Monday, August 29, 2016

Menangis

Sebaik sahaja sampai di halaman rumah batu yang separuh usang itu saya melihat Paksu, adik bongsu ibu saya sedang berlegar-legar di luar rumah. Membersih secara bersambil kawasan berhampiran pondok kecil yang terletak bersebelahan dengan rumah.

Saya lalu masuk bersama isteri dan anak-anak saya. Bersalaman dengan seisi ahli keluarga yang berada di dalam rumah. Kemudian saya kembali ke luar. Duduk di bangku luar sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang mengibas dedaun pokok yang merimbun melewati kawasan rumah itu. Lebih santai apatah lagi baharu beberapa ketika yang lepas saya mengisi perut dengan beberapa keping capati di sebuah kedai capati di tepi jalan besar di Jalan Beseri.

Kedengaran deru enjin merapati kawasan halaman rumah. Pak Anjang, adik kedua ibu saya baru sampai dengan ahli keluarganya yang lain. Bapa saudara yang tidak pernah lokek dengan senyuman dan ringan tulang. Kali terakhir semasa saya berjumpanya adalah pada Aidilfitri yang lalu ketika mengunjunginya. Dan di rumahnya jugalah kali terakhir saya bersalaman dengan arwah tok. 

Tidak berapa lama kemudian dia pun duduk bersidai di luar bersama saya dan beberapa ahli keluarga yang lain. Mengeluarkan sekotak rokok jenama L.M. dan diletakkan di atas atas sebuah kerusi kosong di antara kami.

Pak Anjang, Pak Su dan saya duduk bersembang sekali. Bersembang perihal arwah tok semasa di hospital. Arwah tok dimasukkan ke hospital semula hanya selepas tiga hari dibenarkan keluar pada 16 Ogos yang lalu. Paru-paru berair kata doktor.

Saya hanya mendengar kedua-dua orang bapa saudara itu bercerita. Pak Anjang saya hanya sesekali menyampuk sambil menyuap roti canai yang terisi dalam pinggan polisterin yang diletakkan di atas meja di hadapan kami.

Sesekali Pak Su menyedut rokok L.M. hijau yang sememangnya menjadi peneman setianya itu. Dalam nadanya terselit kesedihan walaupun saya tahu masing-masing cuba untuk tidak menzahirkan sangat kesedihan mereka itu. Termasuklah ibu saya. 

Cerita Pak Su saat sebelum menghembus nafas terakhirnya sebelum pulang ke negeri yang baka sempat arwah tok membisikkan kepada Paksu dengan tenang sambil menggenggam erat tangan anak bongsunya itu. "Toksah dok keriyau lah.."

Habis sahaja kata-katanya itu saya lihat mata Pak Su berair. Merah. Suapan roti canai Pak Anjang juga terhenti. Dia menarik nafas perlahan-lahan sambil menyapu air mata yang menitik membasahi pipi tua dia dengan tuala kecil yang dipegangnya sejak tadi.

Tanpa saya sedari kelopak mata saya juga berkaca. Saya cuba menyembunyikan kesedihan dihadapan kedua orang bapa saudara saya itu. Saya tahu mereka juga tidak mahu menitiskan air mata dihadapan saya.

Apakan daya. Lumrah makhluk tuhan yang mana pun. Tatkala sedih maka bergenanglah air mata. Maafkan kami tok. Kami keriyau.

Munah Binti Ismail
(1940 - 2016)

No comments:

Post a Comment