Tuesday, April 12, 2016

Manusia Itu

Seringkali saya melihatnya dulu semenjak zaman saya bersekolah. Saya namakan dia sebagai Desa sahaja. Dia sering mengayuh basikal tuanya dari rumahnya ke pekan dan juga kawasan-kawasan sekitar.

Dia sememangnya gila. Itulah fakta yang masyarakat tahu tentang manusia ini. Gila? Bunyinya agak kasar. Tapi itulah hakikatnya. Selain dari basikal yang menjadi tunggak aktiviti sehariannya, dia juga punya citarasa tentang penampilannya. Bertopi seperti yang dipakai oleh anak-anak muda hip hop dan yang penting sekali dia tidak pernah lekang dengan headphone di kepalanya.

 
Disebabkan itulah pernah rakan saya mengatakan bahawa dia adalah 'godfather' hip hop di kawasan tempat saya bermastautin tu. Sememangnya dia tidak pernah menghiraukan orang lain. Dia dalam dunianya ciptaannya sendiri. Gembira.

Saya diberitahu bahawa dahulunya beliau bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan. Namun atas kekangan ekonomi dan kewangan maka cita-cita itu terkubur sahaja. Oleh sebab itu sosoknya dapat dilihat di kawasan hospital besar. Sering meluangkan masanya di sana.

Namun sosok bernama Desa itu sudah tidak kelihatan mengayuh basikal untuk ke pekan. Beberapa tahun lepas saya mendapat perkhabaran bahawa Desa telah pun mengadap Ilahi. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment