Thursday, June 30, 2016

Pulang Beraya

"Abang ada puasa?" tanya anak guam saya yang berasal daripada Bangladesh itu.

Saya hanya menganguk-anguk lemah.

"Saya puasa sama sembahyang tak ada tinggal dalam," sambung dia lagi dalam riak yang agak gembira. Sebelum ini kalau datang ke mahkamah hanya menunduk sedih dan pilu. Mungkin rasa gembira untuk balik tidak lama lagi.

Akhirnya hari ini dua orang daripada anak guam saya yang dalam program penggajian semula PATI akhirnya mengaku salah. Alasan mereka kerana tidak sanggup lagi menunggu segala perjalanan birokrasi yang tidak berkesudahan ini.

Wednesday, June 29, 2016

Pelatih Dalam Kamar

Hari pertama saya masuk sebagai pelatih dalam kamar di sebuah firma guaman di tengah ibu kota Kuala Lumpur saya dan seorang lagi rakan pelatih dibawa berjumpa dengan rakan-rakan kongsi firma dan juga senior associates. Untuk diperkenalkan kepada mereka.

Kami dibawa daripada satu bilik ke bilik yang lain untuk sesi suai kenal secara impromptu. Tiba ke bilik salah seorang rakan kongsi sambil tersenyum dia mengucapkan selamat datang, "Welcome to hell."

Saya rasa teruja.

Monday, June 27, 2016

Respect

Ada beberapa kali ketika di bulan Ramadhan ini seorang pendakwaraya non-Muslim acapkali akan meminta maaf hanya untuk meneguk air bekalannya ketika di mahkamah. "Saya minta maaf ya," katanya sopan dan serba salah.

Selalunya saya akan tersenyum dan menjawab,  "It's ok Puan. It is your rights."

Sekali itu saya ada berbual dengan seorang anak guam di kantin. Melihat saya masuk secara spontan rakan peguam non-Muslim saya terus mempelawa saya untuk makan dan turut serta di meja itu. Saya membalas mengatakan saya dalam puasa. Rakan itu terus berasa serba salah kerana mempelawa saya di awal tadi. Dia terlupa.

Friday, June 24, 2016

Girlfriend ke?

Beberapa hari lepas semasa hadir di Mahkamah Kanak-Kanak saya sempat bersembang santai dengan tiga orang penama yang dituduh. Ada yang menunggu untuk dijamin dan ada yang menunggu untuk dihantar pulang ke lokap sementara menunggu dibawa balik ke Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi.

Salah seorang itu dituduh dibawah Akta Racun kerana kesalahan memilik satu botol yang mengandungi air ketum. Hanya kerana penangan air ketum sebotol terpaksa naik turun mahkamah. Menyusahkan abangnya yang hanya bekerja sebagai seorang pemandu lori itu untuk membuat urusan jaminan. Tak berbaloi langsung kata saya kepada dia.

Thursday, June 23, 2016

Air Mata Ibu

Selama tiga hari berturut-turut sepasang suami isteri datang ke mahkamah untuk menjamin anak mereka yang telah ditangkap untuk kesalahan memiliki dadah.

Tiga hari lepas semasa mereka pertama kali datang ke mahkamah mereka memaklumkan saya bahawa mereka datang untuk menjamin anak mereka. Namun setelah menunggu hampir ke tengahari dan memeriksa dengan pendaftaran mahkamah nama anak mereka tidak ada dalam senarai kes baharu yang akan dituduh.

Wednesday, June 22, 2016

Satu Pagi Yang Syahdu

Saya tidak pasti hari itu sudah berapa hari umat Islam menyambut bulan Ramadhan. Tetapi peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya lagi.

Pagi itu seperti kebiasaannya pada pagi-pagi yang lain saya bergegas ke mahkamah. Terdapat dua kes yang saya kena saya kendalikan pada pagi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kebiasaannya juga sebelum pukul 9.00 pagi saya sudah sampai ke mahkamah. Tetapi pada hari itu nasib tidak berapa menyebelahi saya. Walaupun saya sampai dalam jangka waktu sebelum pukul 9.00 pagi namun keadaan di sekitar mahkamah agak sesak kerana terdapat satu kes yang melibatkan satu sosok pemimpin politik tanahair.

Tuesday, June 21, 2016

Rehat Sebentar

Usai kes-kes saya duduk sebentar dengan kawan-kawan. Lama sekali dapat berjumpa memandangkan masing-masing sibuk dengan kes masing-masing. Duduk dengan saya tuan peguam Nasrul yang tak pernah lekang dengan fail-fail tebal. Sejak muncul di kaca televisyen tampak semakin kacak.

Keduanya tuan peguam Khalil yang saya dimaklumkan bahawa sepanjang bulan Ramadhan ini agak sibuk dengan playstationnya. Mengalahkan budak-budak baru lepas SPM.

Monday, June 20, 2016

Untung Yang Dicari Tapi Rugi Yang Dapat

"Saya ni keluarkan produk sarang burung. Kemudiannya ada jumpa kenalan lama. Dia bagitau produk ni boleh jual. Jadinya dia join saya untuk marketkan produk ni. Saya tak tau bab MLM atau jualan langsung ni."

Anak guam saya ini memaklumkan kepada saya pagi tadi sebaik saya mengajukan soalan berkenaan dengan kes beliau ini. Sebelumnya telah dituduh dibawah Akta Jualan Langsung & Skim Anti Piramid 1993 yang mana jika sabit salah boleh didenda tidak kurang daripada lima ratus ribu ringgit dan tidak melebihi lima juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Friday, June 17, 2016

Penghantaran Pulang Segera

Kebiasaannya jika saya mewakili anak guam warga asing atau PATI yang dituduh dibawah Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 saya akan membuat rayuan mitigasi kepada Mahkamah Yang Mulia untuk hukuman pemenjaraan yang tidak begitu lama tempohnya.

Tempoh pemenjaraan yang lama kepada warga asing ini adalah satu perkara yang merugikan kerajaan. Banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam menampung banduan-banduan pesalah Imigresen ini disamping banduan-banduan tempatan di penjara seluruh negara.

Thursday, June 16, 2016

Postif Atau Negatif

"Pihak pendakwaan telah menerima laporan patologi dan ujian air kencing Tertuduh-tertuduh adalah negatif. Dengan itu pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atas Tertuduh-tertuduh ini".

Saya lihat Tertuduh-tertuduh menunduk muka masing-masing tanda kesyukuran. Ada sedikit air jernih berlinang di kelopak mata salah seorang daripada mereka.

Wednesday, June 15, 2016

Angkara Rokok

Sebelum ini anak guam saya telah ditangkap dan dituduh di bawah Seksyen 135b(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok-rokok yang tidak mendapat kelulusan cukai daripada pihak kastam.

Jumlah yang ditaksirkan tidaklah begitu banyak hanya RM74.80 sahaja. Pengakuan salah telah pun dibuat dan dikenakan hukuman denda sebanyak 13 kali ganda nilai barangan tersebut.

Tuesday, June 14, 2016

Tauke Kedai Runcit

Sambil berbual berkenaan dengan kesnya anak guam saya sempat bertanya samada firma kami ada mengendalikan kes-kes conveyancing iaitu kes berkenaan perihal jual beli hartanah. Ada kata saya menjawab kepada pertanyaan tersebut.

Dia memaklumkan bahawa dia dahulunya pernah bekerja sebagai despatch di beberapa firma guaman di Bangsar. Firma yang mengendalikan kes-kes conveyancing. Saya tidaklah begitu hairan memandangkan saya turut mengenali abangnya yang turut bekerja di sebuah firma guaman sejak beberapa lama dahulu.

Selepas daripada berhenti bekerja dia menjalankan perniagaan kedai runcit. Sebelum ini dia menguruskan sendiri kedai runcitnya sendiri tapi sekarang tidak lagi katanya. Saya membuat telahan yang dia tidak lagi berniaga bila dia memberitahu sedemikian.

Monday, June 13, 2016

Dia Mahu Pulang

Anak guam saya itu tunduk memandang lantai bilik mahkamah dengan penuh sayu. Air mata sentiasa berlinangan. Sehinggakan salah seorang anggota polis mahkamah yang bertugas hari itu menanyakan kepada saya kenapa anak guam saya itu asyik menangis.

Dia ingin pulang segera ke negara asalnya, Bangladesh. Maklum saya kepada anggota polis muda itu.

Anak guam saya ini telah dituduh dibawah Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/64 iaitu kesalahan masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah. Setelah semakan passport miliknya dengan pihak imigresen dibuat oleh pegawai penyiasat tidak terdapat sebarang rekod keluar masuk berdasarkan maklumat atas passport tersebut walaupun passport tersebut adalah passport yang sah.

Petua

Sambil Timbalan Pendakwaraya membelek fail siasatan saya mencelah meminta dia menunjukkan saya gambar mangsa kemalangan maut yang melibatkan anak guam saya.

Gambar yang ada pada saya adalah gambar hitam putih yang disalin balik. Tidak berapa jelas pada pandangan mata kaput saya ini.

Lalu dia pun menyelak helaian kertas-kertas dalam fail siasatan di hadapan beliau. Duduk berdekatan ada dua orang abang polis trafik yang saya kenal.

Friday, June 10, 2016

Saya Ada Check Dia

"Bila saya tengok CCTV saya nampak lelaki yang saya saya cam. Dia memang duduk di apartment situ juga."

Seorang kakak yang baharu kehilangan van sekolah miliknya selepas rumahnya dimasuki oleh pencuri memberitahu saya. Dia masih dalam keadaan trauma gayanya.

Dia datang pejabat guaman saya untuk memfailkan saman di atas kerugian yang dialaminya ke atas pihak JMB dan juga pihak kawalan keselamatan.

Thursday, June 9, 2016

Gate

Saya berasal dan membesar di sebuah kawasan bernama Mata Ayer di Perlis. Di situ terdapat satu kawasan yang dikenali dengan nama Gate. Kami orang Mata Ayer memanggil kawasan itu sebagai Gate memandangkan di situ terdapat kawasan lintasan keretapi berpagar. Apabila masa untuk laluan keretapi palang pagar akan diturunkan bagi memberikan laluan.

Itu adalah antara detik yang saya selalu nantikan. Melihat gerabak-gerabak yang besar melintas di hadapan memberikan satu perasaan teruja yang tidak dapat digambarkan rasanya. Bahkan perasaan tersebut terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Pantang terlihat keretapi sedang meluncur pasti pandangan saya akan beralih ke arahnya. Kadang-kala saya cuba berkongsi perasaan teruja itu dengan anak-anak saya dengan harapan mereka akan merasai keterujaan yang saya rasai itu dalam diri mereka.

Wednesday, June 8, 2016

Untuk Apa

Kes seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dikenakan hukuman pemenjaraan selama setahun atas kesalahan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berlegar-legar di laman sosial.

Tanpa kehadiran seorang peguambela dia telah membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Sesyen yang kemudiannya telah menjatuhkan hukuman tersebut.

Saya selalu ditanya kenapa hendak melantik peguambela seandainya ingin membuat pengakuan salah? Bukannya hendak melawan kes pun.

Keramat Telaga Dewa

BAB 2 

Motor jenis Honda C70 itulah yang menjadi nadi bagi mereka sekeluarga untuk bergerak ke mana-mana. Itu sahaja yang termampu oleh Din Hitam. Hendak merasa naik kereta sebulan sekali pun belum tentu lagi. Pendapatan dia pun tidak menentu. Macam mana hendak memiliki kereta. Kantung duitnya bergantung kepada upah-upah kerja yang diambil daripada orang-orang kampungnya atau di kawasan sekitar. 

Kalau banyak kerja maka banyaklah yang dia dapat. Ada masanya upah yang dia dapat untuk sehari kerja bolehlah bertahan untuk sehari dua. Tapi selalunya upah harian yang dia dapat hanya dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga untuk hari itu sahaja. Ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tuesday, June 7, 2016

Patut Kurus

Minggu lepas ibu kepada anak guam saya memaklumkan kepada saya bahawa anaknya itu tidak dapat dihubungi dan dikesan. Anak guam saya itu baru mencecah umur 18 tahun dan duduk di luar bersama-sama rakannya. Ibunya itu turut memaklumkan bahawa besar kemungkinan anaknya itu ditangkap polis. Ini diberitahu oleh rakan serumah anaknya itu kepadanya semasa dia datang ke rumah sewaan anaknya itu.

Selamat Pulang

Dalam sibuk saya mengerjakan urusan dunia yang tidak pernah senggang daripada saya ini beberapa hari lepas saya dan rakan-rakan telah menerima perkhabaran akan pulangnya seorang lagi teman sepengajian dahulu.

Nun beberapa bulan sebelumnya juga telah adanya pulang kepangkuan Ilahi seorang juga teman sepengajian kami. Moganya roh kedua-dua mereka ini aman dan tenang di sana saat penungguan kebangkitan semula. Al-fatihah.

Nyatanya urusan mereka di muka bumi telah selesai. Cumanya tinggal kita sahaja yang masih belum lagi. Entah bila akan selesainya. Semoga Ramadhan kali ini boleh menjadi pemangkin untuk saya dan rakan-rakan dalam memperbaiki kekurangan dan kecacatan dalam kehidupan sementara kita ini. Inshallah.

Monday, June 6, 2016

Berpuasa Dengan Kawan-Kawan

Saya sampai di Puduraya pagi itu dalam lebih kurang pukul 5 lebih. Masih berbaki lagi masa untuk bersahur. Saya terus bergegas ke kedai mamak yang berdekatan dengan Puduraya. Apa entah nama dia. Saya tidak ingat. Tetapi kedai mamak itu terletak satu bangunan dengan Basement Record. Tempat anak-anak muda punk diy mencari bahan-bahan halwa telinga.

Sampai di sana Mat Hadi dengan Enal sudah ada. Baru lepas pekena roti canai dengan teh tarik. Saya pun kemudiannya memesan benda yang lebih kurang sama. Lagi pun baru bangun sebab sepanjang perjalanan memang saya tidur. Nafsu untuk melayan beriani memang tak ada langsung.

Thursday, June 2, 2016

Tok Wan

Saat kelahiran sehingga ke lingkungan umur lima ke enam tahun saya sekeluarga menetap di rumah tok wan saya. Sebuah rumah kayu dua lapis yang asalnya dibina sendiri oleh tok wan. Jadi tidak hairanlah hubungan saya dengan tok wan agak rapat sehinggalah ke saat-saat nafasnya yang terakhir.

Tok wan orangnya berbadan besar dengan kulit sedikit gelap. Sebelum pencennya bekerja makan gaji sebagai guru mengajar mengaji. Pernah dia mengajar di beberapa buah sekolah di sekitar negeri Perlis. Punya ramai anak-anak murid yang hampir seusia dengannya.

Saat ini bila saya kenang kembali zaman kanak-kanak saya selain keluarga saya banyak juga masa saya dengan tokwan tanpa saya sedari. Tok wan ada dalam kebanyakan waktu dan perjalanan hidup saya. Cuma saya sahaja yang tidak sedar.

Tak Hisap Rokok

Sambil bersembang-sembang tadi sementara menunggu pesanan makanan kami sampai bekas anak guam saya itu mengeluarkan satu kotak rokok daripada beg pinggangnya.

Sekotak Gudang Garam. Dikeluarkan sebatang dengan cermat dan kemudiannya mencucuhnya. Perlahan-lahan dia menyedut rokok kretek tersebut. Dihembusnya dengan penuh nikmat.

"Masa dalam penjara abang hisap rokok?" saya tanya sambil sambung menyedut kopi o ais.

"Kat dalam tak hisap pun.."

Wednesday, June 1, 2016

Gurindam 12

Bila bekas anak guam bercerita bab Gurindam 12 saya hanya mampu mendengar sahaja. Siap dinyanyikan beberapa bait dalam gurindam-gurindam tersebut.

Saya lebih suka bersembang dengannya semasa dia dalam tahanan daripada sekarang. Sembangnya sekarang terlalu deep. Mungkin penangan ubat psychiatric yang dia ambil barangkali. Melankoli sangat perginya.

Pen-Pal

Saya membesar di zaman yang mana komputer dan internet itu adalah satu perkara yang masih asing. Semasa saya dibangku sekolah rendah wujudnya satu trend di mana kawan-kawan sebaya di masa itu galak mempunyai pen-pal. Kenalan yang kebiasaannya adalah daripada luar negara.

Jadi saya juga tidak ketinggalan untuk turut mempunyai pen-pal. Terasa begitu gah sekiranya mempunyai pen-pal ini. Apatah lagi bagi anak-anak kampung seperti saya dan rakan-rakan persekolahan yang lain.

Dapat menayangkan surat yang bercop dan bersetem daripada luar negara kepada rakan-rakan sekelas yang lain adalah satu kepuasan dan kebanggaan yang tidak dapat digambarkan. Seolah-olah mendapat sijil penghargaan lagak dan gayanya. Itu pada padangan seorang budak sekolah darjah lima era awal 90-an.