Friday, May 27, 2016

Sekolah Undang-Undang

Semasa di sekolah undang-undang saya langsung tidak menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang peguam. Pengajian saya dalam bidang undang-undang bukanlah pilihan saya tetapi lebih kepada pilihan ayah saya. Ianya sama sekali bukan bidang yang pernah saya impikan.

Semasa minggu pertama di pusat matrikulasi seorang pensyarah telah menanyakan satu soalan cepu emas kepada saya dan juga para pelajar yang lain di dalam kelasnya itu. Sesiapa yang memasuki bidang undang-undang ini bukan kerana pilihannya sendiri disuruh mengangkat tangan.

Laju sekali saya mengangkat tangan saya tatkala selesai sahaja pensyarah tersebut menanyakan soalan tersebut kepada seluruh kelas. Saya lihat beberapa pelajar yang lain turut mengangkat tangan juga.

Pensyarah tersebut  menerangkan bahawa bidang pengajian undang-undang ini bukanlah semestinya menuntut setiap lulusanya menjadi seorang peguam. Tetapi ianya merupakan satu platform kepada bidang-bidang lain. Saya hanya mengangguk. Entah betul atau tidak. Mungkin sekadar untuk memancing minat para pelajarnya sahaja fikir saya dalam hati.

Sepanjang beberapa semester pengajian apabila pulang bercuti ayah saya masih cuba memupuk minat saya untuk meneruskan pengajian di sekolah undang-undang. Kata ayah saya, "Takpa la belajar la law ni bagi habis. Esok-esok bila dah habis nak kerja apa pun takpa".

Kata-kata itu saya pegang. Sekurang-kurangnya jika itu kehendak ayah saya akan saya tunaikan sebaik mungkin. Apalah sangat permintaan dan kemahuan itu jika dibandingkan oleh pengorbanan kedua orang tua saya selama ini dalam membesar dan mendidik saya. Saya akan habiskan pengajian saya dalam bidang undang-undang ini. Janji saya pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment