Tuesday, June 7, 2016

Patut Kurus

Minggu lepas ibu kepada anak guam saya memaklumkan kepada saya bahawa anaknya itu tidak dapat dihubungi dan dikesan. Anak guam saya itu baru mencecah umur 18 tahun dan duduk di luar bersama-sama rakannya. Ibunya itu turut memaklumkan bahawa besar kemungkinan anaknya itu ditangkap polis. Ini diberitahu oleh rakan serumah anaknya itu kepadanya semasa dia datang ke rumah sewaan anaknya itu.

Hari ini sebaik sahaja saya memasuki ruang bicara mahkamah saya lihat dia ada duduk di galeri awam. Lega. Patutlah dalam dua tiga hari ini ibunya tidak menghubungi saya. Saya kemudiannya memanggil dia dan ibunya untuk memaklumkan berkenaan dengan kesnya. Ini kerana hari ini telah ditetapkan untuk bicara. Sambil bersembang dengan ibunya saya beralih kepada anak guam saya itu.

"Hari tu kena tangkap ke?"

Dia hanya mengangguk. Rupanya memang betul pun dia ditahan. Kantoi menggunakan dadah jenis syabu. Memang tidak padan dengan umurnya yang muda. Layak umur sebegitu hanya bergelumang dengan ganja sahaja. Syabu dan dadah sintetik lain seperti heroin bukan permainan anak-anak muda macam dia.

Saya tinggalkan dia dan ibunya sebentar untuk menyelesaikan kes saya yang ditangguh di mahkamah tinggi. Sebelum beredar saya pegang perut dia.

"Patut kurus. Orang makan nasik yang hang makan batu. Macam mana nak gemuk.."

No comments:

Post a Comment