Saturday, April 1, 2017

Siti Noor Aishah, SOSMA & POCA

Dato’ Hj. Mohamad Shariff Bin Hj. Abu Samah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah TInggi Jenayah 4 pada tanggal 29 September 2016 telah membebaskan Siti Noor Aishah daripada sabitan dibawah Seksyen 130JB(1)(a). Pesuruhjaya Kehakiman Yang Bijaksana dalam keputusannya mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie yang melampau keraguan yang munasabah pada pertuduhan ke atas Siti Noor Aishah itu. Oleh sebab itu beliau telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Selepas daripada itu Pendakwaraya kemudiannya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Yang mana selepas pendengaran rayuan kes ini di Putrajaya, Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh tiga panel Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah mendapati bahawa rayuan Pendakwaraya ini mempunyai merit dan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa satu kes prima facie telah pun dibuktikan di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Memandangkan telah wujudnya kes prima facie maka Tertuduh perlu membela dirinya. Oleh yang demikian maka kes ini telah dibawa semula untuk Siti Noor Aishah selaku Tertuduh membela dirinya di peringkat perbicaraan pembelaan.

Dan memandangkan kes ini juga telah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur maka Siti Noor Aishah perlu ditahan. Ini kerana kes beliau ini adalah satu kes dibawah SOSMA yang mana bagi kes-kes dibawah SOSMA ini tidak dibenarkan sebarang ikat jamin diberikan kepada mana-mana Tertuduh. Jadi mengatakan bahawa seolah-seolah Tertuduh ditahan semula dibawah SOSMA adalah sama sekali satu kekhilafan. Ianya adalah kes yang sama sebelum ini yang mana Tertuduh dipanggil untuk membela diri memandangkan satu kes prima facie telah pun berjaya dibuktikan menurut keputusan dan dapatan Mahkamah Rayuan.

Situasi ini adalah sama dengan mana-mana kes yang melibatkan Tertuduh yang dituduh dengan kesalahan yang tidak boleh dijamin. Contohnya dalam seorang Tertuduh yang telah dituduh dibawah Seksyen 302 atau 39B Kanun Keseksaan telah pun dilepaskan dan dibebaskan selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Jika Pendakwaraya membuat rayuan atas pembebasannya itu ke Mahkamah Rayuan dan keputusan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Pendakwaraya telah berjaya membuktikan kes prima facie di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ini maka Mahkamah Rayuan akan memerintahkan Tertuduh tersebut membela diri semula di Mahkamah Tinggi. Dan semestinya juga Tertuduh tersebut akan kembali ditahan kerana statusnya sebagai seorang Tertuduh dibawah Seksyen 302 atau 39B Kanun Keseksaan tidak membolehkannya dibebaskan dengan ikat jamin.

Hak untuk merayu ke atas sabitan atau pun hukuman ke mahkamah yang mempunyai bidang kuasa rayuan adalah hak semua pihak dalam mana-mana perbicaraan samada perbicaraan kes jenayah mahupun kes sivil. 

Berkenaan dengan POCA, apa-apa pertuduhan dibawah Kanun Keseksaan dan SOSMA tidak menghalang pihak Polis untuk menggunakan akta ini. Dalam kes Siti Noor Aishah ini POCA tidak digunakan ke atas beliau secara bersekali semasa pertuduhan dibawah SOSMA. Ianya digunakan selepas beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada SOSMA. Bahkan dalam pengalaman saya ada sahaja anak guam yang masih dalam perbicaraan untuk pertuduhan dibawah Kanun Keseksaan yang turut dikenakan perintah POCA. 

Perintah POCA bukanlah satu perintah hukuman, ianya adalah satu perintah penahanan. Yang mana perintah penahanan ini boleh dicabar oleh mereka yang dikenakan perintah ini melalui Writ Habeas Corpus. Bukan semasa itu sahaja, tetapi peringkat awal semasa dibawa untuk permohonan reman POCA pun, individu-individu yang berkenaan boleh diwakili oleh peguambela sepertimana reman-reman yang lain. Cumanya tempoh remannya itu adalah agak lama bagi kes-kes biasa.

Walaupun SOSMA adalah undang-undang yang dikira sebagai 'draconian' bagi sesetengah pihak namun ianya bukanlah satu akta penahanan tanpa bicara. Mana-mana tertuduh SOSMA berhak untuk diwakili oleh peguambela dan dibicarakan mengikut lunas undang-undang. 

Saya kira penerangan saya yang tidak seberapa boleh menghuraikan sedikit sebanyak persoalan yang timbul berkenaan dengan undang-undang ini. Walau apa pun perinsip undang-undang adalah jelas bahawa seseorang itu ‘innocent until proven guilty’. Oleh itu lawan tetap lawan sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Wallahua’lam.


No comments:

Post a Comment