Thursday, April 7, 2016

Selangkah Ke Alam Misterius

Kami telah sepakat pada malam itu. Saya, Zaki, Mat, Nasir dan Deris sebulat suara mahu menonton VCD cerita horor melayu bertajuk Momok. Cerita ini memang tengah hot di kampus kami pada ketika itu. Jadi sebagai penuntut Melayu yang berdaya saing maka kami juga tidak mahu ketinggalan dan dianggap tidak peka dengan isu-isu lokal.

Zaki berbesar hati untuk menjadi tuan rumah (dibaca bilik) pada malam itu. Bilik Zaki di tingkat 4, iaitu tingkat paling atas blok bangunan tempat para penuntut ditempatkan. Saya, Mat, Nasir dan Deris berkerumun di hadapan komputer milik Zaki yang sudah separuh usia itu. Tingkap bilik sengaja dibiarkan terbuka.
Ritual menonton VCD tersebut pun bermula. Tumpuan masing-masing tidak beralih dari skrin komputer. Kusyuk. Babak bertukar babak. Di pertengahan cerita tiba-tiba ruang rongga hidung saya terbau sesuatu yang harum semerbak.

Tanpa segan silu dan teragak-agak saya memandang Deris sambil berkata, "Bau apa ni?..wangi!". Tiada sebarang respon dari Deris mahupun mereka yang lain. Masing-masing tidak mengendahkan pertanyaan saya dan meneruskan ritual menonton VCD seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. 

Sesungguhnya saya terlupa bahawasanya mengikut pantang larang orang-orang tua, kalau terlihat atau terbau sesuatu yang aneh di malam hari usah ditegur atau ditanyakan. Pura-pura ianya tidak berlaku. Itu yang selalu dipesan mereka.

Seusai ritual malam itu saya bertanya kepada Deris kembali. Dia juga sama seperti saya tadi, terbau bauan semerbak itu. Walau bagaimanapun kami sebagai anak-anak muda zaman millenium ini cuba menjustifykan kejadian tersebut mengikut ilmu logik.

"Bau pokok tu. Memang ada yang berbau macam tu". Mungkin kebetulan pokok itu mengeluarkan bau pada malam itu sahaja, dan secara kebetulan pula kami menonton cerita seram melayu yang sangat horor itu. 

Malam itu saya menumpang tidur di bilik Zaki. Bukan takut tetapi sekadar tidak mahu mengambil sebarang risiko atau kemungkinan yang mungkin timbul (alasan).


No comments:

Post a Comment