Friday, June 17, 2016

Penghantaran Pulang Segera

Kebiasaannya jika saya mewakili anak guam warga asing atau PATI yang dituduh dibawah Seksyen 6(1)(c) atau Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 saya akan membuat rayuan mitigasi kepada Mahkamah Yang Mulia untuk hukuman pemenjaraan yang tidak begitu lama tempohnya.

Tempoh pemenjaraan yang lama kepada warga asing ini adalah satu perkara yang merugikan kerajaan. Banyak kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan dalam menampung banduan-banduan pesalah Imigresen ini disamping banduan-banduan tempatan di penjara seluruh negara.

Selepas menjalani hukuman penjara mereka ini akan dihantar ke depoh-depoh tahanan untuk menunggu penghantaran pulang ke negara asal masing-masing. Yang mana kos-kos ini juga ditanggung oleh pihak kerajaan melalui wang kita. Para pembayar cukai.

Itu antara intipati rayuan mitigasi saya. Untuk mereka ini dapat segera dihantar pulang. Bukan menidakkan hak kerajaan untuk menghukum mereka atas kesalahan yang mereka lakukan. Yang salah tetap perlu dihukum. Cumanya kalau dipendekkan jangka masa menanggung mereka maka kosnya akan sedikit berkurangan.

Tetapi agak sedikit sukar apabila melibatkan PATI daripada etnik Rohingya. Mana mungkin saya boleh memohon untuk menghantar mereka ini pulang segera ke negara asal, Myannmar. Menghantar mereka pulang seolah-olah menghantar mereka ke neraka.


No comments:

Post a Comment