Thursday, May 26, 2016

Ke Jepun

Usai kes di mahkamah tinggi saya bergegas ke mahkamah sesyen yang terletak di bangunan bersebelahan.

Anak guam saya seramai tiga orang baharu sahaja dibawa daripada IPD untuk dipertuduhkan di mahkamah. Ketiga-tiga mereka masih dalam keadaan terpinga-pinga. Salah seorang sempat bertanya saya samada dia akan dibebaskan pada hari ini.

Saya maklumkan kepadanya jika sudah dibawa ke mahkamah untuk dipertuduhkan di mahkamah hanya ada dua sahaja pilihan yang dia ada. Samada membuat pengakuan salah atau pun tidak. Sekiranya pengakuan salah dibuat maka hakim akan terus menjatuhkan hukuman pemenjaraan.

Sekiranya pengakuan salah tidak dibuat mahkamah akan menetapkan kes ini untuk dibicarakan dan pendakwaraya akan menawarkan jaminan. Selepas dijamin mereka boleh pulang sementara menunggu sebutan kes mereka kelak.

Jadinya ketiga-tiga memilih untuk tidak mengaku bersalah setelah diterangkan dan dinasihati oleh saya.

Ketiga-tiga mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Mereka ditangkap ketika ingin berlepas ke Jepun. Saya bertanya kepada mereka apa pekerjaan mereka. Mereka menjawab tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Mereka sebelum ini ditawarkan untuk pergi ke Jepun oleh seorang lelaki yang kemudiannya memberikan mereka masing-masing 12 keping kad kredit jenis American Express ini untuk digunakan di Jepun kelak. Segala berbelanjaan ditanggung semuanya.

Siapa yang tidak hendak kalau dapat peluang sebeginikan. Tapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu. Mereka hanya dijadikan sebagai 'keldai' untuk menjalankan transaksi haram. Kesannya mereka yang menanggung. Seperti ketiga-tiga anak guam saya ini. Menjadi mangsa sindiket kad kredit palsu yang menjalankan operasi di luar negara.

Keseronokan yang diharapkan tetapi ke kecelakaan yang menimpa.

No comments:

Post a Comment