Thursday, June 2, 2016

Tok Wan

Saat kelahiran sehingga ke lingkungan umur lima ke enam tahun saya sekeluarga menetap di rumah tok wan saya. Sebuah rumah kayu dua lapis yang asalnya dibina sendiri oleh tok wan. Jadi tidak hairanlah hubungan saya dengan tok wan agak rapat sehinggalah ke saat-saat nafasnya yang terakhir.

Tok wan orangnya berbadan besar dengan kulit sedikit gelap. Sebelum pencennya bekerja makan gaji sebagai guru mengajar mengaji. Pernah dia mengajar di beberapa buah sekolah di sekitar negeri Perlis. Punya ramai anak-anak murid yang hampir seusia dengannya.

Saat ini bila saya kenang kembali zaman kanak-kanak saya selain keluarga saya banyak juga masa saya dengan tokwan tanpa saya sedari. Tok wan ada dalam kebanyakan waktu dan perjalanan hidup saya. Cuma saya sahaja yang tidak sedar.

Basikal pertama yang saya miliki dibeli oleh tok wan. Dibeli daripada kedai basikal milik seorang apek tua yang bernama Ah Tiau. Tok wan dan Ah Tiau boleh dikatakan kenal baik antara satu sama lain. Kedai basikal yang menjadi tempat tumpuan orang Mata Ayer. Hanya ada dua sahaja kedai basikal di Mata Ayer pada masa itu. Yang satu lagi terletak selang beberapa pintu daripada kedai Ah Tiau sahaja. Tetapi kedai yang satu lagi itu jarang dijenguk orang memandangkan tidak terdapat banyak pilihan basikal dan harganya yang agak sedikit mahal. Apek yang empunya kedai itu pun tak semesra Ah Tiau.

Kedai Ah Tiau ini juga menyimpan banyak memori dan kenangan ketika saya membesar di Mata Ayer.

Semasa saya bersekolah di sekolah rendah ada tika dan kalanya tok wan akan menjemput saya dan adik saya daripada sekolah dengan menaiki motosikal honda c70 dia. Pernah satu hari saya dan adik saya menunggu tok wan untuk datang mengambil kami berdua. Tetapi tok wan tidak muncul. Tidak lama kemudian bapa saudara saya yang datang mengambil kami berdua. Katanya tok wan tak datang ambil kami tengahari itu sebab dia kemalangan. Dia berlanggar bila dia cuba mengelak satu lopak air di jalan semasa dia tengah menunggang. Itu bukanlah kali pertama tok wan kemalangan. Dia pernah kemalangan lebih daripada 30 kali tapi semuanya tidaklah melibatkan kemalangan yang serius. Mungkin lebih kurang sama situasi dan keadaan dengan kemalangan yang baharu berlaku ini. Buat orang susah hati tok wan ini.

Saya juga masih ingat semasa saya di darjah empat Melur saya pernah dibuli oleh seorang rakan sekelas saya. Rakan sekelas perempuan. Bukan apa mulutnya yang terlampu lancang membuatkan saya kalah untuk berkata-kata lebih.

Saya maklumkan kepada tok wan akan perkara itu. Tok wan beritahu saya jangan risau. Esoknya dia akan ke sekolah. Keesokan hari sebelum waktu rehat semasa kelas saya sedang menunggu pertukaran guru terlihat kelibat tok wan dari jauh. Sedang berjalan dengan tenangnya menuju ke kelas saya. Terus saya rasa bersemangat. Saya pandang rakan sekelas perempuan saya itu, " Tok wan aku mai tu..siaplah hangpa." Sebaik sahaja saya habis cakap berhamburan air mata rakan sekelas saya itu. Teruk juga menangisnya. Kasihan pun ada, rasa kelakar pun ada bila lihat keadaan rakan sekelas itu. Saya keluar jumpa tok wan. Tok wan sebenarnya sahaja singgah di sekolah. Bukannya datang untuk jumpa rakan sekelas saya itu pun. Cuma saya sahaja yang menakut-nakutkannya.

Sejak daripada hari itu rakan sekelas perempuan saya itu tidak lagi membuli saya. Tok wan menyelamatkan saya daripada dibuli oleh seorang perempuan.

Orang tua-tua kalau tidak melepak di kedai kopi memang tidak sah. Saya belajar melepak di kedai kopi dengan tok wan. Hujung minggu awal-awal pagi saya akan ikut tok wan mengayuh basikal ke kedai kesukaan tok wan di tepi gate keretapi di jalan Mata Ayer. Kawasan itu kami panggil Gate. Kedai Ah Tiau juga terletak di Gate.

Makan pagi sambil mendengar orang tua-tua bersembang. Mungkin pendedahan ini yang membuat saya sampai hari ini selesa sahaja berbual dan bersantai bersama orang tua-tua.

Saya belajar makan kerdas, jering dan pucuk betik rebus daripada tok wan. Tok wan akan beli dan membawanya ke rumah kami untuk makan bersama-sama. Sampai ke hari ini kerdas tidak lepas daripada hidangan saya sekiranya ada. Terikut cara pemakanan tok wan.

Tok wan ajar saya erti wang ringgit. Dahulunya setiap kali habis mencabut uban tok wan, saya akan diberikan upah. Walaupun tidak banyak tapi sekurang-kurangnya ada.

Saya juga belajar berniaga dengan tok wan. Dahulunya setiap hari ahad saya akan ikut tok wan berniaga di pasar sehari Mata Ayer. Menjual wangi-wangian attar. Sebut sahaja apa jenis wangian attar yang hendak. Ada setengah wangian yang dibancuh sendiri oleh tok wan. Manakala ada setengah lagi didapatkan terus daripada pemborong di Pulau Pinang.

Saya belajar untuk berinteraksi dengan orang. Belajar untuk tidak malu. Kalau mengikut tok wan berniaga di sini saya memang senang hati kerana tok wan akan menanggung apa sahaja yang saya hendak makan.

Berniaga sebegini tidaklah mengkayakan tok wan pun. Tapi ianya membuatkan tok wan gembira. Boleh berjumpa dan bersembang dengan orang. Tok wan memang kaki sembang. Orang kata sambil menyelam sambil minum air. Daripada tok wan datang melepak sahaja di pasar sehari Mata Ayer eloklah dia berniaga sama alang-alang itu.

Dan yang paling unik tentang tok wan adalah matanya. Mata tok wan hanya ada satu. Sebelahnya lagi terpaksa dibuang kerana masalah kencing manisnya. Jadi hiduplah tok wan dengan sebelah mata sahaja. Matanya yang telah dibuang kemudiannya digantikan dengan mata palsu. Yang boleh dibuka dan disimpan. Tok wan kadang-kala mengusik budak-budak dengan membuka mata palsunya itu. Siapa yang tidak akan takut atau terperanjat melihat tok wan mengeluarkan matanya itu. Kelakar juga tok wan.

Itu semua kenangan-kenangan yang kadang-kala datang menjengah saya. Kenangan saya membesar semasa tok wan masih hidup. Terasa semacam semalam tok wan masih bersama kami. Sekurang-kurangnya bila kenangan ini menggamit memori lama saya dengan tok wan al-fatihah akan saya sedekahkan.

No comments:

Post a Comment