Thursday, July 27, 2017

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 2

Bahagian 2 - Adakah Jawatankuasa Fatwa Johor Ada Mengeluarkan Fatwa berkenaan dengan Anak Tidak Sah Taraf?

Dalam dapatan Mahkamah Rayuan tidak terdapat apa-apa bukti bahawa Jawatankuasa Fatwa Johor yang ditubuhkan mengikut Fasal 46(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyediakan atau mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan dengan isu anak tidak saf taraf ini. Fasal 47 menyatakan seperti berikut:

Fasal 47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa.
“Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 1

Dalam kes ini beberapa isu-isu penting telah dibangkitkan oleh pihak perayu dan juga responden.

Memandangkan sebab musabab kepada penolakan oleh JPN terhadap permohonan nama si bapa untuk dibinkan kepada anaknya itu adalah melalui rujukan kepada Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan maka saya akan mengambil intipati alasan penghakiman berkenaan isu ini sahaja. Yang mana saya kira isu ini agak menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat luar sana.

Kita tolak ketepi dahulu isu dan dapatan berkenaan dengan fatwa tidak mengikat JPN itu dan sebagainya. Kita fokuskan kepada isu berkenaan dengan fatwa yang menjadi rujukan oleh pihak JPN tersebut sepertimana yang dibincangkan dalam alasan penghakiman. Saya percaya isu tersebut banyak dikupas dan diterangkan. Saya lebih berminat untuk mengupasan berkenaan bahagian ini sahaja memandangkan saya percaya ianya tidak banyak dikupaskan dan dibincangkan.

Monday, July 17, 2017

Gambar Bogel

"Ni dokumen-dokumen pihak Pendakwaan," kata Timbalan Pendakwaraya sambil menghulurkan helaian-helaian kertas yang disusun elok.

"Tapi ada satu lagi dokumen yang saya belum serah. Masukkan representasi dulu. Kalau representasi ditolak baru saya akan bagi untuk bicara," sambung beliau.

"Dokumen apa?" tanya saya sambil mengisi dokumen penerimaan.

"Gambar bogel pengadu."

Perlahan-lahan saya tarik hingus yang cuba meleleh keluar daripada hidung saya. Terasa pekat pula hingus pagi ini yang sejak kelmarin bersarang di hidung saya.

Thursday, July 6, 2017

Jumpa Di Pejabat

Ada seorang anak guam menelefon saya dan memaklumkan bahawa dia ada mempunyai permasalahan undang-undang. Seperti biasa saya akan mengesyorkan untuk dibuat satu temu janji di pejabat saja. Lebih teratur dan senang untuk sebarang konsultasi undang-undang. Apatah lagi jika ianya melibatkan dokumen-dokumen penting.

Cumanya anak guam ini agak serba salah untuk datang ke pejabat saya. Rupanya setelah beberapa ketika di talian baharulah dia maklumkan bahawa dia baharu sahaja dimarahi oleh seorang peguam yang dijumpainya. Membuang masa peguam tersebut katanya sedangkan ianya boleh sahaja dibincangkan melalui perbualan telefon.

Setiap orang tidak sama. Saya lebih suka membincangkan masalah anak guam di pejabat kecil saya itu daripada di mana-mana kedai minum mahu pun di luar. Lebih memudahkan anak guam untuk bercerita dengan lebih telus dan dalam. Lagi terjaga kemaslahatan anak guam.