Wednesday, August 24, 2016

Yakin

"Dekat situ boleh rebate dak?" tanya saya kepada perempuan di dalam kotak tol itu.

Dia mengganguk sambil saya kemudiannya terus berlalu selepas membuat bayaran tol menggunakan kad Touch 'n Go.

Saya terus membelok laju ke arah bangunan yang terletak di kiri jalan itu. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menebus kad Touch 'n Go saya itu. Kali terakhir saya menebusnya adalah lama dahulu. Tidak ingat bila.

Tidak sabar untuk memenuhkan baki dalam kas tersebut. Bukan apa. Memandu dengan bertemankan kad Touch 'n Go yang dalamnya ada nilaian yang tinggi boleh menambahkan keyakinan si pemandu. Rasa boleh sahaja pergi ke mana sahaja pun tanpa rasa gusar pun akan deretan-deretan pondok tol di kebanyakan laluan lebuhraya di sekitar Lembah Klang ini.

Dengan langkah pantas saya menuju ke satu bahagian perkhidmatan kad Touch 'n Go. Seorang perempuan separuh usia berada di belakang kaunter. Saya langsung menghulur kad Touch 'n Go yang separuh plastiknya sudah terkopek itu.

"Nak rebate kak." Penuh yakin sekali saya melontarkan niat yang terbuku dalam hati saya itu.

"Saya check dulu naa.."

Di luar kaunter saya menunggu dengan penuh sabar. Dalam hati saya berdoa agar banyaklah hendaknya rebate yang akan saya dapat itu. Iyalah. Saya pengguna setia kad Touch 'n Go sejak sekian lama. Kali terakhir saya menebus dahulu boleh tahan banyak juga nilainya.

"Maaf dik. Tak ada,"

"Ok. Topup 50 kak," pantas saya menghulurkan sekeping kertas berwarna hijau secara spontan. Sebaik perempuan separuh usia itu selesai menambah nilai pada kad Touch 'n Go itu saya pun terus berlalu. Melangkah keluar tanpa sebarang senyum. Tidak seperti semasa saya melangkah masuk tadi. Rasa hendak marah orang secara tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment