Friday, April 21, 2017

Kita Semua Sama Sahaja

"Encik..saya ni kerja kutip sampah saja, sampah-sampah opis ni yang dekat bawah saya yang kutip hari-hari," beritahu seorang anakguam saya semalam semasa dia datang berjumpa di pejabat.

Saya katakan kepada dia yang semua itu tidak penting pada saya. Saya tidak membandingkan siapa anakguam saya. Sesiapa sahaja yang mendapatkan khidmat guaman saja sama rata sahaja layanannya. Di mata undang-undang juga setiap manusia itu sama.

Equality to all.

Thursday, April 6, 2017

Cakap-Cakap Parlimen

Selain cakap-cakap rogol-kahwin di Parlimen sehari dua ni elok juga kita meneliti atau mengambil tahu berkenaan dengan pindaan pada Kanun Keseksaan yang telah pun diluluskan. Pindaan yang melibatkan kepada kesalahan-kesalahan jenayah seksual. Antaranya berkenaan dengan Seksyen 326A yang mana pada sebelum ini Seksyen ini hanya terpakai untuk kesalahan melibatkan perbuatan mencederakan pasangan semasa dalam ikatan perkahwinan yang sah.

Namun pindaan yang terbaharu ini saya kira lebih meluaskan skop penglibatan seseorang mangsa itu. Jika sebelum ini mangsanya harus seorang pasangan bagi pelaku dalam tempoh perkahwinannya itu yang sahaja namun kini kesalahan ini turut meliputi kepada mencederakan ‘spouse’ atau ‘former spouse’, 'child', 'incapacitated adult' (sepertimana dalam definasi dalam Domestic Violence Act 1994) dan lain-lain ahli keluarga.

Monday, April 3, 2017

Dedikasi

Lawyer punya dedikasi pada kes-kes yang depa kendalikan jangan dibuat main oi. Contohnya macam kawan saya yang seorang tadi. Bila nampak dia baharu sahaja keluar daripada kereta baharu dia tadi saya pun terus tegur.

"Wah! New car brader.."

Dia mengangguk sambil tersengih. Katanya kereta yang diguna pakai sebelum ini telah mula buat perangai. Maka terpaksa mencari kereta baharu untuk kegunaan sehariannya. Dia lalu menunjuk nombor kereta baharunya itu. Kereta yang bernombor - DDA xxxx.

DDA - Dangerous Drugs Act katanya.

Saturday, April 1, 2017

Ikan Kembung

Sambil menghulur bakul berisi ikan kembung sempat saya berkata kepada abang penjual ikan tersebut. "Boleh tahan jugak harga ikan kembung ya.."

Dia mengangguk sambil menyambut bakul tersebut. "Semalam lagi mahal sikit," katanya sambil melambakkan ikan-ikan kembung yang telah saya pilih ke atas penimbang.

Ikan kembung dalam kehidupan saya agak sebati kerana saya membesar dengan ikan kembung goreng ibu saya. Ikan kembung goreng yang disajikan oleh ibu sahaja setiap kali saya pulang daripada sekolah. Ikan kembung yang kadang kala dibuat masak sambal, gulai, jeruk mahupun asam pedas. Ikan kembung yang mengajar betapa sakitnya jika tertelan cebisan tulang-tulangnya itu. Ikan yang sinonim dengan orang-orang kampung seperti saya.

Tetapi hari ini bila melihat kepada harganya yang berganda daripada harga bahan mentah lain seperti ayam membuatkan saya termenung. Ikan kembung bukan lagi ikan untuk golongan marhen.
Bak kata orang kampung saya, "La ni jenuh termenung dulu sebelum beli ikan termenung"

P/s : Orang utara panggil ikan kembung dengan nama ikan temenung. 


Siti Noor Aishah, SOSMA & POCA

Dato’ Hj. Mohamad Shariff Bin Hj. Abu Samah, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah TInggi Jenayah 4 pada tanggal 29 September 2016 telah membebaskan Siti Noor Aishah daripada sabitan dibawah Seksyen 130JB(1)(a). Pesuruhjaya Kehakiman Yang Bijaksana dalam keputusannya mendapati bahawa pihak Pendakwaan telah gagal untuk membuktikan satu kes prima facie yang melampau keraguan yang munasabah pada pertuduhan ke atas Siti Noor Aishah itu. Oleh sebab itu beliau telah dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Selepas daripada itu Pendakwaraya kemudiannya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya. Yang mana selepas pendengaran rayuan kes ini di Putrajaya, Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh tiga panel Yang Arif Hakim Yang Bijaksana telah mendapati bahawa rayuan Pendakwaraya ini mempunyai merit dan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa satu kes prima facie telah pun dibuktikan di peringkat perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. Memandangkan telah wujudnya kes prima facie maka Tertuduh perlu membela dirinya. Oleh yang demikian maka kes ini telah dibawa semula untuk Siti Noor Aishah selaku Tertuduh membela dirinya di peringkat perbicaraan pembelaan.