Wednesday, June 21, 2017

Pelita Panjut Abang

"Malam ni jom kita pasang pelita di kawasan rumah. Nampak meriah sikit," laungnya penuh bersemangat kepada adiknya yang baharu sahaja duduk tidak jauh daripada tempat dia sedang bersila itu. Adiknya itu baru balik daripada surau menunaikan solat Asar.

Hatinya berbunga-bunga untuk memasang pelita-pelita panjut di kawasan rumah orang tuanya pada tahun ini. Bukan apa semasa sedang memandu pulang ke kampung halamannya semalam di sepanjang jalan dia terlihat banyak rumah-rumah kampung memasang pelita panjut di halaman rumah masing-masing. Membangkitkan satu suasana kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang sehari dua lagi. Suasana yang sebegitu yang jarang-jarang dapat dilihat lagi kebelakangan ini.

Dewasa ini dia perhatikan kemeriahan untuk menyambut 1 Syawal itu lebih terlihat di pusat-pusat membeli-belah atau pun di bazar-bazar jualan raya. Sebab itulah pada malam-malam akhir Ramadhan dan malam sebelumnya Aidilfitri orang ramai galak ke bazar-bazar tersebut. Bersesak-sesak dalam suasana yang hiruk pikul dengan jeritan si penjual untuk melicinkan stok barangan yang masih ada. Keterujaan menyambut Syawal ada di situ. Kadang-kala yang datang pun bukannya ada apa hendak dibeli tetapi sahaja hendak berkongsi suasana itu. 

Adiknya memandang tepat ke arahnya seraya berkata, "Buat apa nak pasang pelita? Orang dah tak pasang pelita panjut dah. Bukannya nak sambut perayaan agama lain." Walaupun bersahaja cakap adiknya itu tapi terpalit ketegasan dalam nadanya.

"Bukannya apa. Sekurang-kurangnya bagi nampak meriah sikit halaman rumah. Terang benderang tak ada la gelap sangat. Bercahaya la sikit. Ni gelap tak nampak meriah nak sambut raya."

"Kalau nak cerah pasang saja spotlight tu. Nampak cerah jugak."

Dia faham maksud adiknya itu. Buat apa hendak memasang pelita panjut kalau sekadar untuk menerangkan halaman rumah. Berapa terang sangatlah api daripada sumbu pelita panjut itu boleh menerang. Baik sahaja dipasang spotlight yang sedia ada itu kalau tujuannya adalah untuk menerangi kawasan halaman itu. Itu adalah lebik praktikal dan selari dengan tujuan. Akan terang benderanglah seluruh halaman rumah dipancari oleh cahaya neon daripada spotlight itu. Buat apalah bersusah payah untuk memasang pelita panjut bagainya itu. Bukannya zaman dahulu kala hendak dipasang pelita panjut.

Sebenarnya nawaitunya yang utama bukanlah semata-mata yang itu tetapi lebih lagi. Dia mahu membangkitkan semula rasa kemeriahan dan keghairahan menyambut Aidilfitri seperti dulu-dulu. Yang pada zaman dia kanak-kanak dahulu. Ada rasanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Melihat segenap rumah-rumah di kampung berlumba-lumba memasang pelita panjut yang menerangi segenap isi kampungnya. Cerah satu kampung. Terliuk lentuk api daripada sumbu pelita disapu angin malam seolah-olah sang penari yang sedang menari mengikut rentak irama alam. Cantik sekali lenggang lenggoknya. 

"Tak apalah kita pasang untuk suka-suka. Lagi pun bukannya selalu. Setahun sekali saja pun," katanya cuba memujuk adiknya untuk setuju dengan cadangannya itu.

"Tak payahlah bang..dari sibuk hendak memasang pelita tu semua baik abang buat tolong uruskan persiapan untuk hari raya esok ni. Ada juga faedah dan gunanya. Kita ni pun dah tua bukannya budak-budak lagi nak buat kerja macam tu apa. Tak dituntut dalam agama pun bab pasang pelita ni bang," bentak adiknya lagi.

Dia terkesima mendengar kata adiknya itu. Ada sedikit gurisan kecil pada hatinya apabila mendengar adiknya itu berkata sedemikian. Dia faham. Adiknya itu lulusan usuluddin daripada Timur Tengah. Perihal hukum hakam dan kitab-kitab muktamar semuanya dalam bidang ilmu dan pengetahuannya. Dia juga berkelulusan daripada luar negara. Cumanya negara yang dijejakinya itu negara bekas penjajah dan bidangnya pula hanya bidang pengajian ikhtisas iaitu undang-undang. 

Memang ilmu agamanya tidak setanding dengan ilmu adiknya itu. Tetapi dia yakin yang dia tidaklah sejahil mana. Setiap minggu dia tidak pernah lepas daripada menghadiri kuliah ustaz Marzuki yang mana dalam setiap sesi kuliahnya itu Ustaz Marzuki akan memberikan huraian-huraian daripada kitab-kitab muktabar. Semasa di negara yang Beratu itu pun dia kerap mengikuti usrah-usrah yang dianjurkan badan kebajikan pelajar Islam di sana. 

Dia diam. Adiknya pun sama. Masing-masing terdiam. Mungkin adiknya terperasan riak mukanya yang nampak berubah apabila mendengarnya berkata sebegitu tadi. Dia bingkas bangun daripada kerusi rotan yang setia menampung punggung-punggung mereka saban tahun tanpa jemu itu. Tidak ada sepatah kata pun yang keluar semasa dia beredar meninggalkan adiknya yang masih duduk itu.

Dia mencapai setangkai kunci yang tersangkut di alang pintu. Kunci motosikal Honda EX5 milik adik bongsunya itu. Lalu dia melangkah keluar lantas menghiduplan engin motosikal itu dan berlalu pergi. Ahli keluarganya yang lain yang berada di dalam rumah melihat dan tertanya kehairanan kerana dia pantas keluar sebegitu sahaja tanpa sebarang pesan atau kata.

Dia memecut laju motosikal tersebut meninggal kawasan rumahnya. Dia telah nekad walau macam mana pun dia akan tetap memasang pelita panjut di rumah mereka malam ini. Biar pun adiknya itu tidak menyetujui akan tindakannya itu dia tidak peduli. Dia tahu selagi mana perbuatannya itu tidak menyalahi hukum agama dan tidak ada niat untuk menyekutukan Allah Yang Esa tidak ada halangan dalam agamanya. 

Dalam pada fikirannya itu sedikit tidak keruan dengan kejadian di rumah sebentar tadi tanpa dia sedari matanya mula berkaca. Air mata jantannya menitik. Berlalu pergi bersama deras angin yang menampar-nampar pipinya itu. Dia sedih kenapa adiknya berkeras sangat tentang hal yang sebegitu kecil dan remeh. Dia hanya mahu membangkitkan suasana hari raya seperti dahulu. Semasa mereka masih budak-budak, riang dan gembira melihat pelita-pelita panjut yang dipasang oleh ayah mereka di kawasan sekitar rumah mereka itu. Berebut-rebut sesama mereka adik-beradik untuk menyusun dan meletakkan pelita-pelita panjut itu di pangkal batang buluh yang dipacakkan sebagai pancang. Seronok sekali pengalaman itu.

Tidak apalah. Masing-masing ada pandangan dan pendapat masing. Dia tidak boleh memaksa adiknya itu menerima pendapatnya. Itu haknya untuk tidak bersetuju. Sama bila ketikanya dia mengendalikan kes-kesnya di mahkamah. Dia boleh berhujah dan membentangkan fakta-fakta yang memihak kepadanya dan anak guamnya. Tetapi dia tidak boleh memaksa si hakim untuk bersetuju denganya seratus peratus. Hakim juga punya pendapat dan pandangan mereka. Itu ada kalanya kes-kes yang dikendalikannya ada masanya menang dan ada masanya kalah walaupun pada pandangan professionalnya sebagai seorang peguam kes-kes itu mempunyai merit dan peluang untuk menang. Penilaian hakim dan penilaiannya mungkin tidak sama. Sama juga dia dengan adiknya. Penilaian adiknya tentang cadangannya tadi itu tidak sama dengan penilaian yang dibuat olehnya.

Fikirannya itu dibiarkan berlalu pergi sebaik sahaja dia ternampak papan tanda kedai runcit Ah Teoh. Satu-satu kedai runcit yang ada di kampung itu. Kedai runcit yang telah ada sejak daripada zaman kanak-kanaknya lagi. Ah Leng pun dengar ceritanya sudah tidak lagi menguruskan kedai runcit tersebut. Semuanya telah diserahkan bulat-bulat kepada anak bongsunya Teoh Ang yang pernah satu sekolah dengannya dahulu semasa mereka di sekolah menengah.

Sampai di hadapan kedai runcit tersebut dia mematikan engin motosikalnya itu. Dicabutnya kunci motosikal tersebut dan dimasukkan ke dalam poket seluar jeansnya. Dari kejauhan dia terlihat kelibat Lim Siang sedang menyusun peket-peket beras di dalam kedai. Dia tersenyum sendirian. Tidak banyak yang berubah kawannya itu. Cuma perut yang dahulu tampak selari dengan dadanya kini sudah macam bukit. Buncit macam orang bunting gajah pun ada. 

" Tokei besar..busy nampak?" dia menegur kawan lamanya itu.

"Hoi Mr. loyer, mana ada tokei besar meh. Lu la tokei besar. Orang kaya. Loyer banyak kaya meh. Bila balik?"

"Balik dah dua malam. Ni nak tanya pelita ada jual?"

"Pelita sudah habis la kawan. Stok angkat pun tak ada banyak. Orang sekarang mana ada pasang pelita lagi meh. Pasang lampu lip lap lip lap itu macam. Lagi happening oo," Teoh Ang menjelas panjang lebar sambil terbongkok-bongkok membetulkan letak peket-peket beras dengan pelbagai jenama itu. Sambil itu dia mengelap percik-percik peluh di dahi dengan lengannya.

Dia terfikir sejenak. Ke mana lagi dia boleh dapatkan pelita panjut di saat-saat hari terakhir Ramadhan ini. Dia menjadi buntu. Namun ianya sekejap sahaja. Kebuntuannya itu dipecahkan oleh suara serak Teoh Ang.

"Lu pergi itu kedai di pekan. Ada jual punya. Kedai borong besar dekat itu sungai ada. Sampai malam raya ada buka itu kedai," kata Teoh Ang dengan penuh yakin.

Seraya itu harapannya untuk memasang pelita panjut pada malam ini kembali bersinar. Masih ada peluang lagi. Mudah-mudahan ada rezeki untuknya membeli pelita panjut. Doanya dalam hati.

Tanpa berlengah dia terus melompat ke motosikalnya. Teoh Ang hanya memerhatikan sahaja kelakuan rakan lamanya itu sambil tangannya masih ligat menyusun barangan dalam kedainya itu. Apa sangatlah pentingnya pelita panjut itu sampai rakannya itu menjadi kalut sebegitu. 

Sambil memulas minyak motosikalnya dia sempat melambai kepada Teoh Ang. Tanda berterima kasih atas bantuan Teoh Ang yang sangat bermakna padanya di kala itu. Kalau tidak jenuh juga dia hendak memikirkan di mana hendak mendapatkan pelita panjut itu. Kalau pun dia sekadar mencari secara rambang di pekan mungkin akan mengambil masa yang lama dan membuang masa sahaja. Silap-silap mungkin dia akan pulang dengan tangan kosong sahaja. 

Azan Maghrib yang berkumandang daripada surau kampung menandakan waktu berbuka puasa bagi kawasan itu. Maka dengan itu sampailah ke penghujungnya Ramadhan pada kali ini. Esok Syawal pula akan tiba. Semua orang sedang duduk berlengkong mengadap juadah yang pelbagai jenis itu. Semua ahli keluarganya ada kecuali Nizam. Adiknya Ustaz Solihin berasa sedikit risau melihat ketiadaan abangnya itu. Telah dicuba menghubungi abangnya sebelum azan Maghrib tadi. 

Sejak lepas Asar sehingga sekarang dia keluar dan masih belum pulang. Namun panggilannya tidak terjawab. Terus sahaja masuk ke dalam kotak mel suara. Dia tidak mahu ahli keluarga yang lain turut risau akan ketiadaan abang sulung mereka itu. Lagi pula esok hari raya. Dia tidak mahu perkara yang bukan-bukan berlaku. Dia beristifar panjang. Dalam hatinya berdoa supaya apa yang dalam fikirannya itu hanya sekadar mainan perasaan. Lagi pun abangnya itukan sudah tua bangka. Bukannya budak-budak lagi. Masakan tidak tahu menjaga dirinya sendiri.

Dia bermain dengan perasaannya sendiri. Terasa sedikit kesal dengan perlakuannya pada petang tadi yang membawa kepada keluarnya abangnya itu daripada rumah dengan tiba-tiba. Terasa hatikah abangnya itu dengan kata-katanya itu? 

Hidangan yang ada di hadapan dijamah dengan perlahan-lahan sambil menanti kalau-kalau abangnya itu pulang. Dia ingin berbuka puasa dengan abangnya itu sempena dengan Ramadhan yang terakhir ini. Berbuka puasa bersama-sama seperti mana zaman mereka kanak-kanak dahulu. Selepas itu mereka akan sama-sama mencucuh pelita panjut yang telah tersedia dipacak oleh ayah mereka di kawasan keliling rumah. Masing-masing mengambil giliran untuk mencucuh pelita. Betapa seronok ketika itu. Memori zaman kanak-kanak menerpa secara tiba-tiba. Rasa bersalah membangkang apa yang abangnya usul petang tadi kembali melilit hatinya.

Lamunannya tiba-tiba terhenti di situ tatkala mendengar bunyi kereta masuk ke laman rumah. Bunyi batu-batu kerikil yang dilenyek tayar mengejutkan isi rumah yang tengah mengisi perut masing-masing selepas seharian berpuasa. Dia bingkas bangun dari duduk silanya itu dan terus menuju ke muka pintu. Sebaik sahaja dia menjenguk ke muka pintu sudah terpacak dua susuk berpakai seragam biru di sebalik sebuah kereta Proton Waja dengan tulisan POLIS.



#ceritaRamadhan

No comments:

Post a Comment