Thursday, July 27, 2017

Kupasan Kes 'Bin Abdullah' - Bahagian 2

Bahagian 2 - Adakah Jawatankuasa Fatwa Johor Ada Mengeluarkan Fatwa berkenaan dengan Anak Tidak Sah Taraf?

Dalam dapatan Mahkamah Rayuan tidak terdapat apa-apa bukti bahawa Jawatankuasa Fatwa Johor yang ditubuhkan mengikut Fasal 46(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 ada menyediakan atau mengeluarkan apa-apa fatwa berkenaan dengan isu anak tidak saf taraf ini. Fasal 47 menyatakan seperti berikut:

Fasal 47. Kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk menyediakan fatwa.
“Tertakluk kepada seksyen 51, Jawatankuasa Fatwa hendaklah, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan oleh mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, menyediakan suatu fatwa atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau yang menimbulkan ketidaktentuan berhubungan dengan Hukum Syarak.”

Sesuatu fatwa itu, sekiranya disediakan hanya akan mengikat setiap warga negeri Johor yang beragama Islam sekiranya memenuhi kehendak pasal Fasal 49 iaitu:

Fasal 49. Fatwa yang disiarkan atau dimaklumkan adalah mengikat.
(1) Apabila mana-mana fatwa telah disiarkan atau dimaklumkan, maka fatwa itu hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Johor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia telah mendapat kecualian oleh Jawatankuasa Fatwa berdasarkan Hukum Syarak.

(2) Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam Negeri Johor tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.

Mahkamah juga mengatakan bahawa tidak terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah menerima pakai nasihat atau pun syor oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sepertimana yang diperuntukan pada Fasal 52 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003:

Fasal 52. Menerima pakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

(1) Jawatankuasa Fatwa bolehlah menerima pakai apa-apa nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang menyentuh perbuatan atau amalan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Raja-Raja merupakan perbuatan atau amalan yang meliputi seluruh Persekutuan menurut Fasal 2(b) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

(2) Nasihat atau syor yang diterima pakai menurut kuasa subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai fatwa dan seksyen 48, kecuali subseksyen 48(7), hendaklah terpakai baginya.

(3) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertakan dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

Oleh yang demikian jelas bahawa undang-undang atau pun fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan anak tidak taraf ini tidak pula diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang mana ianya tidak menjadi satu undang-undang yang mengikat mana-mana rakyat Negeri Johor yang beragama Islam.

Jadi mengatakan bahawa fatwa ini mengikat rakyat negeri berkenaan adalah perkara yang khilaf.

Saya kira penerangan saya yang tidak seberapa ini boleh melapangkan dada kawan-kawan sekalian. Disebabkan itulah diposting awal saya tadi saya mengatakan bahawa saya bersetuju dengan dapatan oleh Yang Arif-Yang Arif Hakim Mahkamah Rayuan ini. Cumanya tajuk yang diberikan oleh media agak boleh mencetuskan kekeliruan dan kegusaran.

No comments:

Post a Comment