Wednesday, June 21, 2017

Pelita Panjut Abang

"Malam ni jom kita pasang pelita di kawasan rumah. Nampak meriah sikit," laungnya penuh bersemangat kepada adiknya yang baharu sahaja duduk tidak jauh daripada tempat dia sedang bersila itu. Adiknya itu baru balik daripada surau menunaikan solat Asar.

Hatinya berbunga-bunga untuk memasang pelita-pelita panjut di kawasan rumah orang tuanya pada tahun ini. Bukan apa semasa sedang memandu pulang ke kampung halamannya semalam di sepanjang jalan dia terlihat banyak rumah-rumah kampung memasang pelita panjut di halaman rumah masing-masing. Membangkitkan satu suasana kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang sehari dua lagi. Suasana yang sebegitu yang jarang-jarang dapat dilihat lagi kebelakangan ini.

Dewasa ini dia perhatikan kemeriahan untuk menyambut 1 Syawal itu lebih terlihat di pusat-pusat membeli-belah atau pun di bazar-bazar jualan raya. Sebab itulah pada malam-malam akhir Ramadhan dan malam sebelumnya Aidilfitri orang ramai galak ke bazar-bazar tersebut. Bersesak-sesak dalam suasana yang hiruk pikul dengan jeritan si penjual untuk melicinkan stok barangan yang masih ada. Keterujaan menyambut Syawal ada di situ. Kadang-kala yang datang pun bukannya ada apa hendak dibeli tetapi sahaja hendak berkongsi suasana itu. 

Thursday, June 8, 2017

Berpuasa

Sebelum perbicaraan pagi semalam anak guam non-muslim saya sempat bertanya samada saya berpuasa atau tidak.

Berpuasa. Jawab saya. Saya menambah bahawa saya lebih suka dan selesa menjalankan perbicaraan dalam keadaan berpuasa. Fikiran saya lebih jelas, fokus dan tenang.