Saturday, August 19, 2023

Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Yang Dicabar

SEBELUM NIK ELIN ZURINA & SATU LAGI LWN. KERAJAN NEGERI KELANTAN
Kes Nik Elin Zurina & Satu Lagi lwn. Kerajaan Negeri Kelantan bukanlah satu kes yang pertama dan baharu dalam mencabar keabsahan peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah.
Ianya adalah bertitik tolak daripada keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 25 Febaruari 2021 di dalam kes Iki Putra Mubarak lwn. Kerajan Negeri Selangor & Ors. Yang mana Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 adalah ulta vires dengan Perlembagaan Malaysia dan oleh yang demikian adalah terbatal.
SEKSYEN 28 ENAKMEN JENAYAH (SELANGOR) 1995
Seksyen 28 Enakmen Jenayah (Selangor) 1995 memperuntukan seperti berikut:
Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Mana-mana orang Islam di Malaysia secara umumnya adalah tertakluk kepada kedua-dua jenis undang-undang, iaitu undang-undang sivil di satu pihak dan undang-undang Syariah di sisi lain. Namun sejauh mana penggunaan undang-undang Syariah kepada orang Islam adalah dihadkan oleh Perkara 1 Senarai Negeri. Klausa pengecualian dalam Butiran 1 menghadkan lagi kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang tersebut dengan meletakkannya kepada Senarai Persekutuan.
Mahkamah membuat dapatan bahawa jelas daripada perkataan pada Artikel 74(3), 75 dan 77 bahawa kuasa utama perundangan dalam undang-undang jenayah terletak di Parlimen. Ini dibuktikan lagi oleh Senarai Negeri dari segi kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah, iaitu kuasa tersebut tertakluk kepada klausa pengasingan dalam Butiran 1 Senarai Negeri dan Butiran 9 Senarai Negeri.
Bagi mengelakkan keraguan, Mahkamah mengatakan bahawa tidak dinafikan bahawa Dewan Undangan Negeri di seluruh Malaysia mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam. Seperti yang diputuskan oleh mahkamah dalam Sulaiman Takrib (supra) dan penghakiman lain yang berkaitan, definisi ajaran Islam (precepts of islam) adalah luas dan tidak hanya terhad kepada lima rukun Islam. Justeru itu, pelbagai kesalahan yang boleh digubal adalah luas. 
Namun kuasa untuk menggubal pelbagai kesalahan itu tertakluk kepada had perlembagaan. Sebagai contohnya, rasuah dan amalan rasuah, rogol, kecurian, rompakan, pembunuhan adalah semua kesalahan terhadap perintah, larangan dan ajaran Islam. 
Walau bagaimana pun dengan adanya klausa pengasingan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah menyekat pihak Negeri-negeri daripada membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang mana masih dibawah kuasa Parlimen.
Mahkamah mengatakan bahawa 'Senarai Persekutuan' di dalam Butiran 1 Senarai Negeri bahawa Badan Perundangan Negeri hanya diberi kuasa untuk membuat undang-undang ke atas perkara yang belum diperuntukkan di oleh undangkan-undang Persekutuan.
PRECEPTS OF ISLAM
YAA Azahar Mohamed dalam kes ini telah merujuk kepada pandangan Professor Emeritus Dato’ Paduka Dr Mahmood Zuhdi bin Haji Abd Majid berkenaan “Hukum Melakukan Hubungan Seks Di Luar Tabi’i” menurut Undang-Undang Islam. Pengharaman liwat adalah jelas menunjukkan liwat adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Syariah dan ianya terpakai kepada semua orang yang beragama Islam tanpa sebarang pengecualian.”
Dalam dapatannya berkenaan dengan isu ini, peruntukan yang dicabar itu yang berkaitan dengan kesalahan luar tabii iaitu 'seks luar tabi'i' atau 'liwat' adalah tidak dinafikan satu kesalahan terhadap ajaran Islam. Ia dianggap haram (dilarang).
Oleh itu, beliau membuat dapatan bahawa peruntukan yang dicabar yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri jelas termasuk dalam skop ajaran Islam yang disenaraikan dalam Senarai Negeri. Dalam erti kata lain, peruntukan yang dicabar itu termasuk dalam bidang perundangan Islam. Namun sama ada peruntukan yang dicabar itu telah digubal secara sah oleh Dewan Undangan Negeri, dan bukannya ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah persoalan yang mesti ditangani secara berasingan yang membawa kepada kepada isu klausa pengasingan.
Yang mana asas kepada peruntukan di dalam Enakmen tersebut adalah jelas dalam ruang likup ‘Undang-undang Jenayah’. Dan bagi maksud ‘Undang-Undang Jenayah’ di dalam Senarai Persekutuan adalah termasuk juga ‘kesalahan-kesalahan terhadap ajaran Islam’ yang mana turut diberikan kuasa kepada Badan Perundangan Negeri. Oleh itu dengan kata lain, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang sedemikian berkenaan dengan kesalahan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah kerana kerangka untuk undang-undang Jenayah adalah dibawah kuasa Parlimen.
Secara jelasnya, Undang-Undang Jenayah adalah dibawah bidang kuasa Persekutuan yang mana hanya Parlimen mempunyai bidang kuasanya. Dan sebaliknya, Undang-Undang Jenayah Islam yang tidak termasuk di dalam klausa pengasingan ini adalah dibawah bidang kuasa perundangan Dewan Undangan Negeri.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya dalam kes ini, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat memutuskan bahawanya Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tersebut adalah tidak sah. Ini adalah kerana dalam “pith and substance” seksyen 28 Enakmen tersebut adalah berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam butiran 4 Senarai Persekutuan, iaitu berkait dengan undang-undang jenayah. Walaupun secara nyatanya ianya adalah yang melanggar ajaran agama Islam, namun ianya dikecualikan oleh klausa pengecualian yang terdapat dalam butiran 1 dari Senarai Negeri. Oleh yang demikian, penggubalan peruntukan tersebut oleh sebuah Badan Perundangan Negeri adalah bertentangan dengan peruntukan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana kesalahan di dalam Seksyen 28 Enakmen tersebut termasuk dalam peruntukan ‘Undang-undang Jenayah’ yang mana adalah di bawah Senarai Persekutuan, badan yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang- undang berkaitan perkara tersebut hanyalah Parlimen.

#undangundangsyariah

Tuesday, November 5, 2019

Budak Boys

Mahkamah sedang bersidang ketika saya melangkah masuk. Kes perbicaraan saya ditetapkan untuk sambung bicara pagi ini.

Saya mengambil tempat di barisan meja yang kedua. Manakala di hadapan saya seorang peguam kanan berbangsa Cina sedang menghujahkan kes beliau. Dan beliau berhujah sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Thursday, September 12, 2019

Jom Tulis Buku!


Tinggal beberapa hari lagi untuk kelas penulisan kreatif ini. Kawan-kawan yang berminat untuk menceburi bidang penulisan memang abang galakkan untuk mendaftar kelas ini.

Mana tahu selepas kelas ini nanti manuskrip atau pun idea-idea penulisan yang ada tersimpan dalam kepala itu boleh dibukukan.

Rahsia-rahsia penulisan bukan fiksyen dan juga fiksyen akan dikongsikan oleh dua penulis prolifik Tuan Zamri Mohamad dan juga Tuan Hamka Keretamayat.

Dan juga tip dan rahsia disebalik tabir pengedaran buku-buku oleh Tuan Izzat Amir. Yang mana juga merupakan penerbit yang menerbitkan buku rockstar Radhi OAG dan seniman padu Nasir Jani.
Depa-depa semua ni bukan kecil-kecil anak dalam industri buku.

Saya pula akan berkongsi berkenaan dengan kontrak dan hak-hak antara penulis dan penerbit.

Oleh itu mari sertai kelas ini, jika bukan untuk diri sendiri mungkin ilmu yang anda dapat untuk bantu rakan-rakan yang nak jadi penulis.

Message atau PM segera.

Friday, August 30, 2019

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-62

Rukun negara bukanlah sekadar hanya kata-kata kosong yang terpampang atau tercatit pada mana-mana muka dinding. Ia sepatutnya menjadi perkara pokok kepada perjalanan sesebuah negara itu dan secara khususnya kepada seluruh yang bergelar warganegara.

Dalam masyarakat majmuk dan berbilang bangsa seperti negara kita Malaysia ini, rukun negara adalah satu solusi kepada penyatuan dan keharmonian. Tidak ada keperluan untuk apa-apa metod yang baharu yang kononnya boleh menyatu padukan rakyat jelata di bumi yang bertuah ini.

Rukun negara adalah satu ideologi untuk rakyat Malaysia. Yang dilahirkan dan dicipta berdasarkan kepada kesesuaian dan nilai-nilai yang ada pada masyarakat Malaysia. Ideologi yang cukup ringkas pada zahirnya tapi cukup padat pada pengisian dan nilai-nilai yang terdapat pada bait-baitnya.

• Kepercayaan kepada Tuhan
• Kesetiaan kepada Raja dan Negara
• Keluhuran perlembagaan
• Kedaulatan undang-undang
• Kesopanan dan kesusilaan

Jika di dalam solat rukunnya tidak ikuti maka tidaklah sah solat itu. Akan adanya kecacatan pada solat itu, jauh dari kesempurnaan yang sepatutnya. Begitulah juganya dengan Rukun Negara, bagaimana kita pasti memperoleh kesempurnaan dalam kehidupan sebagai warganegara andai rukunnya kita tidak langsung patuhi dan endah. Bahkan ada yang langsung tidak menyedari akan perkara yang menjadi perinsip dan tunjang utama ini. Janganlah diharapkan akan kesempurnaan andai rukun yang menjadi asas dan dasar kenegaraan ini tidak dikuti dan diamalkan. Tidak dapat tidak pasti akan adanya kecacatan dan ketidaksempurnaan.

Selamat Hari Kemerdekaan Yang Ke-62.

#MerdekaKU

No Prima Facie

“Oleh yang demikian dihujahkan bahawa ketidapatuhan keperluan pada Seksyen 31A Akta Dadah Berbahaya adalah perkara yang material kerana jelas ianya satu pelanggaran kepada peruntukan undang-undang dibawah Seksyen ini yang sama sekali melangkaui ‘evidential value’ pada kes Tertuduh ini. Ini adalah kerana prosedur yang terkandung dalam Seksyen 31A adalah mandatori dan bukannya sekadar ‘directory’. Ianya perlu dikuti sepertimana kehendak dan keperluannya tanpa sebarang kecacatan dan kelopongan. Dan seandainya ketidakpatuhan pada Seksyen ini diterima maka secara tidak langsungnya hak-hak Tertuduh di sisi Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang diperuntukan dalam Artikel 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan adalah dinafikan sepenuhnya.” 

Alhamdulillah. Anakguam dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas kes pendakwaan. No prima facie. 

Boleh sambung bertugas.

Thursday, June 20, 2019

Lif

Selesai menghabiskan sepinggan nasi ayam, saya tersandar lega. Mahu tidaknya daripada keluar rumah sehingga selesai kes pertama saya tadi langsung tidak menjamah apa-apa makanan. Sambil melihat pelanggan yang keluar masuk ke dalam kedai makan tersebut seorang rakan peguam saya bertanya. 

"Tadi masa naik ke mahkamah naik lif yang mana satu?" 

Seingat saya lif yang kedudukannya sebelah kanan saya. Lagi pun saya tidak ambil pusing sangat lif yang mana satu. Sebab saya bergegas untuk naik ke tingkat 7 bangunan mahkamah. 

"Bukan apa. Satu lif tu ditutup sebab ada kes." 

Selesai dia menceritakan apa yang berlaku saya termenung seketika sambil menyedut kepulan-kepulan wap air berperisa hazelnut coffee. Dalam kepala otak saya sudah terdetik. Memang tak boleh jadi. Sebentar lagi saya ada perbicaraan yang lain pula di mahkamah yang sama. Macam mana pun saya kena kencing di tandas kedai makan tu. Tak mungkin saya hendak ke tandas mahkamah yang sememangnya agak sunyi itu sementelah mendengar cerita terbaharu di mahkamah itu. 

Kahkahkah.

Monday, May 6, 2019

Ramadan Saya #1

Sebaik menguak pintu rumah saya tengok televisyen terpasang. Sambil menjinjit beg plastik di tangan saya menuju ke meja makan. Beg plastik yang terisi dua bungkus teh beng kaw itu saya letak di atas meja makan. 

Terus saya kembali ke ruang tamu. Melabuh punggung di sofa yang menghadap betul-betul di hadapan televisyen. Pandangan mata saya tertarik kepada cerita yang sedang ke udara itu. Sebuah drama melayu berunsur islamik. Mungkin sempena malam pertama Ramadhan ini. Tidak berkelip melihat watak salah seorang hero malaya dalam drama tersebut. Nampak mirip sekali. 

Tersengih saya sendirian. Saya melaung isteri yang berada di dapur, “You..rambut Fahrin Ahmad ni sebijik macam rambut I. Nampak sama bila dia pakai jubah ni. Serupa!” Langsung tidak ada apa-apa maklum balas dari dapur. 

Sambil mengusap rambut saya perlahan-lahan saya terangguk-terangguk. Tak sia-sia saya mula menyimpan rambut. Rasa puas.

Saturday, April 13, 2019

The revisit of Boonsom Boonyanit v. Adorna Properties

Dua hari lepas, selesai sahaja pihak Plaintif dan Defendan-Defendan menutup kes masing-masing, Mahkamah Yang Mulia telah menjemput pihak-pihak untuk berhujah mengenai satu keputusan Mahkamah Persekutuan yang terbaharu ini. Keputusan di dalam kes Pushpaleela a/p R Selvarajah & Anor v Rajamani d/o Meyappa Chettiar & Ors  [2019] 2 MLJ.

Azahar Mohamed FCJ (delivering judgment of the court): 

[152] Applying the well established principle to the present case, it is our considered opinion that the first defendant who conducted searches on the register and purchased the land in good faith and for valuable consideration, had, upon registration as the proprietor on the register document of title, acquired an indefeasible title, notwithstanding that the second defendant’s title itself is defeasible. Hence, subsequent transfer of the land to the first defendant and the registration thereof in the name of the first defendant was indefeasible by reason that the first defendant was the bona fide purchaser for valuable consideration. 

Wednesday, April 10, 2019

Carta Laku Keras Sang Penerbit PBAKL 2019

Update

Balik kampung, sekali-sekala saya dengar juga mak dengan ayah bersembang tentang hal kampung. Tentang hal siapa orang kampung yang dah meninggal dunia. 

Bukan apa. Saya takut jadi macam kawan saya. Seorang bekas askar udara pencen dari Tunjang. Suatu hari dia balik kampung. Tengah jalan hendak ke rumah dia terserempak dengan seorang jiran kampung. Sembangnya panjang juga. 

Maklumlah sekali-sekala berjumpa dengan orang kampung. Lepas balik ke rumah mak dia, demam tiga hari katanya. Kes terkejut bila mak dia bagi tahu yang jiran yang dia baharu bersembang itu dah dijemput Tuhan beberapa bulan sebelum itu. 

Naya.