Wednesday, May 25, 2016

Penantian

Sepanjang minggu ini jadual kes saya telah ditetapkan untuk satu perbicaraan di mahkamah tinggi. Yang mana dalam kes ini anak guam saya telah dituduh dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Anak guam saya ini telah ditahan reman semenjak penghujung tahun 2014 yang mana jika dicongak sudah lebih setahun setengah dia di Penjara Sungai Buloh.

Namun apakan daya perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan berjalan sepanjang minggu ini terpaksa ditangguhkan ke hujung bulan September. Ini merupakan penangguhan perbicaraan yang kedua kali.

Namun anak guam saya dan saya sendiri akur akan keadaan ini. Ini kerana terdapat kes-kes yang lebih lama yang perlu diberikan priority. Terdapat lambakan kes-kes capital punishment yang menunggu untuk dibicarakan di mana-mana mahkamah pun. Di Mahkamah Tinggi Shah Alam sendiri terdapat sebanyak lapan Mahkamah Tinggi Jenayah yang mengendalikan kes-kes jenayah.

Sebelum beredar saya sempat berbual dengan seorang ahli kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia. Katanya ada kes-kes dalam kendalian dia yang selama tahun 2011 yang masih belum dibicarakan pun ada. Tercengang saya seketika.

Teringat saya pada satu ketika pada pertengahan tahun lepas di mana saya menghadiri satu kes yang lain di satu mahkamah tinggi. Bila jurubahasa mahkamah memberikan tarikh untuk perbicaraan terkejut beruk si tertuduh. Manakan tidaknya. Tarikh yang diberikan oleh mahkamah untuk perbicaraan kes tersebut adalah pada pertengahan tahun 2017. Nampaknya terpaksa menunggu lagi untuk setahun ke dua tahun untuk hari perbicaraan berjalan.

Sekurang-kurangnya bagi kes saya ini tarikh masih diberikan pada tahun ini. Harapnya pada tarikh hadapan kes anak guam saya ini boleh dijalankan. Mudah-mudahan.


No comments:

Post a Comment