Monday, May 23, 2016

Semangat Yang Hilang

Bila hampir genap 7 bulan latihan dalam kamar (chambering) perasaan bosan mula melanda diri saya. Mungkin kerana kerja-kerja yang pada awalnya dahulu menarik minat saya tidak lagi terasa menarik memandangkan ianya telah menjadi rutin harian. Jiwa idealis saya memberontak.

Meronta-ronta. Mahukan sesuatu yang saya rasa mencabar atau pun excited pada jiwa muda saya pada masa itu.

Dunia peguam bukanlah dunia yang patut saya teruskan. Fikir saya. Saya telah nekad untuk tidak terus bergelumang dengan dunia yang saya rasakan tidak kena dengan jiwa saya ini.

Saya kemudiannya dengan penuh perasaan dan semangat yang berkobar-kobar telah membuka halaman online SPA dan mengisi permohonan untuk jawatan sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik.

Tatkala menekan butang pada tetikus perasaan meluak-luak untuk keluar daripada kepompong dunia peguam ini. Saya rasa memang ini pilihan kerjaya yang bersesuaian dengan saya.

Pegawai Tadbir Diplomatik. Namanya pun kedengaran agak catchy dan style. Puas betul bila saya menekan butang pada tetikus tersebut. Seolah-seolah segalanya saya lepaskan dalam gerak jari saya yang menekan butang tersebut.

Sehinggalah tidak berapa lama kemudiannya saya pun menerima satu surat panggilan untuk menghadiri peperiksaan bertulis peringkat satu. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan bahawa terdapat beberapa peringkat peperiksaan yang lainnya selepas ini. Setiap calon perlu mendapat markah yang ditetapkan sebelum boleh melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Peperiksaan tersebut diadakan di sebuah hotel di pinggir Chow Kit. Semasa sampai untuk mendaftar diri saya lihat begitu banyak sekali calon yang hadir. Masing-masing penuh teruja dan ada yang tidak lekang membaca buku rujukan untuk minit-minit terakhir. Penuh semangat sekali.

Selepas itu para calon dipanggil masuk ke sebuah dewan untuk menjalani peperiksaan bertulis sesi pertama. Saya mula membaca dan memahami setiap soalan yang terdapat dalam kertas tersebut. Dan saya cuba habiskan semampu yang boleh. Namun saya lihat calon-calon lain begitu bersungguh-sungguh menjawab kertas soalan mereka.

Sebenarnya semasa itu saya sudah pun melepasi tempoh latihan dalam kamar saya dan telah pun dipanggil masuk ke Bar. Perasaan saya semasa mula-mula mengisi borang permohonan dulu sudah pudar.

Saya merasakan bahawa dunia peguam ini penuh dengan tarikan pula. Pelik bagaimana perasaan yang sebgini boleh pula ada dalam diri saya. Sebelum ini tidak pula begitu.

Jadinya panggilan untuk peperiksaan itu saya hadiri hanya sebagai syarat sahaja. Alang-alang dipanggil. Sebab itulah perasaan saya dan semangat saya semasa menghadiri peperiksaan pada hari itu tidak seperti para calon yang lain.

Yang membuatkan saya tidak keberatan sama untuk menghadirinya pada hari tiu adalah kerana lokasinya yang diadakan di Kuala Lumpur International Hotel, Chow Kit.

Bukannya apa, boleh saya membeli buah kegemaran saya iaitu buah salak yang didatangkan khas daripada Medan, Indonesia itu.

Tengahari itu ketika para calon lain sibuk membuat persediaan untuk sesi seterusnya saya sebaliknya mengambil masa yang terluang itu berjalan kaki menyelusuri lorong-lorong kecil menghala ke Pasar Chow Kit. Membeli buah kesukaan saya itu.

Nampaknya jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik itu bukanlah kerjaya yang cocok buat saya kata saya kepada diri sendiri sambil mulut saya penuh mengunyah buah salak yang sudah ke berapa biji itu.

No comments:

Post a Comment