Tuesday, April 19, 2016

Kenapa Kena Lantik Peguam?

Sebaik keluar dari kiosk saya disapa oleh seorang perempuan separuh umur. “Mahkamah Majistret dah bersidang ke?”. Tanya dia kepada saya dengan sopan. Saya memaklumkan bahawa mahkamah sedang bersidang memandangkan ada satu kes yang sedang dibicarakan di mahkamah majistret tersebut. Dia mengangguk-angguk faham dan memberitahu kepada seorang perempuan tua yang sudah berusia yang duduk bersama dengannya di meja bulat di luar kiosk tersebut. Menurutnya lagi mereka telah sampai ke mahkamah seawal jam lapan setengah pagi.

Memandangkan kes saya belum lagi dipanggil maka saya pun sambung berbual dengan perempuan tersebut. Saya bertanya balik kepadanya untuk urusan kes apa mereka datang ke mahkamah. Menurutnya kedatangan mereka ke mahkamah pada hari itu adalah untuk menghadiri kes anak perempuan tua itu. Anak perempuan tua itu telah ditangkap untuk kesalahan memiliki dadah dan telah pun direman selama beberapa hari.

Hari ini anak perempuan tua itu akan dibawa ke mahkamah dan akan dituduh. Mereka sendiri pun tidak pasti berkenaan dengan status kes tersebut. Mereka tidak pernah ke mahkamah dan tidak tahu langsung selok-belok berkenaan dengan hal-hal mahupun kes sebegini.

Alang-alang saya pun ada kes di mahkamah majistret yang sama maka saya pun meminta nama orang yang bakal dituduh itu untuk menyemak samada kes terhadapnya akan dibacakan dihadapan majistret yang sama. Semakan dibuat dengan pihak jurubahasa mahkamah. Anak perempuan tersebut memang akan dituduh di mahkamah tersebut.

Kesalahan memiliki dadah yang akan dipertuduhkan kepada anak perempuan tersebut adalah satu kesalahan yang boleh dijamin. Jadinya saya memaklumkan kepada mereka bahawa mereka boleh menjamin anak perempuan tua tersebut.

Jaminan yang akan diberikan adalah dalam bentuk wang ringgit yang mana pihak penjamin perlu membuka satu akaun bank yang baharu dan selanjutnya membuat penyerahan buku akaun tersebut kepada pihak Mahkamah sebelum mereka yang dituduh diberikan pelepasan untuk dilepaskan atas jaminan tersebut sementara menunggu kes selesai. 

Samada pengakuan salah dibuat pada hari ini atau pun tidak Mahkamah perlu mendapatkan laporan daripada Jabatan Kimia untuk jumlah berat bersih dadah berkenaan. Jadinya Mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan yang baharu kelak.

Kemudiannya anak perempuan tua tersebut pun dibawa masuk ke Mahkamah dan saya terus memaklumkan kepada mereka bahawa anak perempuan tua tersebut telah ada di dalam Mahkamah dan mereka boleh berjumpa dengan anaknya itu. Nampak kelegaan di muka masing-masing.

Tidak lama kemudian perempuan separuh umur tersebut keluar. Saya bertanya kepada samada mereka ada melantik peguam untuk kes tersebut. “Kenapa kena lantik peguam?” tanyanya lagi dengan penuh kehairanan.





No comments:

Post a Comment