Monday, April 11, 2016

Tak Gila Pun

Al-kisah tersebutlah satu kisah. Ceritanya pasal dua orang budak lelaki yang boleh dikatakan agak akrab hubungan antara mereka berdua. Seorang bernama Chot dan seorang lagi bernama Mat Nan. Setakat mana keakraban hubungan kedua-dua budak tersebut tidaklah diketahui. Tetapi yang pastinya mereka ni selalu sahaja bersama-sama. Pagi-pagi ke sekolah pun bersama, petangnya sama-sama lepak di parit sama-sama cari ikan laga. Malamnya pula sama-sama pergi mengaji. Begitulah rutin dua orang budak lelaki tu.

Suatu hari semasa dalam kelas mata pelajaran ilmu hisab cikgu diorang yang sememangnya dikenali dengan tabiat suka mencubit perut budak-budak yang kantoi hafal sifir, Cikgu Derih memberikan satu nasihat. “Jangan suka tidur petang, nanti boleh jadi gila tau tak.".


Mendengar apa yang Cikgu Derih tu beritahu memang tak masuk akal langsung fikir Mat Nan. “Gila gamaknya Cikgu Derih ni. Banyak sangat layan ilmu hisab gininya gamak.” Kata Mat Nan kepada Chot sambil mulut tengah muncung menghisap aiskerim Malaysia yang baru dibeli daripada makcik kantin.

Kata-kata Mat Nan itu langsung tak masuk dalam kepala Chot. Langsung tak menarik minat Chot. Lagi pun malas Chot nak ambik tau apa yang Cikgu Derih cakap tadi. Deep sangat kata-kata Cikgu Derih tu bagi Chot.

Petang tu aktiviti lepak di parit tidak dapat dijalankan. Tak cukup korum sebabnya Mat Nan ada satu eksperimen yang dia hendak buat. Chot pulak memang kalau tak ada Mat Nan tak boleh nak lepak-lepak di parit. Memang dah diwarning awal-awal dengan mak dia. Bukan apa kalau sorang-sorang nanti takut hantu air bawak sembunyi.

Kalau dah kena sembunyi dengan hantu air silap-silap boleh tak jumpa. Dengar pasal kena sembunyi dengan hantu air memang Chot dah meremang bulu tengkuknya walaupun dia sendiri tak pernah jumpa pun hantu air tu.

Entah macam mana rupanya hantu air tuh pun Chot tak tau. Kalau tak kenal dan tak pernah jumpa hantu air macam mana nak tau itu hantu air tak? Sekurang-kurangnya kalau tau macam mana hantu air tu boleh la juga Chot lari kalau hantu air tu datang nak ambil dia dan nak sembunyikan dia.

Tapi semua tu tak penting. Janji Chot tau kalau pergi lepak parit sorang-sorang boleh kena sembunyi dengan hantu air kalau silap gayanya. Cukup. Tak payah nak soal banyak-banyak. Deep sangat bagi Chot nak soal lebih-lebih atau fikir banyak-banyak sangat.

Esoknya semasa sama-sama ke sekolah Mat Nan dengan megah bagitau Chot “Aku dah cuba tidur petang. Aku tidur dari lepas makan nasik sampai Maghrib. Ni ha siap kena rotan dengan mak aku lagi sebab masuk Maghrib baru bangun. Zohor dengan Asar memang missed la. Tapi tak gila pun.” Sambung Mat Nan lagi.

Sampai di sekolah semasa nak melangkah masuk ke dalam bilik darjah Mat Nan dan Chot terserempak dengan Cikgu Derih. “Cikgu, semalam saya tidur petang tapi tak gila pun.” Bagitau Mat Nan kepada Cikgu Derih sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

Cikgu Derih hanya tersenyum mendengar kata-kata Mat Nan. Malas dia nak ambil tahu kata-kata Mat Nan sebab pada masa tu dia tengah menahan nak terberak. Tapi disebabkan terserempak dengan budak dua orang masa nak ke tandas guru terpaksa la Cikgu Derih buat-buat muka control dan pura-pura dengar apa yang Mat Nan cakap tu.

Petang tu aktiviti lepak di parit tak boleh nak dilaksanakan juga macam semalam sebab Mat Nan nak teruskan dengan eksperimen dia tu. Chot tak kisah tak dapat lepak-lepak di parit cari ikan laga sebab stok ikan laga dia pun banyak lagi. Lagi pun apa salahnya berkorban untuk kawan. Fikir Chot. Entah macam mana boleh pulak Chot fikir benda-benda yang sedikit deep ni.

Dan esoknya pun semasa di sekolah semasa Cikgu Derih masuk untuk mengajar mata pelajaran Ilmu Hisab Mat Nan terlebih dahulu bangun sebelum ketua kelas sempat bangun dan dengan bangganya bagitahu kepada Cikgu Derih, “Tak gila pun Cikgu saya tidur petang semalam”.

Pagi tu semasa semua orang tengah kusyuk mendengar Cikgu Derih mengajar mata pelajaran Ilmu Hisab Mat Nan pula tengah berdiri di atas kerusi di luar kelas. Sebabnya tak buat kerja sekolah. Macam mana nak buat kerja sekolah sebab balik dari sekolah saja Mat Nan terus tidur gara-gara eksperimen dia tu.

Peristiwa hari tu tidak berhenti di situ. Semenjak dari hari tu sampailah habis penggal persekolahan untuk tahun itu setiap kali berjumpa dengan Cikgu Derih itulah ayat yang keluar dari mulut Mat Nan.

Dengar ceritanya walaupun dua tiga tahun lepas tu Cikgu Derih dah pencen dari jadi cikgu pun setiap pagi Mat Nan akan mengayuh basikal ke rumah Cikgu Derih dan tak ada benda lain yang Mat Nan akan bagitau.

Bendanya adalah benda yang sama. “ Tak gila pun saya cikgu”, sambil tersenyum-senyum manja. Cikgu Derih pun dah lali dengan perangai Mat Nan tu. Mujur juga walaupun tiap-tiap pagi Mat Nan datang tak ada pula dia lepak minta minum teh ke apa. Kalau tak mahu pening juga Cikgu Derih.

Chot pula sejak dari kelaku Mat Nan jadi macam tu memang maknya dah tak beri Chot lepak di parit cari ikan laga. Takut Chot kena sampuk hantu air macam Mat Nan katanya. Nanti susah nak berubat.

 

No comments:

Post a Comment