Thursday, April 21, 2016

Cerita Kilat

Bila bercerita pasal kilat saya teringat dengan cerita Arwah Pak Bakaq dulu.

Arwah Pak Bakaq adalah jiran sekampung dengan saya. Rumahnya pun memang terletak sangat dekat dengan rumah saya. Sementelah itu juga Arwah Pak Bakaq juga adalah kawan ayah saya. Sama-sama satu sekolah Melayu dulu. Sekarang saya dengan anak-anaknya pula yang menjadi kawan. Menyambung persaudaraan yang sedia terjalin sejak dahulu.

Dengar ceritanya arwah Pak Bakaq dulu masuk askar. Seingat saya bila saya berpindah ke kampung itu Arwah Pak Bakaq sudah pun berhenti kerja askar. Dia kerja menjadi pengawal keselamatan di ladang tebu. Siapa yang pernah ke Padang Besar Perlis mesti akan melalui kawasan ladang tebu tu. Memang luas. Seluas mata memandang. Arwah Pak Bakaq pernah memberitahu saya di dalam tu memang siap ada babi hutan duduk beranak pinak.

Orang yang kerjanya sebagai pengawal keselamatan ini macam-macam cerita yang mereka ada. Salah satu cerita yang Arwah Pak Bakaq pernah ceritakan kepada saya adalah berkenaan dengan satu surau di kawasan tempat kerjanya.

Pekerja-pekerja di situ selalu mendengar suara orang menangis meminta tolong pada masa-masa tertentu. Terlolong-lolong sayu. Memang ngeri la juga kalau sedang bersembahyang malam-malam dan tiba-tiba boleh pula ada suara menangis meminta tolong. Sudah la kawasan tersebut berdekatan dengan kawasan hutan pula. Boleh mencanak bulu tengkuk naik. Seram.

Bila dipanggil orang yang pandai dan tahu bab-bab ini untuk tengokkan pasal kejadian itu rupanya suara tersebut datangnya daripada jin yang telah dipanah dengan petir. Katanya.

Itu yang dia dok meraung sakan meminta tolong. Bila sudah kena panah tu memang dia sudah tak boleh nak ke mana la. Itu yang stuck dekat kawasan tu. Menurut kata orang tersebut la. Tak tahu samada betul atau tidak.

Saya pun dengar Arwah Pak Bakaq cerita masa dia lepak-lepak tolong kenduri di rumah saya pada suatu masa tu. Dia memang selalu datang tolong kalau ada kenduri kendara. Tak pernah tak datang.

Kemudiannya pada satu petang beberapa tahun dahulu saya terima panggilan daripada ayah.

Dari corong telefon ayah memberitahu yang dia berada di bilik mayat hospital Kangar. Katanya Pak Bakaq dah meninggal. Kena langgar dengan kereta selepas dia baharu balik dari menghantar anak dia ke asrama. Motor dia dirempuh semasa dia ingin membelok untuk masuk ke simpang jalan kampung.

No comments:

Post a Comment