Monday, August 15, 2016

Kematian

Tengah hari rembang memang panasnya agak terik kalau di sebelah utara. Hendak pula rumah yang letaknya di kawasan bendang. Cawan plastik oren yang tadinya penuh berisi dengan air Coke kini kosong. Hanya ada seketul dua ketul ais yang sedang mencair. Dua tiga kali teguk sahaja habis saya hirup. Orang dok kata air Coke bukan boleh minum selalu sangat. Silap haribulan boleh kena potong kaki. Kencing manis depa kata.

Saya ke dapur untuk mengisi cawan plastik oren yang telah kosong itu. Tekak masih belum puas lagi menghirup air berkarbonat yang entah berapa sudu gula yang ditauk ke dalamnya oleh pengilang.

Saya lihat abang ipar saya tengah ralit memotong lemang. Lemang yang saban tahun ditempah daripada pasangan suami isteri berpangkat saudara nun jauh di kampung di hujung kota yang mana keenakannya masih kekal sama walaupun tahun ini tukang buat dan bakar hanyalah si isteri dek kerana si suami telah kembali kepada Yang Esa. Tidak tergamak untuk tidak membuat lemang kata si isteri. Kasihankan para pembeli setia yang saban tahun setia menempah dan membeli daripada mereka.

Sambil membelah batang lemang yang berbaki di dapur abang ipar saya mengajukan satu soalan.

"Apa yang akan membuatkan seorang penzalim tu berhenti daripada berbuat zalim?" tanya dia sambil cuba membelah buluh lemang tersebut. Riak mukanya berkeriut menumpu penuh perhatian pada batang lemang di hadapannya itu.

Selepas berfikir panjang saya memberikan jawapan akan pertanyaan tersebut.

"Mati," jawab saya pendek sambil menghabiskan air Coke yang berbaki dalam cawan plastik berwarna oren itu.

No comments:

Post a Comment