Wednesday, June 22, 2016

Satu Pagi Yang Syahdu

Saya tidak pasti hari itu sudah berapa hari umat Islam menyambut bulan Ramadhan. Tetapi peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya lagi.

Pagi itu seperti kebiasaannya pada pagi-pagi yang lain saya bergegas ke mahkamah. Terdapat dua kes yang saya kena saya kendalikan pada pagi itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kebiasaannya juga sebelum pukul 9.00 pagi saya sudah sampai ke mahkamah. Tetapi pada hari itu nasib tidak berapa menyebelahi saya. Walaupun saya sampai dalam jangka waktu sebelum pukul 9.00 pagi namun keadaan di sekitar mahkamah agak sesak kerana terdapat satu kes yang melibatkan satu sosok pemimpin politik tanahair.

Kawasan ruang parkir dan sekitarnya penuh sesak dengan kenderaan-kenderaan para sekalian yang hadir ke mahkamah pada pagi itu. Mencari parkir di kawasan itu bukanlah satu perkara yang mudah kerana selain daripada mahkamah ianya turut dihimpit oleh bangun kerajaan yang lain. Kawasan yang menjadi tumpuan awam untuk urusan-urusan dan hal lain lain jika bukan urusan mahkamah pun.

Urusan mencari parkir selesai ketika jam tangan saya menunjukkan pukul 9.10 pagi. Saya lihat peguam-peguam lain sudah ada yang berlari-lari anak ke arah bangunan kompleks mahkamah. Saya turut tidak terkecuali memandangkan saya perlu hadir ke dua mahkamah yang berlainan pada hari itu jadi saya seharusnya perlu pantas dan segera. Takut tidak sempat untuk mendaftarkan nama kepada jurubahasa yang bertugas.

Saya mengambil keputusan untuk menghadiri dahulu kes yang mana Yang Arif Hakim yang mendengar kes ini memang terkenal dengan sikapnya yang tegas dan mementingkan kepada 'punctually'. Sebaik menolak daun pintu bilik mahkamah saya mengerling jam tangan saya. Jarum panjang tepat di angka 3. Menunjukkan pukul 9.15 pagi.

Saya terus mendapatkan jurubahasa perempuan yang bertugas dan memaklumkan tentang kehadiran saya untuk kes tersebut. Setelah membelek senarai kes pada hari itu dia pun memaklumkan kepada saya, "Encik punya case dah kena struck-out pada pukul 9.10 pagi tadi."

Struck-out. Satu perkataan yang taboo untuk para peguam. Apatah lagi kalau kita adalah mewakili pihak Plaintif atau penuntut dalam tuntutan tersebut. Dalam bahasa mudahnya kes saya tersebut telah pun dibuang dari senarai kes-kes yang didengar dan dibicarakan dihadapan Yng Arif Hakim tersebut. Tiada lagi kes. Haru!

Bilik mahkamah itu saya tinggalkan selepas cubaan saya untuk berjumpa dengan Yang Arif Hakim tidak dibenarkan. Benda yang telah lepas tidak ada apa yang saya boleh buat lagi. Masakan boleh dipatah balik waktu.

Saya terus bergegas ke bilik mahkamah yang kedua yang letaknya hanya selang beberapa bilik sahaja daripada bilik mahkamah tadi. Sebaik daun pintu terbuka saya melihat mahkamah sudah bersidang dan telah pun dipenuh orang peguam-peguam yang lain.

Saya mengambil tempat duduk di bangku yang paling belakang di galeri awam. Bersebelahan dengan pintu masuk ke bilik mahkamah. Jubah saya diletakkan di sebelah saya. Tidak dipakai. Duduk di sebelah saya adalah seorang polis. Saya kira polis Singh tersebut adalah polis mahkamah itu.

Belum pun sempat panas punggung tiba-tiba dengan tidak semenanya kes saya dipanggil. Tergopoh-gapah saya mencapai jubah saya dan terus menyarungkannya dengan serta-merta. Saya bergegas ke hadapan dan memperkenalkan diri saya sebagai peguam Pempetisyen. Kes ini adalah satu kes penggulungan syarikat. Hadir saya pada hari itu untuk menggulungkan sebuah syarikat.

Belum pun habis saya memperkenalkan diri terus saya disergah oleh Yang Arif Hakim. Rupanya dia terperasan bahawa saya hanya memakai jubah saya ketika saya hendak bangun dari bangku tempat duduk tadi. Terus-terusan saya di'sekolah'kan oleh beliau di hadapan para peguam senior yang lain.

"Let it be a lesson for all of us today," kata beliau kepada semua yang berada di dalam bilik tersebut.

"In the old days you will be kicked out from the court room counsel." Semua mata memandang saya. Detik yang saya kira pada ketika itu amat memalukan saya dek kerana kecuaian dan ketidakpekaan saya sendiri. Pucat lesi dibuatnya.

Setelah itu beliau menyuruh saya meneruskan dengan kes saya di hadapan beliau itu. Segalanya terus menjadi tidak kena selepas itu. Selepas memperkenalkan diri saya sekali lagi saya langsung tidak memperkenalkan pihak Pegawai Penerima daripada Jabatan Insolvensi.

Saya terus memaklumkan beliau akan hal petisyen penggulungan tersebut. Sehinggalah Yang Arif merenung saya dari atas bench dan berkata, " Counsel, did you forget to introduce the other party?".

Saya berpaling ke arah bahagian belakang kanan saya dan tercegat seorang lelaki muda. Pegawai Penerima daripada Jabatan Insolvensi. Sekali lagi semua mata memandang saya. Ada yang tersengih melihat kepandiran saya ini.

Tanpa berlengah saya memohon maaf kepada mahkamah dan terus memperkenalkannya kepada mahkamah. Selanjutnya saya memaklumkan kepada mahkamah bahawa kertas kausa adalah teratur dan sempurna. Ini adalah berdasarkan kepada dokumen-dokumen yang saya lihat dalam fail kes itu yang ada bersama saya.

Yang Arif kemudiannya mengalih arah kepada Pegawai Penerima tersebut dan bertanya samada terdapat sebarang bantahan untuk permohonan pihak kami menggulungkan syarikat yang berkenaan.

Saya yakin tidak akan ada apa-apa bantahan memandangkan segala dokumen-dokumen adalah lengkap dan sempurna untuk penggulungan ini.

"Ada bantahan Yang Arif. Syarikat ini telah pun digulungkan sebelum ini."

Saya menoleh ke belakang dan memandang pegawai tersebut tanpa berkelip. Kepandiran apakah ini? Saya cuba menggulungkan syarikat yang telah digulungkan. Buat kali ketiga semua mata memandang saya. Saya sendiri terasa ingin keluar daripada bilik mahkamah itu dengan segera.

Jelas sekali maklumat berkenaan dengan penggulungan syarikat tersebut tidak terdapat di dalam fail kes tersebut. Dan rakan peguam yang mengendalikan fail ini tidak menyemaknya dengan pihak yang berkenaan sebelum ini. Akhirnya petisyen penggulungan ditarik balik. Apa perlunya menggulung syarikat yang telah digulung? Ini bukannya kuih ketayap yang boleh digulung berulang kali.

Saya duduk terpaku sementara menunggu mahkamah habis bersidang. Rasa lemah ingin beredar keluar daripada bilik itu. Usai mahkamah bersidang sedang saya bangun ingin beredar saya disapa oleh jurubahasa. Yang Arif ingin berjumpa saya di dalam kamar hakim. Sedang menunggu untuk masuk saya lihat polis Singh tersebut keluar dari kamar hakim. Dia pun turut dipanggil. Tidak semena-mena dia pun turut menjadi mangsa dek kerana saya. Saya memohon maaf kepadanya sambil tersenyum simpul.

Bila dipanggil masuk Yang Arif menjemput saya duduk. Saya sekali lagi memohon maaf kepada beliau atas tindakan saya yang tidak beretika di awalnya tadi. Jelas beliau apa yang berlaku tadi telah selesai. Tidak ada apa-apa lagi yang perlu dibincangkan atau dimalukan. Cumanya dia menjemput saya ke kamarnya untuk memberi sepatah dua nasihat kepada seorang peguam muda seperti saya ini. Berbual-bual santai.

Saya katakan kejadian pada hari ini adakan menjadi ingatan saya sampai bila-bila. Dia terus menempelak saya. Katanya sebagai seorang peguam muda banyak lagi yang saya akan pelajari dan tempuhi. Jadikan pengalaman saya pada hari ini sebagai satu proses pembelajaran. Terima kasih Yang Arif Dato T. Selventhiranathan.

Sekurang-kurang selepas kejadian-kejadian yang berlaku pada saya pada pagi itu secebis nasihat daripada orang lama seperti beliau membuatkan semangat saya yang separuh hilang kembali ada. Akan saya jadikan dorongan buat menempuh dunia guaman yang penuh dengan liku dan cabaran ini.

Sambil berjalan menuju ke tempat parkir saya menghela nafas panjang. Ada lagi satu cabaran yang paling getir saya perlu harungi hari itu. Bagaimana untuk mengadap bos saya yang bermisai lebat itu dengan kes yang telah di'struck-out' tadi itu. Ligat otak saya memikir jawapan yang tidak memungkinkan saya dihambur sekali lagi. Cukuplah untuk segala kejadian pada hari itu. I rest my case.


No comments:

Post a Comment