Monday, May 16, 2016

Buang Kes

Dalam keadaan tidak berapa sihat lagi dengan izin Allah saya gagahkan diri untuk menghadiri satu kes perbicaraan saya pagi tadi di mahkamah majistret.

Ini tarikh kedua ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes ini. Pada tarikh dahulu pengadu dalam kes ini tidak hadir. Jadi fikir saya pada kali ini mungkin juga beliau tidak akan hadir juga.

Kalau pengadu tidak hadir tidak dapat tidak memang saya akan memohon mahkamah untuk DNAA kes.

Sebelum sampai lagi saya terima whatsapp daripada anak guam saya yang memaklumkan bahawa pengadu dalam kes ini telah hadir. Sebaik sampai saya cuba dapatkan kepastian daripada anggota polis mahkamah dan pegawai penyiasat sendiri yang kebetulan berada di luar mahkamah.

Memang pengadu hadir. Nampaknya bukan rezeki saya untuk ucapkan perkataan keramat saya itu - DNAA pagi ini. Perkataan yang kadang-kala membuat rakan bijaksana Timbalan Pendakwaraya menjeling bila perkataan tersebut dilontarkan oleh saya. Dan selalunya juga saya akan membalas balik dengan senyuman.

Saksi-saksi lain juga hadir. Makanya bicara mungkin dijalankan jika tiada apa-apa perkara lain. Bila kes dipanggil dan mahkamah tidak dapat menjalankan perbicaraan pada hari ini memandangkan terdapat pertukaran majistret. Oleh yang demikian arahan pihak atasan adalah untuk tidak dijalankan sebarang perbicaraan baharu.

Tersenyum saya mendengar. Bukannya apa. Mungkin masih ada harapan pada tarikh-tarikh hadapan untuk saya ungkapkan perkataan kesukaan saya itu.

Sebenarnya kes ini hanyalah sebahagian kes-kes kecil sahaja yang kalau kebiasaannya dalam kes-kes sebegini yang mempunyai hukuman berbentuk denda anakguam akan membuat pengakuan salah.

Dan untuk kes ini juga kalau boleh saya berkehendakkan ianya dapat di DNAA adalah kerana ianya akan membuka pekung pengadu itu sendiri sekiranya perbicaraan berjalan.

Soalan without prejudice saya sebagai penutup sekiranya anda tahu bahawa isteri anda telah ditiduri oleh lelaki lain sehingga melahirkan anak yang dibinti dengan nama anda apa tindakan anda? Tak perlu beritahu saya. Simpan saja dalam hati.

Selamat malam.

No comments:

Post a Comment