Monday, February 27, 2017

Rintik Hujan Pagi

Dalam keadaan hujan yang renyai-renyai saya berlari anak menuju ke kawasan berbumbung yang menghubungkan kompleks mahkamah. Hari ini telah ditetapkan oleh pendaftar mahkamah tinggi untuk semua pihak memasukkan hujahan bertulis masing-masing. Hujahan bertulis yang membuatkan saya berjaga daripada pukul 2 pagi tadi. 

Sampai ke dalam bilik mahkamah saya terus menuju ke meja paling hadapan. Menghadap Puan Pendaftar yang sedang membelek-belek fail yang bersusun di hadapannya itu.

Saya terus memaklumkan nombor kes saya sebaik sahaja dia menyedari saya berada di hadapannya. 

“Hari ni untuk semua pihak memasukkan hujahan bertulis masing-masing Puan,” maklum saya mengenai status fail tersebut.

Sambil itu sempat saya berpaling ke arah Timbalan Pendakwaraya yang duduk selang sebelah dengan saya.

“Hujahan dah ready Puan?” tanya saya antara dengar tak dengar.

“Saya hanya menyebut untuk Timbalan Pendakwaraya yang mengendalikan kes ini. Hujahan juga tidak ada dengan saya pada hari.”

“Hujahan saya dah sedia Puan. Saya buat semalam Puan,” balas saya dengan penuh semangat sekali.

Puan Pendaftar hanya tersenyum mendengar jawapan saya itu. Memandangkan Timbalan Pendakwaraya tidak dapat menyerahkan hujahannya pada hari ini maka satu tarikh akhir ditetapkan untuk semua pihak menyerahkan hujahan masing-masing secara serentak.

Terus saya teringatkan bantal yang empuk di rumah. Bertabahlah wahai hati.

No comments:

Post a Comment