangsung. 

“Takpa..kak bagi abang dia jaga dia sat,” sambil menoleh kepada anak lelakinya yang saya kira berusia belasan tahun itu. Dia sudah faham dan arif akan peraturan-peraturan di mahkamah. Maklumlah kes suaminya ini sudah hampir setahun lebih telah dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dan dalam masa itu juga dia berulang alik daripada Satun, Thailand ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sebutan kes suaminya ini.

Pada tarikh sebelum ini dia  tidak dapat menghadiri kes suaminya ini kerana terpaksa menemani anak perempuannya untuk menjalani satu pembedahan. Lalu saya bertanya kepadanya perihal kesihatan dan pembedahan tersebut.

“Hari tu operate di Setoi ka?”

“Dak. Buat di Hatyai sebab sebelum ni memang buat di pakar sana. Masa tu dekat Setoi tak dak pakar lagi.”

Bagi masyarakat di negeri saya kami memanggil wilayah Satun itu dengan panggilan Setoi dan sememangnya panggilan itu juga bukanlah satu panggilan yang asing bagi masyarakat sana. Selanjutnya perbualan lebih menjurus kepada wilayah itu. Sudah lama saya tidak menjejak kaki ke wilayah itu. Satu wilayah di selatan Thailand yang berdekatan dengan negeri kelahiran saya, Perlis. Pernah juga mengembara berbasikal ke wilayah tersebut dengan ayah dan adik saya beberapa tahun dahulu.

Saya katakan kepadanya antara benda yang sukakan berkenaan Satun adalah belacannya. Dia nampak agak sedikit pelik. Mana mungkin peguam di Kuala Lumpur ini tahu perihal belacan Satun. Saya maklumkan kepadanya di rumah saya belacan yang saya makan dan ada di dapur adalah belacan segar daripada Satun. Yang mana belacan ini selalunya dibeli oleh emak dan ayah saya sekiranya mereka menjengah ke wilayah tersebut sekali sekala.

“Belacan yang sedap belacan Tanjung Paoh,” tambahnya lagi.

Saya terus tersenyum. Saya katakan kepadanya bahawa Tanjung Paoh itulah tempat yang saya selalu kunjungi. Atau lebih tepat lagi Ban Tanjung Paoh. Dalam bahasa Melayunya adalah Kampung Tanjung Paoh. Kawasan perkampungan nelayan yang mana pertama kali saya berkunjung ke kampung tersebut bekalan air bersih masih dijual di dalam bekas tong. Dijual oleh penjual yang menjaja daripada rumah ke rumah para nelayan tersebut. 

Air mandian yang di mandi daripada takungan bekas tempayan yang sebesar tiga pemeluk orang dewasa. Rumah yang dibuat daripada kayu kelapa yang telah dipotong-potong cantik. Dan di malam harinya pula ketika air pasang apabila sekala terjaga daripada tidur sekali terdengar desiran ombak kecil menghempas pantai di bawah lantai rumah. 

Belacan Tanjung Paoh yang dibuat oleh penduduk kampung Tanjung Paoh sememangnya menjadi pilihan saya setakat ini. Belacan segar daripada para penduduk Ban Tanjung Paoh yang dihasilkan daripada hasil laut para nelayan di kampung itu. Tetapi Tanjung Paoh bukan sahaja terkenal dengan keenakan dan kesegaran belacannya tetapi juga makanan lautnya yang segar dan juga penduduk kampungnya yang mesra.

Tiba-tiba fikiran terus menerobos dan melayang memikirkan kesedapan dan kelazatan ketam laut yang baharu dipukat dan kemudiannya dibawa naik ke darat sebelum dimasak. Itu belum dikira tom yam putih yang di masak menggunakan bahan-bahan segar. Nikmatnya.

No comments:

Post a Comment