Monday, April 4, 2016

Biji Hitam Bersepah

Sebaik sahaja pintu lif terbuka saya terus meluru masuk ke dalam perut lif. Saya tekan butang yang tertera nombor 9. Mahkamah yang bersidang terletak di tingkat 9 kompleks bangunan mahkamah.Pagi itu saya ada satu kes yang telah ditetap untuk perbicaraan.

Sampai di tingkat 9 pintu lif pun terbuka. Sebaik keluar daripada perut lif saya ternampak seorang lelaki separuh umur yang memang kebiasaanya saya nampak setiap hari.

Beliau merupakan penyelia kepada syarikat pembersihan yang bertanggungjawab membersihkan bangunan kompleks tersebut. Saya mengukirkan senyuman kepada beliau sebaik saya bertentang mata dengannya.
Sebaik keluar daripada lif sebentar tadi juga saya ada terperasan bahagian lantai di kawasan sekitar dipenuhi dengan benda-benda kecil yang kehitaman. Saya fikir mungkin itu adalah sejenis serangga hitam yang biasanya selalu kita lihat menghurung lampu pada waktu malam tu.

Oleh sebab itu semasa melintas lelaki yang saya bahasakan sebagai abang itu saya pun menengur secara bersahaja. “Banyak betul binatang hitam ni bang ya..”

Kemudian abang itu dengan selambanya membalas,” Bukan la dik. Ni lada hitam. Semalam diorang ‘cuci’ satu kawasan ni. Dah banyak malam diorang ‘cuci’. Ada ustaz datang. Tak tahan sangat dok mengacaunya. Kesian ke budak-budak sekuriti.”

Senyum saya jadi hambar. Perasaan seram sejuk tiba-tiba menjengah ditambah dengan suasana di tingkat 9 yang sememangnya sunyi itu. Orang putih kata ignorance is bliss. Menyesal la pula buat ramah dengan abang tu.

No comments:

Post a Comment