Saturday, May 21, 2016

Sebaik-baik Perancangan

Hari ini adalah hari pendengaran bagi satu Notis Usul (motion) yang difailkan oleh saya bagi pihak anak guam saya untuk mendapatkan satu lanjutan masa bagi memfailkan Notis Rayuan mereka.

Setelah masing-masing; pihak Pemohon dan juga pihak Responden memasukkan afidavit-afidavit masing makan satu perintah akan dibuat berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan masing-masing.

Selaku peguambela bagi pihak pemohon seboleh-bolehnya saya mahukan satu perintah yang berpihak kepada saya dan anak guam saya. Begitu juga sebaliknya rakan bijaksana saya di pihak responden – Pendakwaraya mahukan satu perintah yang memihak kepada mereka iaitu satu penolakan terhadap Notis Usul ini. 

Jadinya untuk tidak mahu mengambil sebarang risiko kelewatan hadir ke mahkamah yang akan menjejaskan pendengaran kes saya ini maka saya pun bertolak daripada rumah saya dalam lebih kurang pukul 7.30 pagi. Dalam pengiraan saya berdasarkan kepada pengalaman-pengalaman sebelum ini perjalanan biasanya hanya akan mengambil paling lama pun dalam sejam begitu. Jadinya saya akan sampai ke Istana Kehakiman pada pukul 8.30 pagi. Selewat-lewatnya. Langsung tidak terfikir bahawa hari ini adalah sebaliknya.

Perjalanan saya ke Putrajaya melalui lebuhraya berjalan dengan lancar. Saya bergolak riang ditambah dengan suasana pagi sebegini. Bila keluar ke susur keluar Cyberjaya/Putrajaya saya semakin senang. Sudah semakin hampir untuk sampai ke destinasi saya pada hari itu.

Cuma beberapa minit sahaja lagi pemanduan saya. Namun sangkaan saya meleset. Dari jauh saya melihat deretan kenderaan yang sudah sedia tersusun. Rupanya terdapat satu kejadian kemalangan. Melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta ke susur keluar Cyberjaya.

Saya melihat jam di dashboard kereta. Jam menunjukkan pukul 8.10 pagi. Dalam fikiran saya mungkin keadaan ini tidak akan lama. Masih sempat sampai sebelum mahkamah bersidang.  Apakan daya tempat yang tempat yang tidak dijangka untuk jem boleh menjadi jem akibat kemalangan. Dekat sangat hendak sampai pun. Rosak segala perancangan saya. Bibit-bibit kekecewaan jelas terpancar di muka saya.

Masa terus berlalu dengan pantas sedangkan saya masih terperangkap dalam kesesakan di situ. Saya menjadi agak panik bila melihat jam menunjukkan sudah hampir ke pukul 9.00 pagi.. Saya terpaksa mencari pelan B. Mungkin jikalau ada rakan-rakan yang kebetulan ada di Istana Kehakiman pagi itu yang terlebih dahulu sampai.

Saya mungkin boleh meminta pertolongan mereka untuk memaklumkan kemungkinan saya akan terlewat menghadiri kes saya pada pagi itu kepada pihak jurubahasa dan juga pegawai mahkamah yang bertugas. Namun hampa kerana tidak ada.

Akhirnya saya mengambil keputusan menelefon sahaja ke bahagian Mahkamah Rayuan dan memaklumkan berkenaan dengan situasi yang menimpa saya pagi itu. Belum sempat saya menyebut di mana kejadian kemalangan tersebut berlaku individu yang menjawab panggilan itu terlebih dahulu menekanya.

Dan tekaan beliau tersebut adalah betul sama sekali. Nampaknya bukan saya sahaja yang terperangkap dalam kesesakan tersebut. Terasa lega sedikit.

Tidak berapa lama kemudian saya pun melepasi kawasan kemalangan tersebut dan keadaan trafik bergerak lancar kembali. Dengan sepantas yang mungkin saya memecut kenderaan saya.

Bimbang sekiranya kes lain-lain sudah dipanggil dan hanya tinggal kes saya sahaja yang belum dipanggil. Terpaksa pula panel Yang Arif Hakim yang mendengar kes ini menunggu saya. Satu perkara yang sangat tidak beretika bagi seorang peguam.

Akhirnya saya pun sampai ke Istana Kehakiman. Dan saya orang terakhir yang masuk ke bilik perbicaraan. Masing-masing yang telah berada di dalam bilik bicara tersebut memandang saya. Alhamdulillah. Saya sempat sampai dan menghilangkan mengah sebelum panel bersidang.

Kes saya kemudiaannya dipanggil dan saya sempat berhujah sepatah dua. Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak bariasan panel Yang Arif Hakim telah sepakat bersetuju dengan Notis Usul anak guam saya. Lanjutan masa untuk memfailkan Notis Rayuan diberikan Selepas itu juga terus ditetapkan satu pengurusan kes untuk proses rayuan bagi kes mereka.

Tersenyum saya sendirian selepas keputusan tersebut. Gembira medengar keputusan yang telah diberikan memihak kepada kami; anak guam-anak guam dan saya. Juga terfikir bagaimana saya hampir terlepas untuk menghadiri pendengaran kes saya ini.

Sekurangnya perjalanan kes-kes anak guam saya ini masih boleh diteruskan. Untuk merayu ke atas hukuman pemenjaraan selama 18 tahun dan 12 tahun untuk kesalahan terlibat dengan kegiatan IS.

Pengajaran bagi saya pagi ini walaupun sebaik-baik perancangan saya namun perancangan Allah S.W.T. adalah yang terbaik. Tidak dapat dinafikan.

No comments:

Post a Comment