Monday, June 13, 2016

Dia Mahu Pulang

Anak guam saya itu tunduk memandang lantai bilik mahkamah dengan penuh sayu. Air mata sentiasa berlinangan. Sehinggakan salah seorang anggota polis mahkamah yang bertugas hari itu menanyakan kepada saya kenapa anak guam saya itu asyik menangis.

Dia ingin pulang segera ke negara asalnya, Bangladesh. Maklum saya kepada anggota polis muda itu.

Anak guam saya ini telah dituduh dibawah Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/64 iaitu kesalahan masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah. Setelah semakan passport miliknya dengan pihak imigresen dibuat oleh pegawai penyiasat tidak terdapat sebarang rekod keluar masuk berdasarkan maklumat atas passport tersebut walaupun passport tersebut adalah passport yang sah.

Jadi mengapakah walaupun passportnya adalah passport yang tulen namun tidak terdapat sebarang rekod keluar masuk daripada sistem pihak Imigresen?

Ini adalah kerana passport anak guam saya ini dibuat di kedutaaan Bangladesh di Kuala Lumpur. Ianya adalah passport dengan nombor yang baharu. Justeru itu sememangnya tidak ada rekod kemasukan pemegangnya dalam sistem imigresen.

Lazimnya apabila keputusan semakan adalah sebegini amalan undang-undang yang digunakan pakai adalah individu tersebut sebelumnya memasuki malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah.

Walaupun dalam kebanyakan kes mereka ini masuk menggunakan jalan yang sah namun apabila tiba di negera ini passport mereka dipegang oleh agen atau pun majikan.

Dalam kes anak guam saya ini pula dia memang masuk ke malaysia daripada Bangladesh melalui saluran yang sah. Dan kemudiannya bekerja di sebuah kilang sebelum bertindak melarikan diri dek kerana tidak dibayar sebarang gaji oleh majikan tersebut.

Hinggalah dia melalui majikan yang baharu mendaftarkannya dengan Program Pengambilan Pekerja PATI. Namun kerana terdapat ketidakselarasan antara Jabatan Imigresen dan pihak yang mengendalikan program ini memberikan kesukaran kepada mereka yang terlibat.

Mahkamah terpaksa memberikan tarikh lain sementara menanti semakan selanjutnya dibuat setelah saya memaklumkan berkenaan dengan perkara ini. Kalau diikutkan mahu sahaja anak guam saya itu membuat pengakuan salah kerana sudah tidak tertahan menunggu kesnya ini selesai. Dia ingin segera pulang ke pangguan keluarganya di Bangladesh.

Sebelum beredar dia meminta diberikan kebenaran bercakap dengan ibunya di Bangladesh memandangkan sudah hampir dua bulan dia dalam tahanan reman. Sebaik mendengar suara ibunya di corong telefon lagi bertambah air matanya bergenangan. Walaupun tidak memahami butir alun kata-katanya namun saya dapat merasakan gundah gulana dalam dirinya itu.

No comments:

Post a Comment