Tuesday, August 9, 2016

Atas Nama Tuhan

Setiap kali mana-mana saksi dipanggil untuk memberikan keterangan di mahkamah mereka dikehendaki mengangkat sumpah ikrar untuk berkata dan bercakap benar. Tidak ada apa-apalah yang tidak benar melainkan yang benar belaka.

Itu adalah sumpah yang perlu setiap saksi pegang semasa berada di kandang saksi semasa perbicaraan. Mereka terikat dengan sumpah ini sehinggalah mereka dilepaskan oleh Mahkamah Yang Mulia daripada kandang saksi.

Namun walaupun setiap saksi telah mengangkat sumpah namun andai kata si saksi itu tidak bercakap benar sekali pun keterangannya akan diterima pakai sekiranya keterangan itu tidak langsung disangkal dan dipersoalkan oleh peguambela atau pun peguam pihak lawan dalam kes-kes sivil.

Acapkali sebelum saya menyoal balas saksi-saksi pihak lawan biasanya saya akan mengulang ingat mereka akan sumpah ikrar yang telah mereka lafazkan di awalnya.

Untuk menyingkirkan sebarang keraguan atau ketidakbenaran sesuatu keterangan itu biasanya juga saya akan menempelak saksi akan kebenaran dan kesahihan keterangan yang mereka berikan di mahkamah.

"Saya katakan kepada awak bahawasanya keterangan yang awak berikan ini adalah tidak benar. Awak berbohong di mahkamah!"

Dan kebiasaanya juga saksi-saksi akan menjadi berang jika mendengar kata-kata ini keluar daripada mulut saya.

Minggu lepas seperti biasa semasa dalam pemeriksaan balas saya terhadap seorang saksi daripada pihak Pendakwaan saya ada mengajukan satu soalan kepada saksi tersebut.

"Sebelum awak pergi ke tempat kejadian untuk buat job saya katakan awak ada mengambil dadah jenis Syabu. Setuju dengan cadangan saya ini?" saya mengajukan soalan berbentuk cadangan kepada saksi itu yang juga merupakan kenalan kepada anak guam saya.

Dia kemudiannya tidak bersetuju dengan cadangan saya itu dan menafikan sekeras-kerasnya. Saya langsung tidak berpuas hati memandangkan saksi-saksi lain yang sebelum ini semuanya bersetuju bahawa mereka ada mengambil syabu sebelum itu. Masakan saksi ini yang turut bersama mereka yang lain tidak terlibat mengambil dadah juga. 

"Saya katakan awak menipu dan tidak bercakap benar. Awak memang ada ambil syabu sebelum kejadian!" saya terus menggasak saksi yang sedikit kaget itu.

"Sumpah demi Allah saya tak ada ambil dan sentuh barang-barang macam tu," balas saksi itu dengan penuh yakin.

Saya kemudiannya beralih ke soalan-soalan lain sebelum saya menamatkan sesia pemeriksaan balas saya ke atas saksi tersebut.

Jika atas nama Tuhan seorang saksi bersumpah saya akan memegang akan sumpahnya itu. Sebagai seorang yang bertuhan saya masih punya kepercayaan bahawa apa kata yang mengangkat Tuhan saya sebagai saksi adalah bukan perkara yang enteng. Andai kata dia berbohong atas nama Tuhan saya maka menjawablah dia di sana kelak. Masing-masing tidak akan terkecuali. Bahkan saya juga.

No comments:

Post a Comment