BAB 2
Motor jenis Honda C70 itulah yang menjadi nadi bagi mereka sekeluarga untuk bergerak ke mana-mana. Itu sahaja yang termampu oleh Din Hitam. Hendak merasa naik kereta sebulan sekali pun belum tentu lagi. Pendapatan dia pun tidak menentu. Macam mana hendak memiliki kereta. Kantung duitnya bergantung kepada upah-upah kerja yang diambil daripada orang-orang kampungnya atau di kawasan sekitar.
Kalau banyak kerja maka banyaklah yang dia dapat. Ada masanya upah yang dia dapat untuk sehari kerja bolehlah bertahan untuk sehari dua. Tapi selalunya upah harian yang dia dapat hanya dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga untuk hari itu sahaja. Ibaratnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Menyesal pula masa muda-muda dahulu dia tidak mendengar nasihat orang tuanya supaya rajin sikit belajar. Din Hitam bukannya tidak pandai. Selalu sahaja semasa di zaman sekolah rendahnya guru-guru sekolahnya selalu sahaja memuji kerja-kerja sekolahnya.
Tetapi sebagai seorang budak kampung persekolahan itu hanyalah buat syarat sahaja. Sebab itulah Din Hitam tidak bersungguh sangat semasa di persekolahan dahulu. Lagi pun fikiran budak-budak apa sangatlah yang hendak difikirkan pada benda-benda yang serius contohnya tentang masa depan dan sebagainya.
Apa yang lebih utama pada dia adalah rutin hariannya selepas pulang daripada sekolah. Mengail ikan. Habis segala pelusuk kampungnya Din Hitam redah. Di mana sahaja orang bilang adanya lubuk ikan akan sampailah jejak Din Hitam ke tempat tersebut tanpa lengah. Itulah penangan ketaksuban dan kegilaan Din Hitam pada aktiviti mengail.
Tapi cuma satu sahaja tempat yang orang kata adanya juga lubuk ikan yang sampai kesudah Din Hitam tidak berani menjengah. Telaga Dewa itu. Setakat lalu di tepi kawasan telaga itu adalah tetapi kalau sampai hendak betul-betul masuk ke dalam kawasan di mana terletaknya telaga tersebut memang tidaklah. Jadinya Din Hitam pun tidak dapat mengesahkan samada betul atau tidak Telawa Dewa itu menjadi lubuk ikan puyu.
Cerita ini pun dia hanya dengar daripada kawannya Mat Usop semasa mereka budak-budak dahulu. Sejak Mat Usop ke Kuala Lumpur lima tahun dulu Din Hitam pun tidak lagi mendengar perkhabaran tentang kawan sekampugnya itu. Kali terakhir dia dengar khabarnya Mat Usop sudah jadi driver lori tanah.
Pelik pun ada bila dia mendengar cerita itu. Tidak tahu samada cerita yang dia dengar itu betul atau pun sebaliknya. Bukannya apa setahu Din Hitam hendak menunggang motosikal pun Mat Usop tidak pernah tahu inikan pula hendak memandu lori tanah. Bukan calang-calang orang boleh memandu lori tanah. Getus hati Din Hitam bila mendengar cerita pasal kawannya itu.
Pernah dahulu dia bertanya dengan Mat Usop macam mana dia tahu yang Telaga Dewa itu lubuknya ikan puyu.
“ Mana hang tau telaga tu lubuk ikan puyu Mat Usop?” tanya Din Hitam suatu hari semasa mereka berdua tengah mencabut anak-anak semalu di padang sekolah sebagai ‘upah’ kerana tidak boleh menghafal sifir.
“Tok Ngah aku yang habaq. Dia kata dulu dia pernah pi mengail dekat situ. Ikan puyu besaq telapak tangan orang tua.”
Terpaku sejenak Din Hitam bila mendengar Mat Usop berkata begitu. Sudah terbayang ikan-ikan puyu yang sebesar tapak tangan orang dewasa yang dia dapat. Ikan-ikan puyu tersebut kemdiannya Din Hitam bawa balik dan akan dijadikan pekasam. Ikan puyu yang besar sebegitu memang sesuai untuk dibuat pekasam. Selebihnya ikan-ikan puyu itu akan dibuat goreng sahaja. Sedap dimakan panas-panas dengan nasi berlapikkan dengan kicap manis.
“Tapi Tok Ngah aku pesan jangan la dok pi situ..” sambung Mat Usop tiba-tiba.
“ Pasai apa pulak?” Ada sedikit nada tidak puas hati pada pertanyaan Din Hitam itu.
“ Dia kata lepas dia balik dari mengail ikan di Telaga Dewa tu dia demam panas seminggu. Dia syak sebab dia pi mengail dekat situ. Keras tempat tu. Ada yang jaga.”
Terus terbantut niat Din Hitam itu. Marah pun ada bila dia mendengar Mat Usop berkata macam itu. Kalau sudah tidak boleh mengail di situ baik jangan dikhabarkan kepada dia. Buang masa sahaja dia berangan-angan tadi.
Itu cerita beberapa puluh tahun yang lalu semasa mereka masih lagi kanak-kanak. Tapi bila Din Hitam fikir-fikirkan balik apa yang Mat Usop cerita tentang Tok Ngahnya yang demam selepas balik daripada mengail di Telaga Dewa itu Din Hitam akan tersenyum sinis sendirian. Panjang akal betul Tok Ngah Mat Usop.
Sengaja dia mereka-reka cerita kononnya tempat itu keras dan ada penjaga. Walhal untuk mengelakkan orang lain daripada pergi mengail di lubuk ikan puyu itu. Alihnya lubuk ikan puyu itu akan menjadi miliknya seorang sahaja. Tidak akan dikongsi oleh kaki-kaki mengail yang lain di kampung itu.
Persoalannya sekarang jika betul apa yang Din Hitam fikir itu kenapa sampai ke hari ini dia tidak berani masuk ke dalam kawasan Telaga Dewa itu? Kenapa dia tidak berani untuk mengail di Telaga Dewa yang dikatakan lubuk ikan puyu? Persoalan itu kadang-kala bermain di benak fikiran Din Hitam. Takutkah Din Hitam?
Kalau Din Hitam ini seorang penakut mustahil tiga bulan lepas dia sanggup mengambil upah memindah kubur-kubur lama daripada kampung sebelah. Kubur-kubur yang lebih lama daripada usianya itu. Dari siang ke malam dia menggali dan memindahkan kuburan tersebut dengan beberapa orang yang lain. Khabarnya kubur-kubur tersebut terpaksa dipindahkan ke kawasan perkuburan yang baharu kerana tanah berkenaan termasuk dalam laluan untuk pembinaan jalanraya yang baharu.
Kalau Din Hitam ini seorang penakut mustahil tiga bulan lepas dia sanggup mengambil upah memindah kubur-kubur lama daripada kampung sebelah. Kubur-kubur yang lebih lama daripada usianya itu. Dari siang ke malam dia menggali dan memindahkan kuburan tersebut dengan beberapa orang yang lain. Khabarnya kubur-kubur tersebut terpaksa dipindahkan ke kawasan perkuburan yang baharu kerana tanah berkenaan termasuk dalam laluan untuk pembinaan jalanraya yang baharu.
Din Hitam sendiri pun tidak mempunyai jawapan kepada persoalannya itu.
No comments:
Post a Comment