Thursday, June 9, 2016

Gate

Saya berasal dan membesar di sebuah kawasan bernama Mata Ayer di Perlis. Di situ terdapat satu kawasan yang dikenali dengan nama Gate. Kami orang Mata Ayer memanggil kawasan itu sebagai Gate memandangkan di situ terdapat kawasan lintasan keretapi berpagar. Apabila masa untuk laluan keretapi palang pagar akan diturunkan bagi memberikan laluan.

Itu adalah antara detik yang saya selalu nantikan. Melihat gerabak-gerabak yang besar melintas di hadapan memberikan satu perasaan teruja yang tidak dapat digambarkan rasanya. Bahkan perasaan tersebut terbawa-bawa sehingga ke hari ini. Pantang terlihat keretapi sedang meluncur pasti pandangan saya akan beralih ke arahnya. Kadang-kala saya cuba berkongsi perasaan teruja itu dengan anak-anak saya dengan harapan mereka akan merasai keterujaan yang saya rasai itu dalam diri mereka.

Di situlah terletak deretan rumah kedai kayu separa usang yang dimiliki oleh peniaga-peniaga berbangsa Cina. Dalam deretan itu seingat saya terdapat sebuah kedai kopi Cina yang mana tempat sesetengah orang tua menikmati hidangan kopi mereka. Seingat saya kalau ke kedai kopi itu pun untuk membeli ais bantal yang selalunya digunakan semasa kenduri kendara. Dan di sebelahnya adalah sebuah kedai gunting rambut yang saya panggil sebagai Kedai Gunting Rambut Gagap.

Sebetulnya saya tidak mengetahui nama tukang gunting rambut tersebut. Tetapi yang pasti dia memang gagap. Kedai gunting itu wujud semasa zaman ayah saya kecil lagi. Seingat saya itu kedai gunting rambut yang ayah selalu bawa saya sebelum saya cerdik membuat pilihan untuk ke kedai gunting yang lain. Kedai gunting rambut ini juga terkenal dengan gaya gunting ala tempurung kelapa. Memang satu gaya yang langsung tidak memenuhi citarasa saya semasa itu.

Di sebelahnya terletak kedai runcit yang dimiliki oleh seorang apek yang memiliki anak yang ramai. Kedainya memang sentiasa penuh dengan orang. Jika menjelang hari raya akan bertambah ramailah pelanggan-pelanggan yang datang membeli barangan di kedainya. Serba serbi ada. Kedai ini juga tempat saya mendapatkan tembakau cap Berlian atau pun tembakau cap Misai Bin Seong dahulu.

Berjiran dengannya adalah kedai basikal Ah Tiau yang saya pernah ceritakan sebelum ini. Di hadapan kedainya ada sebuah buaian usang yang selalu menjadi tempat kami budak-budak bersantai sementara menunggu basikal chopper kami dikastem oleh dia atau anaknya Chen Lang. Terlalu banyak nostalgia dia kedai ini. Kenangan bersama kawan-kawan yang membuatkan saya tersenyum bila teringat kembali.

Sebelahnya pula adalah salun rambut yang dimiliki oleh seorang lelaki Siam yang 'lembut'. Dia menjalankan salun tersebut bersama dengan isterinya. Setelah cerdik sedikit kedai inilah yang selalu saya kunjungi untuk menggunting rambut. Kadang-kala semasa dia menggunting rambut saya terasa sedikit tidak selesa pun ada bila melihat kuku jari kelingkingnya yang panjang itu.

Seterusnya kedai yang boleh dikatakan agak penting di Mata Ayer. Kedai Ah Chuan. Juga menjalankan perniagaan kedai runcit namun yang lebih istimewanya kedainya ada menjual ubat-ubatan. Sebab itu ada yang memanggilnya doktor Chuan. Ini sebelum adanya farmasi di Mata Ayer. Dia ini juga pemilik sebuah kereta Datsun 120Y berwarna hijau yang selalu kelihatan terjaga.

Kemudiannya kedai basikal yang lebih sedikit koleksi basikal-basikalnya daripada kedai Ah Tiau. Rasanya boleh dikira beberapa kali saya ke kedai ini. Pemiliknya tidak seramah Ah Tiau dan Chen Lang. Saya pun tak pasti apa nama apek tersebut. Kedainya yang terhujung sekali. Tidak berapa menarik minat saya untuk ke kedai tersebut.

Tapi semua ini hanya terpahat dalam kotak memori saya sahaja. Gate sudah tidak ada lagi. Deretan kedai-kedai kayu tersebut telah dirobohkan untuk menjalankan projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS). Hilangnya Gate bersama dengan memori dan kenangan-kenangan kanak-kanak sehingga remaja saya.

Dahulunya semasa Gate masih ada saya kadang kala menjenguk ke kedai basikal peninggalan Ah Tiau. Selepas orang tua itu meninggal dunia anaknya Chen Lang itu yang mewarisi kedai basikal tersebut. Sahaja duduk di atas buaian yang sinonim dengan lanskap kedai Ah Tiau. Melihat orang lalu lalang. Cuba membawa balik diri saya ke masa kanak--kanak lalu. Masa di mana saya rasakan Mata Ayer itu adalah satu dunia yang cukup luas untuk saya teroka.

No comments:

Post a Comment