Monday, October 1, 2018

Ibu Muda

Saya tiba di mahkamah Sesyen untuk mewakili anak guam saya yang akan dipertuduhkan dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak. Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa anak guam saya baharu sahaja berumur 18 tahun. 

Masih muda lagi pada perkiraan saya. Namun yang saya tidak tahu bahawa selain daripada anak guam saya terdapat seorang lagi individu yang turut dituduh bersama-sama dengan anak guam saya ini. Iaitu ibu kepada mangsa kanak-kanak tersebut. Baharu menginjak usia 17 tahun. 

Dan saya dimaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak tidak sah taraf ibu muda tersebut. Saya kira sesiapa sahaja yang mendengar berkenaan kes ini akan berasa marah. Manakan tidak mangsa kanak-kanak tersebut meninggal dunia kerana dikatakan didera oleh ibunya ini. 

Namun tatkala mahkamah dan juga saya sendiri melihat kelibat anak guam saya dan ibu kanak-kanak tersebut perasaan saya bercampur baur. Antara marah dan sedih. Sedih mengenangkan nasib ibu muda tersebut yang nampak naif sekali. Pada usia begitu dia hamil anak luar nikah dan telah dibuang keluarga. Ditinggalkan terkontang-kanting oleh bekas kekasihnya yang khabarnya seorang lelaki yang sudah berkeluarga. 

Celakalah lelaki-lelaki sebegini di luar sana.