Wednesday, August 16, 2017

Dalam Mahkamah Itu

Di dalam sesebuah mahkamah pelbagai cerita dan ragam manusia yang saya kutip dan dijadikan sebagai teras dalam penulisan-penulisan saya.

Contohnya pada pagi ini seperti mana kebiasaanya saya ada satu pendengaran Motion dihadapan Yang Arif Hakim.


KES SATU

Sebelum kes saya dipanggil jurubahasa telah memanggil satu kes yang lain. Kes rayuan oleh pihak Pendakwaraya yang tidak berpuas hati dengan denda yang telah diberikan oleh Majistret terhadap Tertuduh. Kes dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya.

"Saya merasakan hukuman denda yang diberikan oleh Majistret sebelum ini ke atas awak adalah tidak setimpal dengan kesalahan awak. Ini kerana dadah yang diambil oleh awak adalah dadah jenis Meth. Bukannya dadah jenis cannabis. Bukannya di consider sebagai soft drug."

Cannabis adalah soft drug. Itu adalah dapatan yang penting dalam obiter dicta yang Yang Arif Hakim.


KES KEDUA

Sebaik sahaja Mahkamah selesai bersidang maka saya beredar ke bahagian galeri awam. Saya melewati dua orang banduan yang hadir untuk kes rayuan mereka. Pendakwaraya merayu ke atas hukuman yang dikenakan oleh Hakim Sesyen sebelum ini.

"Berapa kena sebelum ni?" tanya saya kepada warden yang mengiringi mereka berdua.

"6 tahun Mahkamah bagi sebelum ni. Kes 395/397."

"Ooo..patut la Pendakwaraya appeal. Sekarang di Shah Alam kebiasaannya dalam 8 ke 12 tahun hukuman penjara mahkamah akan jatuhkan hukuman," balas saya.

Kemudian saya beralih kepada kedua-dua banduan muda itu.

"Samun di mana? Berapa ratus ribu dapat?"

Tersengeh-sengeh kedua mereka. Sahaja saya bertanya begitu kerana saya tahu kebanyakan kes-kes samun yang dilakukan oleh tertuduh-tertuduh muda hanya melibatkan ratusan atau pun beberapa ribun ringgit sahaja. Tetapi natijah dan kesannya sama berat dengan kes-kes samun yang melibatkan nilain jutaan ringgit dan sebagainya lagi.

Tersenyum seorang lelaki yang bertubuh agak sasa di bangku belakang. Sempat dia menyampuk berbualan saya bersama-sama banduan muda itu.


KES KETIGA

Lalu saya menegur lelaki yang berbadan sasa itu sambil menghulur salam.

"Datang tengok kes sapa bang? Saudara ke?"

"Kes 302. Tapi saya saksi pengadu bang." dia menjawab sambil memberikan isyarat untuk menyambung perbualan di luar.

Rupanya dia datang sebagai saksi untuk kes bunuh yang melibatkan anaknya. Kes yang pernah menjadi tajuk-tajuk utama berita tahun lalu. Sempat dia menunjukkan keratan akhbar di dalam telefon bimbitnya.

"TEMAN LELAKI BUNUH ANAK DAN TANAM MAYAT"

Katanya dia redha dengan apa yang telah berlaku dan menerima segala ketentuan itu. Anaknya itu didera sehingga meninggal.

Teringat saya dengan anak-anak saya. Saya mungkin tidak dapat merasakan apakah yang dirasainya. Namun sebagai seorang bapa saya faham akan perasaannya.

Sebelum saya beredar saya mengucapkan selamat dan semoga keadilan akan berpihak kepadanya. Setidak-tidaknya jika itu dapat melegakan gelodak hati yang terbuku di dalam hatinya.

No comments:

Post a Comment