Monday, April 18, 2016

Menumpang Teduh Pohon Akasia


Naskah travelog yang bertajuk Menumpang Teduh Pohon Akasia ini agak lambat saya miliki walaupun penulisnya adalah kenalan saya sendiri iaitu saudara Muhammad Suhail Ahmad. Akhirnya naskah ini saya dapatkan daripada sebuah kedai buku di sebuah pusat membeli belah.

Mungkin rezeki saya pada hari ini memandangkan sebelum ini di kedai buku yang sama saya ada menayakan berkenaan dengan buku ini namun dimaklumkan tidak ada dalam stok mereka. Tanpa berlengah naskah ini saya ambil bersama beberapa naskhah buku yang lain.

Menumpang Teduh Pohon Akasia membawa para pembaca turut serta dalam perjalanan penulis ke sebuah negara di benua Afrika, Somaliland. Sebuah negara yang masih belum diiktiraf dunia akan kewujudannya dalam peta dunia.

Sebelum menghabiskan naskah travelog ini saya langsung tidak mengetahui bahawa terdapatnya sebuah negara dengan nama Somaliland. Apa yang saya tahu hanyalah Somalia sahaja. Itu pun melalui pembacaan dan pengetahuan yang terhad berkenaan dengan negara-negara di benua Afrika itu.

Sebaik sahaja membuka lembaran pertama pembaca terus dibawa ke dalam pengembaraan ini. Perjalanan perniagaan yang pada awalnya dirancangan rupanya lebih daripada itu. Membuka mata penulis terhadap bagaimanakah Somaliland itu sebenarnya tanpa elemen-elemen negatif yang dipaparkan oleh media massa sebelum ini.

Pengalaman penulis bersama rakan beliau Akhmal selama beberapa hari di bumi Somaliland dicoretkan dalam naskhah ini secara bersahaja yang mana membuat saya tidak berasa bosan untuk membacanya.

Oleh sebab itu jugalah menelaah isi kandung travelog ini bagi saya hanya memakan masa selam dua jam sahaja. Betapa tarikan penceritaan yang cuba dikongsi oleh penulis membuatkan saya ralit menyelak halaman demi halaman sehinggalah ke halaman yang terakhirnya.

Sengaja saya tidak memberikan ulasan yang lebih memandangkan sahaya percaya travelog ini harus dibaca dan berada di tangan anda sendiri untuk anda mengalami apa yang saya katakan. Bak kata saudara Muhammad Suhail Ahmad sendiri dalam prakatanya

“Disebabkan hakikatnya, kita lebih mudah percaya dan yakin pada apa yang dilihat, dibaca dan dialami..”

Oleh itu alami sendirilah keseronokan membedah travelog ini. Jangan percaya dengan kata-kata saya sahaja.Tambahan lagi Menumpang Teduh Pohon Akasia adalah travelog interaktif. Anda boleh membaca sambil melihat sendiri pengalaman penulis di sana melalui rakaman video yang boleh discan menggunakan kod QR.

No comments:

Post a Comment