Wednesday, June 1, 2016

Pen-Pal

Saya membesar di zaman yang mana komputer dan internet itu adalah satu perkara yang masih asing. Semasa saya dibangku sekolah rendah wujudnya satu trend di mana kawan-kawan sebaya di masa itu galak mempunyai pen-pal. Kenalan yang kebiasaannya adalah daripada luar negara.

Jadi saya juga tidak ketinggalan untuk turut mempunyai pen-pal. Terasa begitu gah sekiranya mempunyai pen-pal ini. Apatah lagi bagi anak-anak kampung seperti saya dan rakan-rakan persekolahan yang lain.

Dapat menayangkan surat yang bercop dan bersetem daripada luar negara kepada rakan-rakan sekelas yang lain adalah satu kepuasan dan kebanggaan yang tidak dapat digambarkan. Seolah-olah mendapat sijil penghargaan lagak dan gayanya. Itu pada padangan seorang budak sekolah darjah lima era awal 90-an.

Apabila seorang rakan sekelas membuka order untuk mendapatkan kenalan pan-pal ini saya terus laju berjumpa dengannya. Saya jadi makin teruja bila dia menyerahkan saya satu keping kertas besar yang mempunyai kod-kod negara. Disuruhnya saya memilih dari negara manakah saya mahu mendapatkan seorang pen-pal.

Saya kemudiannya memilih untuk mendapatkan seorang pen-pal dari negara Jerman. Dan semestinya juga seorang perempuan. Sifat semulajadi seorang lelaki. Lebih tertarik kepada jantina yang berlawanan.

Kenapa saya memilih seorang pen-pal dari negara Jerman? Memandangkan pada masa itu penguasaan bahasa Inggeris saya hanya pada tahap sederhana sahaja maka saya fikir elok sekiranya saya memilih pen-pal daripada negara yang bukan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai mother tongue. Jadi tidaklah saya agak kekok nanti. Maklumlah ini adalah percubaan kali pertama saya untuk berkomunikasi dengan orang dari luar Malaysia.

Setelah membuat pembayaran kepada rakan saya itu beberapa minggu kemudiannya saya telah diberikan dengan satu maklumat yang tertera nama dan juga alamat bakal pen-pal saya itu. Hati saya melonjak kegembiraan. Tak sabar untuk menunggu loceng berbunyi untuk pulang. Saya telah bercadang untuk menyiapkan surat saya pada petang ini juga. Sengaja saya tidak menulis surat tersebut pada waktu persekolahan.

Saya perlukan mood dan suasana yang tenang untuk menulis surat ini memandangkan ini merupakan warkah pertama yang bakal saya titipkan kepada seorang gadis warga Jerman. Ini bukan perkara main-main. Mata Ayer dengan Jerman bukannya satu jarak yang dekat.

Jiwa saya perlukan ketenangan supaya saya boleh mendapat idea untuk mengarang ayat-ayat yang boleh membuatkan gadis Jerman tersebut merasa sangat teruja ketika membaca warkah saya itu. Warkah yang saya akan tulis dengan sepenuh hati saya.

Balik ke rumah tengahari itu saya terus tidak membuang masa. Ayam goreng yang sedia terhidang dalam tudung saji agak tidak menarik minat saya pada hari itu. Saya ada misi yang lebih penting. Ya. Lebih penting daripada ayam goreng yang menjadi kesukaan saya itu.

Dalam keadaan tenang saya capai beberapa helai kertas kajang bersaiz A4 dan mula menulis.

    Hi there. My name is Mohammad Hafiz and I am from Malaysia….

Segala teknik-teknik penulisan yang cikgu Bahasa Inggeris saya ajar saya cuba untuk praktikkan dalam penulisan surat ini. Saya cuba menulis untuk tidak melebihi 80 patah perkataan. Itu pun saya rasa sudah cukup panjang. Beberapa kali juga saya berhenti untuk cuba memikirkan ayat-ayat Bahasa Inggeris yang cikgu saya pernah ajar di dalam kelas. Setelah berhempas pulas akhirnya siaplah surat yang bakal saya kirimkan kepada pen-pal saya itu.

Langkah yang terakhir adalah mengirimkan surat tersebut ke German. Memandangkan hari pun sudah hampir petang maka terpaksalah saya menunda rancangan saya itu ke keesokan hari. Dalam pada itu saya membuat perancangan. Sebaik sahaja habis sesi persekolahan esok saya akan terus mengayuh basikal ke Pejabat Pos Mata Ayer yang terletak tidak jauh daripada sekolah saya.

Keesokannya setelah mendengar sahaja deringan loceng terakhir saya terus bergegas keluar daripada bilik darjah. Saya harus segera ke pejabat pos. Lagi cepat perkara ini diselesaikan lagi elok. Sejak daripada masuk ke kelas pagi tadi saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Fikiran saya hanya berlegar-legar untuk cepat menitipkan warkah ini.

Perjalanan saya ke pejabat pos tidaklah mengambil masa yang lama memandangkan jaraknya hanya lebih kurang tiga kilometer daripada sekolah saya sahaja. Sampai sahaja di dalam kawasan pejabat pos saya terus menongkat basikal chopper saya. Perasaan takut pun ada juga memandangkan saya tidak tahu bagaimana urusan penghantaran surat sebegini dilakukan. Ini pengalaman pertama saya.

Ada dua kaunter yang dibuka untuk urusniaga. Saya kira ada beberapa orang pelanggan yang terdiri daripada warga emas sibuk untuk mengeluarkan wang ASB mereka. Mungkin untuk buat berbelanja barangan dapur barang kali. Saya kemudiannya ke satu kaunter yang kosong dan bertanya kepada abang yang duduk di belakang kaunter tersebut.

“ Bang, saya nak hantaq surat pi luar negara,” maklum saya sambil tersengih kepada abang penjaga kaunter yang bercermin mata itu.

“Nak hantaq pi mana?” tanya dia membalas. Hendak tak hendak sahaja gayanya.

“Hantaq pi Jerman bang..Jerman,” sengaja saya kuatkan dan ulang lokasi surat yang bakal saya titipkan itu. Setakat pos surat ke Kuala Lumpur apalah sangat. Surat saya ini hendak dihantar ke Jerman. Saya berkata dalam di dalam hati.

Sambil-sambil itu saya sempat jeling ke sebelah. Nampaknya makcik yang sedang berurusan di kaunter sebelah seolah-seolah tidak mengendahkan saya pun. Langsung tidak ada nampak kagum pada riak mukanya. Sibuk mengira duit ditangannya yang baharu diserahkan oleh kakak petugas kaunter.

Abang penjaga kaunter itu pun menimbang berat surat saya tersebut sebelum memaklumkan kepada saya jumlah yang perlu saya bayar untuk kos penghantaran secara air-mail ini. Duit kertas bercampur dengan beberapa kepingan syiling saya serahkan kepada abang penjaga kaunter tersebut sebagai pembayaran untuk urusan pengeposan tersebut.

Mujur cukup wang yang saya bawa pada masa itu. Kalau tidak mungkin saya akan pulang dengan hampa kerana gagal untuk menyelesaikan urusan pengeposan tersebut. Sia-sia sahaja.

Saya melangkah keluar daripada pejabat pos itu dengan hati yang berbunga-bunga. Sudah selesai urusan saya untuk berhubung dengan pen-pal saya itu. Sekarang apa yang saya perlu lakukan hanyalah menunggu dia membalas kembali warkah yang saya titipkan itu.

Akibat terlalu seronok saya pula terlupa untuk bertanya kepada abang penjaga kaunter itu berapa lamakah anggaran untuk surat tersebut sampai ke destinasinya. Tidak apa. Saya tidak kisah. Janji warkah tersebut sampai kepada pen-pal saya. Itu yang penting.

Selepas daripada hari itu saya menunggu dengan penuh harapan. Menunggu ketibaan surat yang diutuskan kepada saya daripada Jerman. Hari demi hari berlalu begitu sahaja. Namun ianya tidak pun kunjung tiba. Hampa. Saya tidak tahu di manakah silapnya surat saya itu? Adakah kerana saya tidak menulis;

Pecah kaca, pecah gelas
Sudah baca harap balas.

Saya masih sabar menanti. Agaknya apa khabar pen-pal saya itu. Dah ada anak berapa rasanya?



No comments:

Post a Comment