Tuesday, May 3, 2016

Keramat Telaga Dewa

BAB 1

Balik sekolah tadi semasa melintas di hadapan kawasan tanah terbiar yang dipenuhi dengan semak samun dan anak-anak pokok petai belalang itu Faiz ternampak lagi kelibat lelaki tua mundar mandir dalam kawasan tersebut. Tak tahu apa yang dibuatnya di situ. Masuk hari ini sudah hampir seminggu Faiz nampak kelibat lelaki tua itu.

Faiz tidak pasti siapa lelaki tua itu atau pun daripada mana dia datang. Masakan Faiz tidak kenal kalau orang itu orang kampungnya atau pun orang luar yang selalu ulang alik masuk ke kampungnya.


Walaupun umur Faiz baharu 9 tahun serba serbi hal ehwal kampung tersebut ada dalam tangan Faiz. Manakan tidak kerana Faiz memang dilahirkan dan dibesarkan di kampung tersebut. Kampung Telaga Dewa. Celik-celik mata sahaja memang kampung itu sahaja alam kehidupannya.

Bila mula-mula tahu tentang nama kampungnya itu Faiz tidak tahu apa-apa sangat. Dia pun tak mengerti apa maksud nama kampungnya itu. Apabila masuk ke sekolah Tadika Kemas yang terletak dalam kampung itu baharulah Faiz faham tentang nama kampungnya itu. Itu pun setelah Faiz bertanya kepada cikgu Marni, cikgu tadika kemasnya itu.

Selepas itu semasa ayahnya datang mengambil Faiz di sekolah Tadikanya Faiz langsung bertanya kepada ayahnya itu. Faiz senang bertanya dengan ayahnya sebab ayahnya rajin melayan segala pertanyaan Faiz.

"Pasaipa kampung ni nama Kampung Telaga Dewa?" tanya Faiz ketika dia membonceng motosikal honda c70 dengan ayahnya.

Menurut kata ayahnya pada suatu masa dahulu ada sebuah telaga di kampung tersebut. Semasa kampung itu dibuka penduduk -penduduk terawal mendapati telaga tersebut telah wujud dari awal lagi. Tak tahu siapa yang menggali atau empuny kepada telaga tersebut. Oleh yang demikian telaga tersebut digunakan secara bersama oleh penduduk kampung.

Apa yang menarik berkenaan dengan telaga tersebut adalah kerana walaupun pada musim kemarau yang panjang air telaga tersebut tidak pun pernah kering atau pun surut.

Disebabkan itu bukan hanya setakat penduduk kampung sahaja yang menggunakan telaga tersebut bila musim kemarau bahkan penduduk-penduduk daripada kampung-kampung yang berhampiran pun turut mengambil manfaat ke atas telaga tersebut.

Daripada situ timbullah cakap-cakap mulut orang yang menggelar telaga tersebut dengan telaga dewa. Orang-orang pada zaman dahulu memang tak lekang dengan kepercayaan mistik dan mitos sebegini. Belum masuk bab-bab ritual khurafat yang lain lagi.

- BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment