Monday, August 29, 2016

Menangis

Sebaik sahaja sampai di halaman rumah batu yang separuh usang itu saya melihat Paksu, adik bongsu ibu saya sedang berlegar-legar di luar rumah. Membersih secara bersambil kawasan berhampiran pondok kecil yang terletak bersebelahan dengan rumah.

Saya lalu masuk bersama isteri dan anak-anak saya. Bersalaman dengan seisi ahli keluarga yang berada di dalam rumah. Kemudian saya kembali ke luar. Duduk di bangku luar sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang mengibas dedaun pokok yang merimbun melewati kawasan rumah itu. Lebih santai apatah lagi baharu beberapa ketika yang lepas saya mengisi perut dengan beberapa keping capati di sebuah kedai capati di tepi jalan besar di Jalan Beseri.

Wednesday, August 24, 2016

Yakin

"Dekat situ boleh rebate dak?" tanya saya kepada perempuan di dalam kotak tol itu.

Dia mengganguk sambil saya kemudiannya terus berlalu selepas membuat bayaran tol menggunakan kad Touch 'n Go.

Saya terus membelok laju ke arah bangunan yang terletak di kiri jalan itu. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menebus kad Touch 'n Go saya itu. Kali terakhir saya menebusnya adalah lama dahulu. Tidak ingat bila.

Friday, August 19, 2016

Jason Bourne, Pokemon Go

Nama Jason Bourne berkumandang di dalam Mahkamah Rayuan tadi. Bukan apa, salah seorang panel hakim yang mendengar kes-kes hari ini memaklumkan bahawa dia baharu sahaja menonton cerita tersebut.

Kemudiannya usai kes sambil berjalan menuju ke tempat letak kereta saya terserempak dengan salah seorang jurubahasa Mahkamah Sesyen. Sedang menuruni tangga bangunan Istana Kehakiman. Dia hadir ke Istana Kehakiman kerana satu kes yang dahulunya didengar di Mahkamah Sesyen terpaksa dibawa pendengaran ke sini memandangkan hakim tersebut telah bertukar ke sini.

Wednesday, August 17, 2016

Hey Ho Let's Go Tokyu

Sehari dua ini menu makanan saya terpaksa dihadkan atas asbab tonsil saya yang sememangnya tidak keruan ini buat perangai lagi. Hendak membuka mulut dan bercakap pun perit rasanya. Apatah lagi hendak menelan air liur. 

Walaupun begitu saya masih bersyukur atas sebab selera makan saya masih kekal seperti biasa. Kehendak dan keinginan itu masih ada cumanya kemampuan untuk menelan makanan itu tidak selazim biasa. Tidak apalah sekurang-kurang masih boleh merasa nikmat makan.

Tuesday, August 16, 2016

A Good Citizen

"I'm a good citizen!" kata-kata yang diucapkan  oleh seorang lelaki separuh umur kepada Si Majistret. Ada nada ketidakpuasan dalam dirinya semasa dia mengulang cerita apa yang berlaku di dalam bilik bicara beberapa mini

Katanya lagi sepanjang hidupnya yang sudah melebih separuh abad ini belum ada pernah terlibat dengan sebarang kegiatan jahat atau pun pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan.

Kebiasaannya jika ada apa-apa yang berlaku dialah yang akan ke depan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kalau dilihat pada percakapannya juga bukan calang-calang orang dia ini. 

Monday, August 15, 2016

Kematian

Tengah hari rembang memang panasnya agak terik kalau di sebelah utara. Hendak pula rumah yang letaknya di kawasan bendang. Cawan plastik oren yang tadinya penuh berisi dengan air Coke kini kosong. Hanya ada seketul dua ketul ais yang sedang mencair. Dua tiga kali teguk sahaja habis saya hirup. Orang dok kata air Coke bukan boleh minum selalu sangat. Silap haribulan boleh kena potong kaki. Kencing manis depa kata.

Saya ke dapur untuk mengisi cawan plastik oren yang telah kosong itu. Tekak masih belum puas lagi menghirup air berkarbonat yang entah berapa sudu gula yang ditauk ke dalamnya oleh pengilang.

Friday, August 12, 2016

Untung Sabut

Sebelum ini saya ada menulis berkenaan dengan kes anak guam saya yang mana telah pun dilepaskan dan dibebaskan di Mahkamah Seksyen untuk satu pertuduhan dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Kemudiannya Pendakwaraya telah merayu di Mahkamah Tinggi yang mana Yang Arif Hakim kemudiannya menolak rayuan tersebut. 

Nampaknya perjalanan kes itu tidak terhenti setakat di situ sahaja. Surat yang baharu diterima sebentar tadi memaklumkan bahawa Pendakwaraya ingin merayu ke Mahkamah Rayuan. 

Tuesday, August 9, 2016

Atas Nama Tuhan

Setiap kali mana-mana saksi dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah mereka dikehendaki mengangkat sumpah ikrar untuk berkata dan bercakap benar. Tidak ada apa-apalah yang tidak benar melainkan yang benar belaka.

Itu adalah sumpah yang perlu setiap saksi pegang semasa berada di kandang saksi semasa perbicaraan. Mereka terikat dengan sumpah ini sehinggalah mereka dilepaskan oleh Mahkamah Yang Mulia daripada kandang saksi.

Namun walaupun setiap saksi telah mengangkat sumpah namun andai kata si saksi itu tidak bercakap benar sekali pun keterangannya akan diterima pakai sekiranya keterangan itu tidak langsung disangkal dan dipersoalkan oleh peguambela atau pun peguam pihak lawan dalam kes-kes sivil.

Wednesday, August 3, 2016

Terjun

"Dulu dia ni pakai semua barang-barang branded," kata anakguam saya seraya memuncungkan mulutnya ke arah kawannya itu yang berpakaian serba biasa itu.

"Dulu dia pernah terjun daripada tingkat 5 Hotel Hilton," tambahnya lagi.

Pelik. Kenapa sampai kena terjun dari tingkat 5 bangunan hotel lima bintang yang terkenal itu. 

Tuesday, August 2, 2016

Daging Salai Masak Lemak

Pinggan yang tadinya penuh dengan nasi putih dan daging salai masak lemak cili padi habis licin dalam masa beberapa minit sahaja. Selera makan yang membuak-buak sejak tadi tidak dapat saya tahan memandangkan sebelum keluar dari rumah tadi saya hanya melapik perut dengan dua keping biskut cokelat sahaja.

Apatah lagi saya terpaksa berkejar ke dua mahkamah yang terletak di dua lokasi yang berbeza. Kedua-duanya telah ditetapkan untuk perbicaraan. Satu jasad peguam yang perlu menghadiri dua kes yang berlainan pada masa yang agak serentak. Jadinya pembakaran tenaga oleh jasad mugil saya ini membuatkan saya menjadi lapar yang amat sangat.

Berhujung Minggu


Semasa memperkatakan tentang buku Lelaki Bersut semalam di sesi sembang santai di Kedai Buku Mak Ali saya di tanya tentang punk yang ada kena mengena dengan saya sebagai seorang peguam.

Sebaik mencapai mic saya mengatakan bahawa jika dilihat pada gaya saya dan juga salah seorang rakan penulis Kaki Jalan memang langsung tidak kelihatan punk langsung. Apatah lagi saya datang bersama dengan isteri dan juga tiga orang anak saya. Langsung disambut oleh tawa rakan-rakan yang hadir.