Friday, April 15, 2016

Orang Tua Bersembang

Selepas selesai urusan tukar nama Pak Hassan mengajak saya pergi minum. Bila semua sudah selesai barulah nak pekena teh pun seronok sikit. Sambil-sambil tu boleh juga bersembang apa yang patut dengan beliau. Saya sebenarnya memang langsung tidak mengenali Pak Hassan ini.

Ini pun disebabkan vespa tu. Pak Hassan ni rasanya saya boleh memanggilnya dengan panggilan tok wan kalau dilihat daripada fizikal dan raut wajahnya. Seorang yang agak tua juga. Vespa saya yang dibeli olehnya adalah untuk dia berikan kepada cucunya memandangkan cucunya itu berminat dengan vespa yang dia yang miliki sekarang. Vespa tu pun baru dibeli dengar ceritanya.

Walaupun saya tidak mengenali Pak Hassan tetapi dia ini kenal dengan arwah tok wan saya (al-fatihah untuk beliau). Mahunya dia tidak mengenali tok wan kerana dia tu adalah anak murid kepada arwah tok wan. Arwah tok wan dulu cikgu sekolah, jadinya tidak la pelik sangat kalau ramai orang kenal akannya. Saya masih ingat semasa arwah tok wan meninggal dulu banyak anak-anak murid dan kawan-kawan tok wan yang datang menziarah. Adat orang yang jenis suka berkawan macam itu la. Ramai kenalan di sana sini.

Hampir dekat dua jam juga saya duduk melepak dengan Pak Hassan tu. Macam-macam topik perbualan yang kebanyakannya berkenaan dengan benda-benda dan kisah-kisah klasik. Bila seorang orang tua dan seorang anak muda yang 'into' benda-benda lama ni duduk semeja topik perbualan yang sebegitu adalah paling sesuai dan santai.

Pak Hassan 'open table' hari tu. Sambil menunggu orang kedai hendak mengembalikan duit, Pak Hassan rapat ke saya sambil menghulur sekeping not warna merah. Disuruhnya saya ambil. Duit minyak katanya. Mulanya saya menolak dengan penuh hormat. Lagi pun apa sangatlah jarak dari rumah saya ke JPJ. Tidaklah sejauh mana pun. Namun Pak Hassan masih tetap menyuruh saya untuk mengambil juga pemberian tersebut.  

Kata Pak Hassan," Kalau ada duit sejuta pun kalau orang bagi dekat kita kena ambik. Tu rezeki kita. Jangan tolak rezeki yang datang sebab kita tak tahu lagi rezeki kita ke depan macam mana". Saya pun mengangguk sambil mencapai not berwarna merah itu. Memang betul pun ada yang dia cakap. Makan dalam juga ayat Pak Hassan tu.
 

No comments:

Post a Comment