Wednesday, March 15, 2017

Kesalahan Membunuh?

Saya ada menerima pertanyaan daripada kenalan berkenaan dengan kes kemalangan maut berlaku semalam. Dek kerana tindakan seorang pemandu remaja wanita memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Pulau Pinang telah merangut nyawa seorang yang dikhabarkan bakal bergelar bapa itu.

Apa yang saya boleh simpulkan secara ringkasnya daripada sudut perundangan adalah bagi kes kemalangan maut sebegini siasatan akan dibuka dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. Yang mana peruntukan hukuman jika disabitkan dengan kesalahan adalah penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit Malaysia dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit Malaysia.

Namun kebiasaannya juga bagi kes sebegini pertuduhan dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 ini juga boleh dipinda kepada pertuduhan dibawah Seksyen 43(1) APJ 187 yang mana peruntukan adalah lebih ringan bergantung kepada rayuan representasi yang dibuat oleh pihak peguam kepada pihak Timbalan Pendakwaraya. Ini adalah amalan yang saya sendiri lakukan bagi kes-kes yang melibatkan pertuduhan sebegini. Mungkin dapat dipinda atau pun mungkin tidak. Semuanya atas penilaian pihak Timbalan Pendakwaraya.

Ada juga pandangan dan pendapat yang mengatakan bahawa tindakan pemandu remaja tersebut boleh terjatuh dibawah kesalahan membunuh. Walau bagaimana pun saya berpendapat bahawa Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak boleh melangkaui atau melewati Seksyen 41(1) APJ 1987 ini. Ini adalah kerana kematian yang berlaku adalah akibat pemanduan remaja wanita tersebut. Yang mana Seksyen 41(1) APJ 1987 secara terangan menyebut kesalahan pemanduan sehingga menyebabkan kematian.

Berbalik kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula, tindakan (‘act’) yang dilakukan oleh pemandu remaja tersebut iaitu ‘memandu’ bukanlah satu ‘factum of the offence’ yang boleh menjurus kepada elemen pertuduhan pada Seksyen 302 itu. Juga elemen pengetahuan juga perlu ada untuk memenuhi keperluan pada Seksyen 302. Jadi ditambah dengan keadaan pemandu remaja wanita tersebut dikatakan dalam pengaruh dadah jenis Meth sudah semestinya elemen pengetahuan itu jauh sekali ada bukan?

Sekadar pendapat sahaja berdasarkan pengalaman undang-undang saya yang tidak seberapa ini.

Adil atau tidak adil sesuatu hukum atau pertuduhan itu bukanlah pada kudrat saya.

Wallahu’alam.

P/s: Stand to be corrected.

No comments:

Post a Comment