Thursday, November 9, 2017

Entrepreneur

Dalam kesibukan mengendalikan kes-kes seharian ada kalanya saya memperuntukan dan mengisi masa sebagai seorang entrepreneur. 

Tengahari tadi saya ambil sedikit masa selepas berusan dengan rakan saya dengan duduk menikmati secawan kopi sambil berbual perihal menghasilkan teh kombucha tea dengan abang pemilik cafe yang juga seorang pemilik firma guaman. Menimba ilmu perniagaan.

Pada petangnya pula ada seorang anak muda yang datang mendapatkan nasihat undang-undang di pejabat. Saya kira perbincangan berkenaan dengan undang-undang hanya mengambil masa selama setengah jam sahaja. Manakala hampir sejam lebih perbualan adalah berkisar berkenaan dengan perniagaan. Sharing knowledge. Anak muda yang menjalankan perniagaan membekalkan pasir kucing keluaran sendiri. Menarik.

Wednesday, September 13, 2017

Kasih Seorang Ibu

Sedang memandu untuk ke mahkamah saya menerima satu panggilan telefon. Panggilan daripada ibu seorang anak guam yang mana kesnya sedang diperingkat rayuan di mahkamah tinggi.

Kali terakhir saya bercakap di telefon dengan ibunya ini kalau tidak salah perkiraan saya adalah beberapa bulan lepas. Memaklumkan berkenaan dengan perkembangan kes anaknya itu.

Suaranya dalam talian kedengaran agak perlahan dan lemah. Tidak seperti kebiasaannya. Dia sekadar mahu bertanya berkenaan kes anaknya itu. Memandangkan saya baharu sahaja menerima alasan penghakiman oleh hakim sesyen maka saya perlu menyediakan petisyen rayuan. Maklum saya kepadanya. Oleh yang demikian tarikh untuk anaknya hadir ke mahkamah untuk kes rayuan ini belum ditetapkan lagi. Yang mana anaknya sekarang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Thursday, September 7, 2017

Jurubahasa Spanish

Memandangkan terdapat pertuduhan pindaan yang terbaharu maka mahkamah mengarahkan pertuduhan tersebut dibacakan kembali kepada tertuduh-tuduh. Dibacakan dalam bahasa Spanish. Seorang jurubahasa Spanish yang dilantik khas oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia kemudiannya membacakan dan menerangkan pertuduhan tersebut dalam bahasa Spanish.

Tiba-tiba daripada kejauhan daripada bangkunya duduknya Yang Arif Hakim bertanya dan meminta passport jurubahasa Spanish tadi untuk pengesahan.

Monday, September 4, 2017

Cerita Awal Pagi

Disebabkan dari Simpang Pulai - Gopeng - Tapah memang jem rabak jadinya saya ambil keputusan ikut jalan dalam semalam.

Tapi dalam perjalanan daripada Gopeng ke Tapah bila tiba di satu kawasan tu tengah seronok melayan radio Era tiba-tiba saluran radio bertukar-tukar. Sekejap ke saluran radio berbahasa Mandarin dan akhirnya ke saluran klasik. Saya buat tak kisah saja. Mungkin radio kereta auto detect saluran radio. Apa yang nak hairan sangat.

Tapi bila fikir balik sepanjang saya memiliki dan memandu kereta tu sebelum ini tak pernah pula saluran radio saya sebegitu rupa. Itulah kali pertama. Pelik juga bila diingat balik ni. Apa pasal oit?

Monday, August 28, 2017

Belacan Tanjung Paoh

Selepas memaklumkan kehadiran saya kepada jurubahasa kepada Yang Arif Hakim yang berada di mejanya saya terus beredar kembali ke belakang galeri awam. Mencari kelibat isteri dan keluarga kepada anak guam saya yang ditahan dan dituduh dibawah SOSMA ini.

Ruangan galeri awam masih lengang dan hanya ada beberapa kelibat ahli keluarga tertuduh yang lain yang telah hadir. Lagi pun jam masih awal lagi dan kebiasaannya sekitar jam menghampiri pukul sembilan pagi baharulah ruangan bilik mahkamah akan dipenuhi oleh peguambela, anak guam mereka dan juga mereka lain yang berkenaan.

Saya lantas keluar daripada bilik bicara dan meninjau-meninjau sekiranya isteri anak guam saya itu berada di luar. Tekaan saya tidak meleset kerana saya ternampak dia dan dua orang anaknya sedang duduk di bangku kayu di luar di satu sudut berhampiran tingkap. 

Friday, August 25, 2017

Bantahan Awal

Pagi ini telah ditetapkan untuk perbicaraan bagi kes salah seorang anak guam saya yang telah dituduh dibawah akta SOSMA bersama dengan beberapa tertuduh yang lain. Namun sebelum perbicaraan pihak pendakwaan telah mengemukakan pertuduhan pindaan keatas anak guam saya dan juga tertuduh-tertuduh lain. Rasanya ini pindaan yang kedua yang telah dibuat oleh pihak pendakwaan.

Memandangkan terdapat pindaan yang terbaharu maka pihak peguambela memohon untuk satu Preliminary Objection dikemukakan kepada mahkamah.

Tetapi Yang Arif kemudiannya memaklumkan kepada pihak-pihak. Seandainya perkara yang dibangkit adalah melibatkan dan berkait dengan artikel-artikel Perlembagaan Persekutuan maka kes ini terpaksa dirujuk kepada Yang Arif Hakim lain yang ditugaskan mendengar isu-isu perlembagaan. Yang mana pada hari ini juga di mahkamah tinggi yang lain di sini permohonan bantahan awal selingkar isu-isu perlembagaan dibangkit oleh para peguambela yang mengendalikan kes SOSMA yang lain itu.

Wednesday, August 16, 2017

Dalam Mahkamah Itu

Di dalam sesebuah mahkamah pelbagai cerita dan ragam manusia yang saya kutip dan dijadikan sebagai teras dalam penulisan-penulisan saya.

Contohnya pada pagi ini seperti mana kebiasaanya saya ada satu pendengaran Motion dihadapan Yang Arif Hakim.


KES SATU

Sebelum kes saya dipanggil jurubahasa telah memanggil satu kes yang lain. Kes rayuan oleh pihak Pendakwaraya yang tidak berpuas hati dengan denda yang telah diberikan oleh Majistret terhadap Tertuduh. Kes dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya.

"Saya merasakan hukuman denda yang diberikan oleh Majistret sebelum ini ke atas awak adalah tidak setimpal dengan kesalahan awak. Ini kerana dadah yang diambil oleh awak adalah dadah jenis Meth. Bukannya dadah jenis cannabis. Bukannya di consider sebagai soft drug."

Cannabis adalah soft drug. Itu adalah dapatan yang penting dalam obiter dicta yang Yang Arif Hakim.

Thursday, July 27, 2017

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 2

Bahagian 2 - Adakah Jawatankuasa Fatwa Johor Ada Mengeluarkan Fatwa berkenaan dengan Anak Tidak Sah Taraf?

Dalam dapatan Mahkamah Rayuan tidak terdapat apa-apa bukti bahawa Jawatankuasa Fatwa Johor yang ditubuhkan mengikut Fasal 46(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyediakan atau mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan dengan isu anak tidak saf taraf ini. Fasal 47 menyatakan seperti berikut:

Fasal 47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa.
“Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 1

Dalam kes ini beberapa isu-isu penting telah dibangkitkan oleh pihak perayu dan juga responden.

Memandangkan sebab musabab kepada penolakan oleh JPN terhadap permohonan nama si bapa untuk dibinkan kepada anaknya itu adalah melalui rujukan kepada Fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan maka saya akan mengambil intipati alasan penghakiman berkenaan isu ini sahaja. Yang mana saya kira isu ini agak menimbulkan perasaan kurang senang kepada masyarakat luar sana.

Kita tolak ketepi dahulu isu dan dapatan berkenaan dengan fatwa tidak mengikat JPN itu dan sebagainya. Kita fokuskan kepada isu berkenaan dengan fatwa yang menjadi rujukan oleh pihak JPN tersebut sepertimana yang dibincangkan dalam alasan penghakiman. Saya percaya isu tersebut banyak dikupas dan diterangkan. Saya lebih berminat untuk mengupasan berkenaan bahagian ini sahaja memandangkan saya percaya ianya tidak banyak dikupaskan dan dibincangkan.

Monday, July 17, 2017

Gambar Bogel

"Ni dokumen-dokumen pihak Pendakwaan," kata Timbalan Pendakwaraya sambil menghulurkan helaian-helaian kertas yang disusun elok.

"Tapi ada satu lagi dokumen yang saya belum serah. Masukkan representasi dulu. Kalau representasi ditolak baru saya akan bagi untuk bicara," sambung beliau.

"Dokumen apa?" tanya saya sambil mengisi dokumen penerimaan.

"Gambar bogel pengadu."

Perlahan-lahan saya tarik hingus yang cuba meleleh keluar daripada hidung saya. Terasa pekat pula hingus pagi ini yang sejak kelmarin bersarang di hidung saya.

Thursday, July 6, 2017

Jumpa Di Pejabat

Ada seorang anak guam menelefon saya dan memaklumkan bahawa dia ada mempunyai permasalahan undang-undang. Seperti biasa saya akan mengesyorkan untuk dibuat satu temu janji di pejabat saja. Lebih teratur dan senang untuk sebarang konsultasi undang-undang. Apatah lagi jika ianya melibatkan dokumen-dokumen penting.

Cumanya anak guam ini agak serba salah untuk datang ke pejabat saya. Rupanya setelah beberapa ketika di talian baharulah dia maklumkan bahawa dia baharu sahaja dimarahi oleh seorang peguam yang dijumpainya. Membuang masa peguam tersebut katanya sedangkan ianya boleh sahaja dibincangkan melalui perbualan telefon.

Setiap orang tidak sama. Saya lebih suka membincangkan masalah anak guam di pejabat kecil saya itu daripada di mana-mana kedai minum mahu pun di luar. Lebih memudahkan anak guam untuk bercerita dengan lebih telus dan dalam. Lagi terjaga kemaslahatan anak guam.

Wednesday, June 21, 2017

Pelita Panjut Abang

"Malam ni jom kita pasang pelita di kawasan rumah. Nampak meriah sikit," laungnya penuh bersemangat kepada adiknya yang baharu sahaja duduk tidak jauh daripada tempat dia sedang bersila itu. Adiknya itu baru balik daripada surau menunaikan solat Asar.

Hatinya berbunga-bunga untuk memasang pelita-pelita panjut di kawasan rumah orang tuanya pada tahun ini. Bukan apa semasa sedang memandu pulang ke kampung halamannya semalam di sepanjang jalan dia terlihat banyak rumah-rumah kampung memasang pelita panjut di halaman rumah masing-masing. Membangkitkan satu suasana kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang sehari dua lagi. Suasana yang sebegitu yang jarang-jarang dapat dilihat lagi kebelakangan ini.

Dewasa ini dia perhatikan kemeriahan untuk menyambut 1 Syawal itu lebih terlihat di pusat-pusat membeli-belah atau pun di bazar-bazar jualan raya. Sebab itulah pada malam-malam akhir Ramadhan dan malam sebelumnya Aidilfitri orang ramai galak ke bazar-bazar tersebut. Bersesak-sesak dalam suasana yang hiruk pikul dengan jeritan si penjual untuk melicinkan stok barangan yang masih ada. Keterujaan menyambut Syawal ada di situ. Kadang-kala yang datang pun bukannya ada apa hendak dibeli tetapi sahaja hendak berkongsi suasana itu. 

Thursday, June 8, 2017

Berpuasa

Sebelum perbicaraan pagi semalam anak guam non-muslim saya sempat bertanya samada saya berpuasa atau tidak.

Berpuasa. Jawab saya. Saya menambah bahawa saya lebih suka dan selesa menjalankan perbicaraan dalam keadaan berpuasa. Fikiran saya lebih jelas, fokus dan tenang.

Monday, May 29, 2017

Puasa Sahak

Macam kebiasaanya, hari hujung minggu memang Sahak akan bangkit lewat daripada kebiasaannya. Bagi Sahak adalah menjadi satu kerugian kalau malam-malam di mana keesokan hari adalah harinya bercuti untuk dibiarkan kosong, berlalu sebegitu sahaja. Cukuplah dalam masa lima hari bekerja itu Sahak perlu untuk masuk tidur awal kerana dia juga perlu untuk bangun di awal pagi. Di mana insan-insan lain masih enak dibuai mimpi dan melayan dengkuran, Sahak terpaksa bersiap untuk memulakan pekerjaannya. Begitulah rutinnya sejak beberapa tahun ini sebagai seorang pengusaha kantin sekolah. 

Sempat juga Sahak menghabiskan beberapa dvd cerita Hindustan yang dia singgah beli di pasar malam kelmarin. Biarlah orang kata rugi dia selalu membeli dvd di pasar malam sedangkan kebanyakan cerita-cerita dan filem-filem boleh dimuat turun di internet sahaja sekarang ini. Bagi Sahak biarlah dia membeli dvd pun, bukannya dia tahu dan pandai hendak menghadap komputer segala bagai itu. Sedangkan komputer pun dia tak ada. 

Kalau dvd ini, balik ke rumah sahaja boleh terus dipasang untuk ditengok di televisyen yang dia menang hadiah cabutan bertuah dahulu itu. Kalau gamaknya dvd itu dia tidak berpuas hati dia boleh sahaja menukarnya dengan budak penjual dvd di pasar malam itu. Budak penjual dvd itu pun sudah mengenali kelibatnya. Senang berurusan.

Saturday, May 27, 2017

Penangan Fidget Spinner

Ketika bergegas menuju ke bilik bicara, saya terserempak dengan beberapa anggota polis. Kelibat anggota polis di mahkamah adalah perkara biasa. Tidak ada apa yang peliknya dan menarik perhatian saya pun. Tetapi ketika menghampiri mereka saya terlihat salah seorang daripada mereka memegang sesuatu di jarinya. Satu objek yang berkelip-kelip dan memantul cahaya. Terus membuatkan langkah saya terhenti seketika.

Fidget spinner. Itulah objek yang sedang berada di jari salah seorang anggota polis muda berpangkat sarjan itu.

Tuesday, May 9, 2017

Berubat

Sebaik  sampai ke dalam mahkamah saya terus berjumpa dengan Timbalan Pendakwaraya yang mengendalikan kes pada hari ini. Dimaklumkan bahawa representasi yang telah dibuat oleh pihak kami telah diterima. Oleh yang demikian rayuan terhadap hukuman bon kelakuan baik yang sebelum ini diberikan oleh Hakim Sesyen akan ditarik balik.

Semasa mahkamah bersidang Timbalan Pendakwaraya telah memaklum berkenaan dengan perkara tersebut kepada Yang Arif Hakim. Atas alasan tersebut rayuan pun dibatalkan dan anak guam saya diarahkan keluar daripada kandang. Namun sebelum beredar Yang Arif Hakim menyuruh anak guam saya berdiri di luar kandang untuk beliau berkata sepatah dua.

Thursday, May 4, 2017

Hantu Kacau

Sambil saya dan anak guam berbangsa Cina menunggu untuk berjumpa dengan Pendakwaraya bagi mengambil pasport kepunyaan pekerja anak guam saya, kami duduk bersidai di deretan bangku di hadapan mahkamah. Bersembang-sembang kosong.

Tiba-tiba dia bertanya kepada saya soalan berkisar tentang perjanjian sewa antara dia dan pemilik rumah sewanya. Nampak agak serius pertanyaannya itu.

Dia hendak 'terminate' perjanjian sewa tersebut dan meminta pendapat bagaimana cara yang sepatutnya dia lakukan.

Saya tanya kenapa dia tidak mahu meneruskan sewa di rumah tersebutkan sedangkan ianya berdekatan dengan tempat perniagaannya.

"Semua ok duduk situ bos. Tapi satu saja saya tak ada tahan. Itu hantu suka kacau sangat. Malam-malam selalu bising main tangga."

Memang besar masalah dia. Tapi lagi besar masalah kalau peguam nak bagi alasan untuk 'terminate' penjanjian sewaan tersebut. Takkan nak tulis dalam surat sebab hantu selalu kacau?


Friday, April 21, 2017

Kita Semua Sama Sahaja

"Encik..saya ni kerja kutip sampah saja, sampah-sampah opis ni yang dekat bawah saya yang kutip hari-hari," beritahu seorang anakguam saya semalam semasa dia datang berjumpa di pejabat.

Saya katakan kepada dia yang semua itu tidak penting pada saya. Saya tidak membandingkan siapa anakguam saya. Sesiapa sahaja yang mendapatkan khidmat guaman saja sama rata sahaja layanannya. Di mata undang-undang juga setiap manusia itu sama.

Equality to all.

Thursday, April 6, 2017

Cakap-Cakap Parlimen

Selain cakap-cakap rogol-kahwin di Parlimen sehari dua ni elok juga kita meneliti atau mengambil tahu berkenaan dengan pindaan pada Kanun Keseksaan yang telah pun diluluskan. Pindaan yang melibatkan kepada kesalahan-kesalahan jenayah seksual. Antaranya berkenaan dengan Seksyen 326A yang mana pada sebelum ini Seksyen ini hanya terpakai untuk kesalahan melibatkan perbuatan mencederakan pasangan semasa dalam ikatan perkahwinan yang sah.

Namun pindaan yang terbaharu ini saya kira lebih meluaskan skop penglibatan seseorang mangsa itu. Jika sebelum ini mangsanya harus seorang pasangan bagi pelaku dalam tempoh perkahwinannya itu yang sahaja namun kini kesalahan ini turut meliputi kepada mencederakan ‘spouse’ atau ‘former spouse’, 'child', 'incapacitated adult' (sepertimana dalam definasi dalam Domestic Violence Act 1994) dan lain-lain ahli keluarga.

Monday, April 3, 2017

Dedikasi

Lawyer punya dedikasi pada kes-kes yang depa kendalikan jangan dibuat main oi. Contohnya macam kawan saya yang seorang tadi. Bila nampak dia baharu sahaja keluar daripada kereta baharu dia tadi saya pun terus tegur.

"Wah! New car brader.."

Dia mengangguk sambil tersengih. Katanya kereta yang diguna pakai sebelum ini telah mula buat perangai. Maka terpaksa mencari kereta baharu untuk kegunaan sehariannya. Dia lalu menunjuk nombor kereta baharunya itu. Kereta yang bernombor - DDA xxxx.

DDA - Dangerous Drugs Act katanya.

Saturday, April 1, 2017

Ikan Kembung

Sambil menghulur bakul berisi ikan kembung sempat saya berkata kepada abang penjual ikan tersebut. "Boleh tahan jugak harga ikan kembung ya.."

Dia mengangguk sambil menyambut bakul tersebut. "Semalam lagi mahal sikit," katanya sambil melambakkan ikan-ikan kembung yang telah saya pilih ke atas penimbang.

Ikan kembung dalam kehidupan saya agak sebati kerana saya membesar dengan ikan kembung goreng ibu saya. Ikan kembung goreng yang disajikan oleh ibu sahaja setiap kali saya pulang daripada sekolah. Ikan kembung yang kadang kala dibuat masak sambal, gulai, jeruk mahupun asam pedas. Ikan kembung yang mengajar betapa sakitnya jika tertelan cebisan tulang-tulangnya itu. Ikan yang sinonim dengan orang-orang kampung seperti saya.

Tetapi hari ini bila melihat kepada harganya yang berganda daripada harga bahan mentah lain seperti ayam membuatkan saya termenung. Ikan kembung bukan lagi ikan untuk golongan marhen.
Bak kata orang kampung saya, "La ni jenuh termenung dulu sebelum beli ikan termenung"

P/s : Orang utara panggil ikan kembung dengan nama ikan temenung. 


Siti Noor Aishah, SOSMA & POCA

Dato’ Hj. Mohamad Shariff Bin Hj. Abu Samah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah TInggi Jenayah 4 pada tanggal 29 September 2016 telah membebaskan Siti Noor Aishah daripada sabitan dibawah Seksyen 130JB(1)(a). Pesuruhjaya Kehakiman Yang Bijaksana dalam keputusannya mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie yang melampau keraguan yang munasabah pada pertuduhan ke atas Siti Noor Aishah itu. Oleh sebab itu beliau telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Selepas daripada itu Pendakwaraya kemudiannya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Yang mana selepas pendengaran rayuan kes ini di Putrajaya, Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh tiga panel Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah mendapati bahawa rayuan Pendakwaraya ini mempunyai merit dan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa satu kes prima facie telah pun dibuktikan di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Memandangkan telah wujudnya kes prima facie maka Tertuduh perlu membela dirinya. Oleh yang demikian maka kes ini telah dibawa semula untuk Siti Noor Aishah selaku Tertuduh membela dirinya di peringkat perbicaraan pembelaan.

Wednesday, March 22, 2017

Definisi Orang Melayu

Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan bahawa ‘Orang Melayu’ itu adalah seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu; dan

i) mereka yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura; atau

ii) mereka yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura; atau

iii) mereka yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau

iv) zuriat seseorang yang mana demikian (para i,ii, iii).

Saya percaya ini adalah perkara pokok yang  menjadi dasar yang perlu difahami oleh setiap sosok yang ingin mengakui bahawa dia itu adalah Orang Melayu. Tidak dapat tidak. Jadi Orang Melayu kah anda?

P/S:
Kamus Dewan mengtakrifkan maksud menganut sebagai mengikut sesuatu ajaran, fahaman dsb; memeluk (agama): ~ agama Islam.

Wednesday, March 15, 2017

Kesalahan Membunuh?

Saya ada menerima pertanyaan daripada kenalan berkenaan dengan kes kemalangan maut berlaku semalam. Dek kerana tindakan seorang pemandu remaja wanita memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Pulau Pinang telah merangut nyawa seorang yang dikhabarkan bakal bergelar bapa itu.

Apa yang saya boleh simpulkan secara ringkasnya daripada sudut perundangan adalah bagi kes kemalangan maut sebegini siasatan akan dibuka dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. Yang mana peruntukan hukuman jika disabitkan dengan kesalahan adalah penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit Malaysia dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit Malaysia.

Monday, March 13, 2017

Sense of Humor

Pagi tadi sambil berjalan menuju ke lif saya terserempak dengan anak guam saya. Membawa bersama anak lelakinya. Sambil kami menunggu lif berhenti saya berbual-bual dengan mereka.

"Darjah berapa?" tanya saya sambil menepuk lembut bahunya.

"Darjah dua," jawab anak guam saya serentak dengan anak lelakinya itu.

"Dah sunat?" tanya saya sambil merenung tepat ke arah budak lelaki tersebut.

Siapa kata peguam jenayah tak ada sense of humor?


Tuesday, February 28, 2017

Barang Siapa

Sebaik pertuduhan dibacakan terhadap ketiga-tiga tertuduh tersebut mereka mengangguk faham dan membuat pengakuan salah.

Selesai sahaja mahkamah bersidang saya menghampiri mereka.

"Sapa punya dadah tu?" tanya saya.
"Saya yang punya barang," jawab salah seorang daripada mereka.

"Habis tu yang korang dua mengaku pasaipa?" sambung saya sambil berlalu pergi.

Monday, February 27, 2017

Rintik Hujan Pagi

Dalam keadaan hujan yang renyai-renyai saya berlari anak menuju ke kawasan berbumbung yang menghubungkan kompleks mahkamah. Hari ini telah ditetapkan oleh pendaftar mahkamah tinggi untuk semua pihak memasukkan hujahan bertulis masing-masing. Hujahan bertulis yang membuatkan saya berjaga daripada pukul 2 pagi tadi. 

Sampai ke dalam bilik mahkamah saya terus menuju ke meja paling hadapan. Menghadap Puan Pendaftar yang sedang membelek-belek fail yang bersusun di hadapannya itu.

Saya terus memaklumkan nombor kes saya sebaik sahaja dia menyedari saya berada di hadapannya. 

Wednesday, February 22, 2017

Cikgu Oh Cikgu

Sedang saya membetulkan duduk sambil membelek-belek fail di dalam bilik pejabat, satu panggilan masuk ke telefon saya.

Panggilan daripada Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Memaklumkan kepada saya berkenaan dengan satu saman sivil terhadap salah seorang anak guam yang merupakan seorang pendidik. Memandangkan kerajaan negeri turut terbabit sebagai defendan maka anak guam tidak akan diwakili oleh mereka.

Monday, February 13, 2017

Arah Kiblat

Kebiasaannya kalau bersolat di musolla di shopping complex atau mana-mana saya kadang-kala terlepas pandang penanda arah sudut kiblat yang lazim diletakkan atau dilekatkan di situ.

Kerana apa? Lazimnya juga akan ada sejadah-sejadah yang telah dibentangkan mengikut turutan imam dan makmum. Jadinya saya akan terus sahaja bersolat mengikut arah sejadah yang telah dibentang itu.

Terima kasih kepada brader yang tolong menyusun dan membetulkan arah kiblat di musolla tempoh hari tatkala saya sendiri dan orang lain yang datang singgah bersolat tidak langsung mengambil enteng akan perkara yang sangat basic itu. Redah solat macam tu saja.

Tuesday, February 7, 2017

Stress

"Pasaipa abang tetak tangan perempuan tu? Kenal ke dia?" tanya saya kepada anak guam melalui corong telefon.

"Saya pun tak tau sebab apa. Tak kenal pun dia. Saya tak sedar pun yang saya tetak dia. Tapi hari tu saya memang rasa tertekan, stress sangat."

Jawapan anak guam saya itu membuatkan saya pun hairan. Apatah lagi mangsa yang turut berada di hadapan saya itu.

Friday, February 3, 2017

Hujahan

Antara hujahan terpenting yang saya guna pakai semasa perbicaraan kes rayuan saya tadi adalah berkenaan dengan keputusan kes rayuan oleh pihak Pendakwaraya dalam kes rayuan PP v Muhammad Kasyfullah Bin Kassim [2016] yang diputuskan pada 4 Oktober 2016 oleh Mahkamah Rayuan Yang Mulia.

Perbandingan adalah berkenaan dengan ‘degree of the offence’ itu sendiri beserta dengan latar belakang Tertuduh-Tertuduh. Yang mana anak guam saya tidak langsung pernah ke Syria atau pun bernaung dibawah kumpulan IS (Islamic State) berbanding dalam kes Muhammad Kasyfullah yang mana Mahkamah sendiri mengatakan bahawa beliau adalah seorang adalah bekas IS ‘fighter and combatant’.

Friday, January 20, 2017

Bulu-bulu Halus

Masuk ke dalam mahkamah, saya terlihat seorang pegawai polis yang juga merupakan seorang SIO sedang duduk di galeri awam. Salah seorang SIO yang friendly tetapi terkenal dengan ketegasannya. Orang lama dalam PDRM.

"Ada bicara ke?" tanya saya sambil menghulur tangan untuk bersalam.

"Ya. Ada bicara," jawapnya sambil tersenyum.

Thursday, January 19, 2017

Mahkamah Tentera


Usai perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi saya bergegas ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur untuk satu perbicaraan di Mahkamah Tentera. Sekali-sekala berubah angin orang kata.

Dengan berlapikkan dua keping roti dan dos kaffein daripada secawan nescafe o panas yang saya hirup pagi tadi di kantin mahkamah saya teruskan  urusan perbicaraan di sini sehingga lewat petang. Sambil ditemani rintik-rintik hujan di luar bangunan yang tersergam di atas bukit di hujung pengkalan ini.

Tuesday, January 3, 2017

Selamat Tinggal 2016

Selamat tinggal 2016.

Terima kasih untuk segala jerit perih, suka duka, penat lelah dan pengalaman yang melahirkan kematangan. Semoga kedatangan tahun baharu ini menjadi pemangkin semangat dan keazaman dalam melaksanakan apa jua matlamat dan cita-cita kita. Semoga dipermudahkan. Inshallah.

Selamat datang 2017.