Tuesday, August 2, 2016

Daging Salai Masak Lemak

Pinggan yang tadinya penuh dengan nasi putih dan daging salai masak lemak cili padi habis licin dalam masa beberapa minit sahaja. Selera makan yang membuak-buak sejak tadi tidak dapat saya tahan memandangkan sebelum keluar dari rumah tadi saya hanya melapik perut dengan dua keping biskut cokelat sahaja.

Apatah lagi saya terpaksa berkejar ke dua mahkamah yang terletak di dua lokasi yang berbeza. Kedua-duanya telah ditetapkan untuk perbicaraan. Satu jasad peguam yang perlu menghadiri dua kes yang berlainan pada masa yang agak serentak. Jadinya pembakaran tenaga oleh jasad mugil saya ini membuatkan saya menjadi lapar yang amat sangat.

Saya bersandar lega di kerusi makan sambil menikmati rasa enak dan kenikmatan daging salai yang masih melekat di lidah saya. Saya mengagau cawan yang berisi kopi o kosong di hadapan saya sambil langsung meneguknya. Satu kenikmatan yang kombo hasil kombinasi dua unsur ini. Kenikmatan yang saya dapat hasil ciptaan manusia. 

Kalau manusia yang tidak ada apa-apa boleh memberikan saya kenikmatan sebegini macam mana pula kenikmatan yang Sang Pencipta boleh hadiahkan? Mesti lagi hebat! Kesan sampingan daripada pengambilan kafein pada diri saya memang sebegini. Jadi terlalu dalam sangat walhal ianya hanya sepinggan nasi sahaja.

Saya tengok anak guam saya macam sedikit tidak senang duduk. Memang biasa gelagat yang sebegini. Jangan rasa terkejut andai berhadapan situasi sebegini.  Jika itu kawasan yang dibenarkan merokok terus sahaja suakan kotak rokok anda. Kalau sebaliknya hanya tunjukan isyarat tangan ala-ala tengah memegang rokok. Semuanya akan kembali normal selepas itu.

Cumanya dalam kes anak guam saya ini tidaklah dapat saya menolongnya memandangkan saya sudah tidak lagi merokok. Lalu dia pun memberikan isyarat kepada isterinya untuk keluar membeli rokok. Jadi tinggallah saya dan isteri anak guam saya itu di dalam kantin mahkamah sementara dia pergi membeli rokok.

"Abang kerja apa sekarang kak?" tanya saya sambil menghabiskan air kopi yang masih berbaki tadi.

"Mana ada kerja. Lebih daripada lima tahun tak kerja. Nak beli rokok pun minta dengan saya. Kalau setakat rokok batang saya bagi la. Tadi tu dia nak beli rokok batang la. Duit datang mahkamah apa semuanya saya yang keluar."

"Duit makan ni sapa yang bayar?" tanya saya sekadar untuk tahu memandangkan anak guam saya itu dengan penuh gayanya mengajak saya dan rakannya itu makan sekali. Open table orang putih kata.

"Duit saya. Dia mana ada duit," jawab isteri anak guam saya itu sambil tersengih.

"Ooooo," hanya itu yang terkeluar dari mulut saya.

Rasa menyesal pula terambil banyak hirisan daging salai tadi. 

No comments:

Post a Comment